Rabu, 30 Januari 2019

Lepaskan Safee menentang Hong Kong


ARKIB : 04/05/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia memujuk kelab Pelita Jaya bagi melepaskan khidmat penyerang tersohor negara pada masa ini, Safee Sali pada perlawanan persahabatan menentang Hong Kong pada 3 Jun ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad pihak FAM akan menggunakan dua cara meminta Pelita Jaya memberikan lampu hijau buat Safee beraksi bersama skuad negara.

''Pertama, kami telah mengutus surat kepada Pelita Jaya pada 29 April lalu dengan meminta mereka beri kebenaran buat Safee pulang ke Kuala Lumpur pada 1 Jun sebelum pulang ke Bandung, 4 Jun nanti.

''Kami ada juga memberikan rujukan jadual perjalanan bagi Safee bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2014 apabila berdepan Taiwan pada 3 Julai," katanya pada majlis Taklimat Untuk Media di Wisma FAM, semalam.

Turut hadir dua Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Datuk Subahan Kamal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Media FAM.

Selain itu, Azzuddin berkata, beliau berharap Hamidin dapat menggunakan budi bicaranya memujuk Pelita Jaya memberi pelepasan kepada Safee agar kembali ke tanah air.

''Hubungan Datuk Hamidin dan Pelita Jaya amat erat semenjak terlibat dalam urusan perpindahan Safee tempoh hari dan saya yakin itu dapat memujuk pihak Pelita Jaya," ujarnya.

Namun, Pelita Jaya sudah tentu keberatan melepaskan Safee begitu sahaja kerana pada 5 Jun nanti, kelab itu bakal menghadapi perhitungan penting menentang Persija Jakarta di Stadium Gelora Bung Karno.

Mengikut syarat teknikal yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sebuah pemain tidak boleh beraksi dalam tempoh 48 jam dan perlu berehat selama dua hari.

Safee sebelum ini pernah berkata yang dia dalam dilema untuk memilih sama ada mahu beraksi bersama skuad kebangsaan atau membantu kelabnya di Indonesia.

Ujarnya, dia tidak keberatan kembali beraksi dengan skuad negara menentang Hong Kong, namun harus memastikan ketiadaannya tidak menjejaskan kelab yang diwakilinya itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5e9b4kvte
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor tidak terjejas tanpa saya - Safee


ARKIB : 28/04/2011 
KUALA LUMPUR - Safee Sali berkata Selangor tetap sebuah pasukan yang kuat walaupun tanpa khidmatnya, yang kini beraksi bersama Pelita Jaya dalam liga Indonesia.

Menurutnya, dia sentiasa mengikuti perkembangan bekas pasukannya itu walaupun sudah berubah angin beraksi dalam liga di negara jiran itu.

"Saya masih mengikuti perjalanan skuad Selangor dari satu perlawanan ke perlawanan lain.

"Apa yang saya perhatikan, Selangor masih sebuah pasukan yang kuat dan tidak terjejas tanpa kehadiran saya, " katanya.

Safee yang bercuti di Malaysia, meluangkan masa bersama penyokong Selangor menyaksikan siaran langsung perlawanan Liga Super di antara Selangor dan Kelantan di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, di sini, anjuran butik sukan Mizi Sports Centre kelmarin.

Dalam perlawanan tersebut, Selangor kalah 0-1 kepada Kelantan hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada minit awal perlawanan.

Mengulas kekalahan tersebut, Safee Sali percaya kekalahan di Kota Bharu kelmarin tidak akan menjejaskan peluang Red Giants untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super.

Menurutnya, Selangor memang sukar untuk menjinakkan Kelantan semenjak dahulu lagi apabila beraksi di Stadium Sultan Mohamad V.

"Kelantan memang ada kelebihan apabila beraksi di tempat sendiri, memang sukar untuk mengalahkan mereka jika bermain di sana.

''Bagaimanapun Selangor masih lagi berada di puncak liga dan saya yakin mereka akan bangkit selepas ini, kekalahan ini tidak menjejaskan peluang Selangor," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5e8sCOJ6R
© Utusan Melayu (M) Bhd

Safee sokong liga tempatan kembali guna Awang Import


ARKIB : 27/04/2011
SUBANG JAYA - Cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk untuk membenarkan khidmat pemain import dalam Liga Malaysia (Liga M) disokong penyerang kebangsaan yang beraksi di Indonesia, Safee Sali.
Safee berpendapat, cadangan FAM itu wajar disokong kerana ia akan merancakkan lagi Liga M, khususnya sambutan penonton ke stadium.
"Saya setuju dengan cadangan FAM itu kerana saya yakin kehadiran pemain import bakal memeriahkan lagi Liga M, malah ia turut menyumbang kepada kehadiran penyokong ke stadium," katanya di sini, kelmarin.
Safee yang pulang ke tanah air selama dua hari, sempat menyertai perlawanan persahabatan bersama para pelajar Akademi Fantasia 9 anjuran Mizi Sports Centre di gelanggang Ferro Futsal, di sini.
Safee yang merupakan duta Mizi Sports Centre turut disertai rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Zaquan Adha yang juga merupakan duta butik barangan sukan tersebut.
Mengulas mengenai kebimbangan segelintir pihak kononnya kehadiran pemain import bakal menenggelamkan pemain-pemain tempatan, menurut Safee, isu tersebut tidak sewajarnya menjadi pertikaian.
Katanya, ini kerana penyertaan pemain import dalam sesebuah pasukan bakal mewujudkan persaingan sihat dalam arena bola sepak tanah air.
Jelasnya, pemain-pemain muda perlu bekerja keras untuk menonjolkan diri masing-masing, jika mereka mahu mencuri perhatian jurulatih untuk beraksi dalam kesebelasan utama.
"Malah pada awal pembabitan saya dalam sukan bola sepak, saya juga terpaksa bersaing dengan pemain-pemain handalan sebelum mencapai ke tahap ini.
"Jika saya mampu melakukannya, mengapa tidak pemain-pemain muda kerana ia bakal menjadikan Liga M lebih kompetitif dan menarik," ujar pemain Pelita Jaya itu.

Safee masih rindu aksi Harimau Malaya


ARKIB : 26/04/2011
Safee masih rindu aksi Harimau Malaya
Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my
 
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo (kiri) bersama penyerang kebangsaan Safee Sali mempamerkan kemahiran menimang bola pada majlis pelancaran Kejohanan Futsal Seluruh Negara di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR - Penyerang kebangsaan, Safee Sali tidak berkecil hati namanya tidak disenaraikan dalam skuad negara sejak dia menyertai kelab Indonesia, Pelita Jaya, Februari lalu.

Malah, bekas pemain Selangor itu, lebih selesa menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada jurulatih, K. Rajagobal dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memanggilnya atau pun tidak.

"Saya percaya jurulatih mempunyai caranya sendiri untuk membuat pemilihan pemain. Jurulatih dan FAM lebih berhak memutuskan untuk memanggil saya atau pun tidak.

"Lagi pun, saya baru menyertai Pelita Jaya dan saya juga perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baru saya itu," katanya.

Safee yang berada di ibu negara selama dua hari, telah dilantik sebagai duta Tune Talk bersama rakan sepasukan iaitu penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat di sini, semalam.

Namun, Khairul Fahmi tidak dapat hadir pada majlis itu kerana terbabit dalam perlawanan Liga Super, hari ini menentang Selangor di Kota Bharu.

Dalam pada itu, menurut Safee, dia tetap optimis akan dipanggil bagi membantu pasukan kebangsaan apabila tiba masa yang sesuai kelak.

"Saya tidak nafikan saya amat rindu untuk beraksi bersama skuad negara dan saya yakin, khidmat saya akan diperlukan juga apabila tiba masanya," ujarnya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini aksinya di Pelita Jaya, Safee memberitahu, dia memasang azam untuk membantu kelabnya itu mendaki kedudukan yang lebih baik dalam Liga Super Indonesia (ISL).

Katanya lagi, buat masa ini, Pelita Jaya berada di tempat ke-10 daripada 15 pasukan dan dengan permainan hanya berbaki enam perlawanan, dia yakin, kedudukan tujuh atau pun lapan mampu digapai.

Safee kini telah pun meledakkan lima gol daripada tujuh perlawanan sejak dia mewakili kelab yang bertempat di Karawang, Jawa Barat itu.

Sementara itu, bercakap mengenai pelantikannya sebagai duta Tune Talk, Safee melahirkan rasa gembiranya dapat menjalinkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi itu.

"Sejak aksi saya menyerlah bersama skuad kebangsaan, ramai yang berminat untuk menjadi penaja dan melantik saya sebagai duta produk mereka," katanya.

Dalam pada itu, Tune Talk akan melancarkan Kejohanan Futsal Seluruh Negara yang bakal diumumkan dalam masa terdekat ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5e6aDTkrj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 28 Januari 2019

Safee gagal bantu Pelita Jaya


ARKIB : 13/03/2011KUALA LUMPUR - Selepas bermula baik dalam perlawanan pertama bersama Pelita Jaya, Safee Sali gagal mengulangi rentak yang sama apabila pasukannya kalah 1-2 kepada Persib Bandung dalam aksi di Stadium Singaperbangsa, semalam.

Dalam perlawanan berkenaan, Safee jelas buntu memecah kekebalan pertahanan Persib yang diketuai dua pemain kebangsaan Indonesia, Maman Abdurahman dan penjaga gol, Markus Harison.

Malah, Safee tidak langsung berpeluang melepaskan sebarang percubaan berbahaya ke arah pintu gol Persib sepanjang perlawanan berkenaan yang menyaksikan ribuan penyokong setia Pelita pulang hampa.

Persib terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-4 menerusi Matsunaga Shohei yang melepasi kawalan perangkap ofsaid sebelum mudah merembat masuk ke arah gawang Pelita menewaskan penjaga gol, I Made Wardhana.

Pada separuh masa kedua, tindakan Maman yang cuba menahan bola menerusi kepala mengundang padah apabila bola terkena tangannya di dalam kotak penalti. Juan Ramirez mudah menyempurnakan sepakan tersebut bagi menyamakan kedudukan buat Pelita.

Kelemahan Wardhana akhirnya membuka ruang kepada Persib mendapatkan jaringan kemenangan apabila pemain pertahanannya, Abanda Herman menanduk masuk bola ke dalam gawang selepas Wardhana gagal menepis keluar bola sepakan penjuru.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5dtgQrUcd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 27 Januari 2019

Safee bikin Stadium Singaperbangsa gegak gempita


ARKIB : 06/03/2011
Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my
 
SAFEE Sali (dua dari kiri) merembat bola melepasi jangkauan penjaga gol Sriwijaya di hadapan lebih 6,000 penonton di Stadium Singaperbangsa dekat Karawang, Jawa Barat, semalam. Pelita Jaya menang 1-0. - MINGGUAN/ SAHARUDIN MUSTAFA

KARAWANG, Jawa Barat - Mohd. Safee Mohd. Sali tidak perlu menunggu lama untuk meledak gol kemenangan kelab barunya Pelita Jaya dalam aksi sulungnya, semalam.

Safee membuka gelanggang dengan langkah kanan menerusi jaringan tunggal perlawanan yang menggegar sorakan peminat pada minit ke-62.

Percubaan kedua bekas penyerang Selangor itu untuk menambah jaringan 11 minit kemudian bagaimanapun tersasar meskipun kedudukannya agak selesa di depan gawang.

Gol tunggal Safee, semalam sekali gus melengkapkan rekod peribadinya kepada 110 gol sejak mula terlibat sebagai pemain bola sepak profesional pada tahun 2003.

Apa yang menarik, rentak permainan Safee semalam berjaya memberikan tekanan pada pasukan lawan sehingga ke wisel penamat.

Safee yang beraksi cemerlang pada perlawanan menentang Sriwijaya juga mendapat sorakan gemuruh lebih 6,000 penonton yang memenuhi Stadium Singaperbangsa di sini.

Ternyata kehadiran Safee diterima baik oleh penggemar bola sepak negara ini sehinggakan pada satu ketika namanya bergema di seluruh stadium.

Pemain itu direhatkan daripada bermain ketika perlawanan memasuki minit ke-84.

Dalam pada itu, Safee ketika ditemui mengakui dia masih berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran tempat baru.

Katanya, fokus utamanya pada masa ini ialah meningkatkan pergerakan ketika beraksi kerana corak permainan di sini sama sekali berbeza dengan di Malaysia.

Safee juga menyatakan rasa bangga kerana muncul sebagai wira di padang apabila menjaringkan gol sulung membantu Kelab Pelita Jaya meraih kemenangan pada perlawanan menentang Kelab Sriwijaya.

"Syukur Alhamdulillah saya dapat menjaringkan gol pada masa kedua dan dapat membantu kelab saya meraih kemenangan menerusi tiga mata kemenangan," katanya kepada wartawan Malaysia.

Bersama Kelab Pelita Jaya, Safee menyarung jersi bernombor 55 yang membawa dua maksud yang cukup bermakna dalam dirinya.

Angka 55 katanya, membawa pengertian jumlah angka 10 seandainya kedua-dua nombor itu ditambah yang sekali gus bermaksud nombor jersi 10 yang sering digunakan sebelum ini.

"Nombor itu juga ada kena mengena dengan nama saya Safee Sali. Nombor 55 jika dilihat secara spontan seperti huruf SS," jelas Safee mengenai rasional dia menyarung jersi merah bernombor 55 itu. - mingguan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5doyQEmIN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kehandalan Safee diuji esok


ARKIB : 04/03/2011
Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my
SAMA ada keputusan penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali berhijrah ke Kelab Pelita Jaya, Karawang, Indonesia tepat atau sebaliknya, masih terlalu awal untuk dirumuskan.

Ini kerana kemampuan Safee hanya akan teruji apabila pemain berusia 27 tahun itu diturunkan pada perlawanan menentang Sriwijaya, esok.

Bagaimanapun, sejak menyertai kelab itu 14 Februari lalu, kehadiran Safee mendapat perhatian meluas media tempatan di sini.

Bahkan, peminat tegar bola sepak Indonesia turut memberi perhatian kepada Safee, yang memecah tradisi sebagai pemain Malaysia pertama beraksi dalam liga negara tersebut.

Lantaran itu, liputan meluas diberikan oleh media Indonesia terhadap Safee.

Misalnya baru-baru ini akhbar Kompas versi online mereka (kompas.com), menganjurkan sesi berbual antara Safee dengan pembaca-pembaca mereka.

Berikut adalah sebahagian daripada ulasan Safee yang dipetik dari laman web kompas.com, yang menjawab soalan yang diajukan oleh pembaca akhbar berkenaan menerusi versi online.

Apakah Safee tidak gentar bermain dalam Liga Indonesia sedangkan anda boleh dilabelkan sebagai 'musuh No. 1' bagi penyokong bola sepak Indonesia terutamanya selepas anda menewaskan Indonesia pada Piala AFF 2010?

SAFEE: Saya tidak gentar, kerana saya hanya datang untuk bermain di sini dalam satu pasukan bola sepak. Saya ingin belajar sesuatu di sini. Dalam permainan bola sepak itu sendiri, saya cuba ingin menyatukan Indonesia dengan Malaysia.

Liga Indonesia cukup sinonim dengan rusuhan penyokong, permainan yang kasar serta meningkatkan semangat fanatik yang berlebihan. Senario itu berbeza dengan Liga Malaysia yang lebih tenang. Apakah Safee siap menghadapi kemungkinan itu?

Saya sudah mengkaji liga di sini memang fanatik dan permainan kasar. Senario itu cuba menguji tahap saya di mana. Sekarang, saya bersedia dengan latihan yang diberikan dan InsyaAllah saya akan cuba menghadapi dengan sebaik mungkin.

Apa yang menjadi pertimbangan Safee memilih bermain di liga Indonesia daripada liga lain misalnya di Eropah?

Kalau saya menerima tawaran dari Eropah sudah tentu saya akan ke sana. Di negara Indonesia ini, saya cuba memulakan langkah untuk ke sana. InsyaAllah kalau ada rezeki.

Secara jujur dan terbuka, apa penilaian Safee terhadap pemain bola di Indonesia, khususnya yang bermain di pasukan nasional dan juga team nasional itu sendiri?

Pemain nasional Indonesia mempunyai kualiti yang bagus dari segi permainan dan aspek fizikal. Cuma konsentrasi pemain perlu ditingkatkan lagi.

Apakah penilaian paling utama Safee bagi pasukan nasional Malaysia pada Piala AFF 2010?

Penilaian paling utama ialah pemain-pemain muda yang bermain di pasukan nasional senior. Falsafah jurulatih Rajagobal sendiri suka menggunakan pemain-pemain muda walaupun kurang berpengalaman. Namun, dari segi tenaga, pemain muda banyak kelebihannya.

Adakah Safee fikir, Safee cukup maksimum tampil pada Piala AFF lalu?

Ya. Saya fikir itu adalah persembahan yang cukup maksimum daripada saya.

Apa tanggapan Safee mengenai isu rasuah pada liga final Piala AFF 2010?

Sewaktu Piala AFF 2010, tidak kedengaran apa-apa mengenai rasuah. Saya rasa pada final Piala AFF, permainan amat bersih dan tiada isu rasuah.

Menurut Safee apa yang membezakan bola sepak di Malaysia dengan Indonesia ?

Perbezaannya tidak terlalu jauh. Hampir sama. Namun yang terlalu ketara di sini, memerlukan kekuatan fizikal yang kuat untuk bermain bersama pemain-pemain asing. Kalau di Malaysia, saingan dengan pemain tempatan agak rendah.

Apa pula cara yang paling tepat yang harus digunakan oleh sesebuah negara yang ingin memajukan liga bola sepaknya?

Permainan bola sepak dengan politik tidak boleh disamakan. Kalau di Malaysia juga ada tetapi agak kurang sejak kebelakangan ini, Bagi saya, kedua-duanya tidak boleh disatukan.

Apa yang sudah dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memajukan sukan bola sepak?

Di Malaysia ketika ini, usaha membangunkan pembangunan bola sepak di kalangan anak-anak muda sedang sedang giat dilakukan.

Mereka menekankan pembangunan dari akar umbi di sekolah-sekolah rendah untuk memajukan dan membina suatu landasan yang kuat untuk pasukan nasional.

Berapa lama Safee akan berkarier di Indonesia?

InsyaAllah selama mana saya yang boleh dan saya akan cuba sebaik mungkin untuk bertahan lama di Indonesia.

Mengenai penerimaan orang-orang di Kelab Pelita Jaya dan persekitaran kediaman Safee? Menyenangkan atau tidak?

Ya, bagus sekali dan saya amat senang. Saya rasa seperti di Malaysia. Teman-teman amat mesra dengan saya di sini. Terkejut juga dengan layanan yang diberikan kepada saya.

Pandangan Safee mengenai pasukan bola sepak Selangor dan Kelab Pelita Jaya?

Pasukan Selangor dan Pelita Jaya banyak perbezaannya. Selangor tidak memiliki prasarana sebaik ini. Dari segi kewangan juga, saya tengok lebih banyak di Pelita Jaya.

Bagaimana Safee ingin dikenang dalam sejarah bola sepak Malaysia?

Di Malaysia saya ingin dikenal sebagai pemain yang pertama hijrah daripada luar Malaysia.

Apa benar Safee dibayar lebih murah di Indonesia dibanding di Malaysia?

Oh kalau itu... tidak benar.

Siapakah pemain team nasional Indonesia yang Safee fikir 'paling hebat' dan 'paling berbahaya'?

Kalau yang pernah saya lihat dulu zaman Bima Sakti dan Kurniawan Dwi Yulianto yang pernah mengalahkan Malaysia pada Piala Tiger dulu.

Siapa pula yang Safee fikir 'paling hebat' di rantau ASEAN sebagai bintang idaman Safee?

Kalau di Asean yang saya kenal dan saya sanjung ialah Kiatisuk Sinamuang pemain Thailand yang bermain di Liga Inggeris suatu ketika dulu. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5dowrhDqI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 25 Januari 2019

Safee semakin serasi di bawah Radovic


ARKIB : 24/02/2011
Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
sahar_musthafa@yahoo.com
JAKARTA - Penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010, Safee Sali semakin selesa dengan kehidupan barunya di Indonesia dan pemain itu mula mempamerkan keserasian bersama rakan-rakan sepasukannya di kelab Pelita Jaya.

Menurut pengurusnya, Zakaria Rahim, bekas penyerang Selangor itu kini sedang giat menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih dari Serbia, Misha Radovic di pusat latihan kelab itu dekat Sawangan, Jawa Barat.

"Dia gembira dengan pasukannya dan Safee juga sudah mula menyesuaikan diri dengan rakan-rakan dalam pasukan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Pemain yang menjadi tonggak skuad bimbingan K. Rajagobal itu dijangka diturunkan pada perlawanan pertamanya menentang Sriwijaya pada 5 Mac ini di gelanggang sendiri dekat Kerawang.

Safee bakal digandingkan dengan seorang lagi pemain import dari Paraguay, Juan Ramirez di posisi depan bagi menggempur kubu pertahanan pasukan lawan, sambil dibantu Jajang Mulyana dan kapten Pelita Jaya, Ardan Aras yang mengemudi bahagian tengah.

Zakaria berkata, menjelang pertemuan tersebut, Pelita Jaya akan mengadakan satu perlawanan persahabatan yang berlangsung, hari ini pukul 3.30 petang di Sawangan.

"Saya difahamkan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan akan turun menyaksikan perlawanan pertama Safee menentang Sriwijaya.

"Selain beliau, para penuntut Malaysia di negara ini dan juga wartawan serta penyokong Malaysia dikhabarkan akan hadir menyaksikan aksi Safee bersama Pelita Jaya," ujarnya.

Mengulas mengenai kesihatan Safee, Zakaria memberitahu, pemain itu berada dalam keadaan sihat, walaupun terdapat beberapa rakan sepasukannya yang mengalami jangkitan virus.

Katanya lagi, Safee akan berpindah ke sebuah pangsapuri di Jakarta yang disediakan oleh kelab di Lebak Bulus, Jakarta Selatan. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5dfg87v2v
© Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 18/02/2011 Safee mula berlatih bersama Pelita Jaya

 ARKIB : 18/02/2011
Safee mula berlatih bersama Pelita Jaya
Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
sahar_musthafa@yahoo.com
 
Safee Sali (kanan) tidak kekok menjalani latihan bersama skuad Pelita Jaya di Sawangan, Jakarta Selatan, semalam.

JAKARTA - Penyerang pasukan kebangsaan, Mohd. Safee Mohd Sali secara rasmi memulakan latihan pertamanya bersama kelab baru yang disertainya, Pelita Jaya di sini, semalam.

Pemain itu berlatih bersama pasukan barunya pada pukul 8 pagi waktu tempatan di pusat sukan Pelita Jaya, Sawangan, Jakarta Selatan di sini.

Menurut pengurusnya, Zakaria Rahim, sesi latihan itu dikendalikan penolong jurulatih, I Made Pasek Wijaya dan Djadjang Nurjaman.

Turut bersama dalam sesi latihan tersebut ialah Juan Ramirez yang berasal dari Paraguay yang bakal berganding dengan Safee di barisan depan.

Tidak ketinggalan Tomoyuki Sakai dan Shibakoya Yuichi dari Jepun serta Walter Benitez (Argentina) dan Dramane Coulibaly (Mali).

Zakaria memberitahu, Safee dilihat dapat menyesuaikan dirinya dengan mudah bersama teman-teman barunya di Kelab Pelita Jaya.

"Dia (Mohd Safee) juga kelihatan sangat gembira biarpun penat kerana sesi latihan yang perlu dijalani," kata Zakaria.

Mohd. Safee dan pasukannya juga ujar Zakaria, akan bergerak ke pusat peranginan terkenal, Punchak esok untuk satu lagi sesi latihan pusat sehingga 25 Februari sebelum memulakan perlawanan pertama menentang Kelab Persib Bandung pada 7 Mac ini. - Utusan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5dfbyclpB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Safee sangkal dakwaan media Indonesia menuduhnya berbohong


ARKIB : 17/02/2011
Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my
 
Saffee Sali (lapan dari kanan) merakam foto kenangan bersama Syed Munshe Afdzaruddin serta pegawai dan kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia, semalam.
JAKARTA - Biar apa sekalipun pandangan negatif atau dakwaan tidak masuk akal sesetengah pihak terhadapnya, penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali menegaskan, dia tidak pernah berbohong mengenai pemilihan kelab bola sepak luar yang disertainya.

Bahkan, keputusan untuk bergabung dengan Kelab Pelita Jaya di Indonesia dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang juga majikannya sebelum ini.

Kata Safee, penyertaannya dalam Kelab Pelita Jaya bukan dibuat berdasarkan keputusan peribadi semata-mata. Sebaliknya, pemain berusia 27 tahun itu berkata, segala rundingan dengan ketiga-tiga kelab bola sepak Indonesia yang mengemukakan tawaran rasmi dibuat oleh FAS.

"Saya tidak pernah membuat kenyataan memilih Persib Bandung. Saya sekadar bercakap yang saya berminat dengan Persib Bandung.

"Saya pernah ke Bandung melihat Selangor menentang Persib Bandung. Bahkan, Persib Bandung juga pernah berkunjung ke Selangor semasa menjayakan kejohanan Piala Menteri Besar Selangor," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan di Kedutaan Besar Malaysia di sini, semalam.

Pemain kelahiran Selangor itu menegaskan, dakwaan kononnya dia menipu Kelab Persib Bandung dengan memilih kelab Pelita Jaya tidak benar sama sekali.

Kata Mohd. Safee, ketika dia membuat kenyataan berminat menyertai Persib Bandung, FAS belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana kelab bola sepak untuk perpindahannya.

Buat sekian kalinya juga, Safee mengulangi pendirian berhijrah ke kelab bola sepak luar negera didorong oleh keinginannya untuk menimba pengalaman bermain di rantau orang.

Selain itu, jelasnya, peluang beraksi dengan kelab luar merupakan tawaran yang sentiasa dinanti-nantikan oleh mana-mana pemain bola sepak profesional.

"Usia saya sudah mencapai 27 tahun dan inilah masanya untuk saya mengembangkan kerjaya saya di peringkat yang lebih besar. Keinginan ini sudah ada dalam fikiran saya sejak tahun 2007 lagi," jelas Safee yang ditemani pengurusnya, Zakaria Rahim serta kaum keluarganya.

Menangkis dakwaan pengurus Persib Bandung yang Safee menipu, Zakaria berkata, kenyataan tersebut dikeluarkan mungkin kerana berlaku salah faham.

Zakaria juga tidak menolak andaian kenyataan pengurus Persib Bandung disensasikan pihak media.

"Bila saya baca balik cerita itu, sebenarnya dia sendiri pun tidak cakap Safee menipu. Dia cuma menyatakan ada berunding dengan FAS dan tidak pula pernah mengeluarkan kenyataan yang dia ada berunding dengan Safee," jelas Zakaria.

Menurut Zakaria, sungguhpun banyak kelab bola sepak menyatakan hasrat untuk memiliki Safee, namun, hanya tiga kelab dari Inodnesia yang menghantar tawaran rasmi iaitu Balik Papan, Persib Bandung dan Pelita Jaya.

"Dalam rundingan antara FAS dan ketiga-tiga kelab itu, saya tak tahu apa yang menyebabkan FAS tertarik dengan Pelita Jaya, itu hak FAS, kita tak boleh komen," ujarnya lagi.

Sebagai menghormati kesepakatan yang dicapai antara FAS dengan Pelita Jaya, Safee juga enggan mendedahkan yuran perpindahannya.

Katanya, dalam proses perundingan biasanya sesebuah kelab bola sepak akan membuat pertimbangan berdasarkan berapa banyak ganti rugi yang boleh dibayar sebuah kelab lain terhadap kontrak pemainnya dan pada masa sama mengambil kira apa yang boleh disediakan kelab baru itu kepada pemain berkenaan.

Sementara itu, Safee sudah bersedia untuk memikul tugas baru di Kelab Pelita Jaya dari aspek mental sebagai memenuhi cita-citanya bergelar pemain bola sepak profesional.

Menyedari bakal berhadapan dengan budaya baru di negara orang, Safee mengakui, dia harus bekerja keras kerana di Indonesia cara permainannya berbeza dari Liga Malaysia.

Safee bakal beraksi buat pertama kali pada 7 Mac ini menentang Persib Bandung di Stadium Singaperbangsa di Karawang, Jawa Barat. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ddHH1ECN
© Utusan Melayu (M) Bhd