Jumaat, 25 Januari 2019

Aksi akhir Safee tiada yang luar biasa


ARKIB : 13/02/2011
 Perlis berjaya benam Pattani FC
PEMAIN Selangor, Safee Sali (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur, Muhammad Syafiq Johari dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. Kedua-dua pasukan seri 1-1.

SHAH ALAM – Tiada apa yang luar biasa daripada penyerang utama negara, Mohd. Safee Sali dalam aksi terakhirnya bersama Selangor dengan keputusan menentang Kuala Lumpur dalam Liga Super 2011 di Stadium Shah Alam, semalam cuma berkesudahan seri 1-1.

Pemain berjersi nombor 10 itu yang menjadi tumpuan penyokong Selangor untuk sekurang-kurangnya menghadiahkan gol sebelum berhijrah ke Pelita Jaya FC Indonesia, turut gagal menunaikan hasrat mereka.

Sebaliknya, Mohd. Fadzli Saari membuktikan dia mampu menampung kegagalan itu apabila menanduk masuk bola hasil hantaran silang Mohd. Amri Yahyah untuk memberikan Selangor gol pendahuluan pada minit ke-17.

Malah, Merah Kuning turut dikejutkan dengan gol penyamaan Azwan Abd. Malek yang melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi pada minit ke-53.

Sementara itu, juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan mengambil alih teraju carta Liga Super musim ini daripada Negeri Sembilan selepas membenam Johor FC 4-1 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam.

Lonjakan Wira Merah turut dibantu oleh kemenangan Perak ke atas Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Perak, Ipoh hasil jaringan sepakan penalti Shahrulnizam Mustapa dan Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-50 dan 65.

Anak buah Datuk M. Karathu itu kini mengumpul tujuh mata dan tetap mengatasi Perak yang turut terikat dengan mata yang sama, namun Si Seladang terpaksa akur dengan perbezaan gol iaitu lima berbanding tiga.

Nurul Azwan Roya, jaringan sendiri Ridwan Mao’n, Norshahrul Idlan Talaha dan Nizad Ayub memastikan tiga mata Kelantan biarpun pelawat dari selatan itu mendahului menerusi Ridwan pada minit ke-25.

Harimau Muda A turut mengorak langkah cemerlang apabila melonjak ke tangga ketiga liga dan memintas Negeri Sembilan menerusi kelebihan gol setelah mengejutkan barisan lebih berpengalaman, T-Team 3-1 di Stadium Petaling Jaya.

Jaringan Farid Ideris minit ke-26 membantu Sabah menundukkan Kedah 1-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu selepas menyambar tangkapan kurang kemas penjaga gol lawan daripada rembatan awal Zainizam Marjan.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dckeyrCS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan