ARKIB :
31/12/2010
Oleh MUHAMMAD
DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my
SAFee Sali
(kanan) bersama rakan sepasukan sempat membawa laporan akhbar Indonesia
mengenai kejayaan Malaysia memenangi Piala Suzuki AFF, sebelum berlepas ke
Kuala Lumpur dari Jakarta, semalam. - Utusan/ Shahril Azman Zain
JAKARTA - Lima
gol yang dijaringkan pada Piala Suzuki AFF, telah menambat hati peminat
Malaysia dan pemerhati bola sepak, kini nama Safee Sali menjadi sebutan di Asia
Tenggara.
Di tanah air,
sudah ada peminat yang membandingkan kehebatan yang dimiliki oleh Safee,
setanding dengan bintang legenda bola sepak Malaysia, Allahyarham Mokhtar
Dahari.
Ketajaman
melakukan penyudah, kepantasan melakukan larian dan skil menggelecek yang
dimiliki pemain berusia 26 tahun ini, dilihat seolah-olah jelmaan SuperMokh
pada zaman kemuncak kariernya.
Begitupun,
Safee, Penjaring Terbanyak Piala Suzuki AFF 2010, mengakui masih terlalu jauh
untuk dibandingkan dengan Mokhtar, kerana baginya penyerang legenda negara itu
berada pada kelas tersendiri.
''Allahyarham
Mohktar Dahari adalah ikon bola sepak negara. Saya belum rasa layak lagi untuk
berada sebaris dengan beliau.
''Namun, saya
anggap perbandingan itu satu penghormatan buat saya dan tanda penghargaan buat
peminat kepada saya," katanya.
Gol di tempat
lawan yang dilakukan oleh Safee pada minit ke-53 pada final kedua di Stadium
Gelora Bung Karno kelmarin, memadam semangat kebangkitan Indonesia.
Bertambah
teruja, jaringan yang dicipta oleh anak kelahiran Kajang itu begitu cantik,
melalui rembatan kaki kiri yang kencang dan tidak mampu diduga penjaga gol
Indonesia, Markus Harison.
Mengenai
saingan di posisi serangan selepas ini, berikutan kepulangan semula Zaquan Adha
Abdul Razak dan Ahmad Fakri Saarani, Safee berkata dia menganggap ia persaingan
sihat.
''Ia bagus
untuk pasukan, saya akan cuba bersaing bagi merebut tempat. Apa yang lebih
utama adalah skuad kebangsaan,'' katanya. - Utusan.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5dFZ32QXu
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan