Khamis, 30 November 2017

Kedah menewaskan Selangor 3-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia

ARKIB : 23/08/2008
23/08/2008 11:12pm

KUALA LUMPUR 23 Ogos — Juara bertahan Kedah mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia dua musim berturut-turut dengan menewaskan Selangor 3-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Separuh masa pertama: Selangor 1 Kedah 3

Penyerang: SELANGOR - Frank Seator (minit 18), Mohd Safee Mohd Salee (77); KEDAH - Marlon Alex James (31), Nelson San Martin (32), Mohd Fadly Baharom (37).

Barisan Pemain:

SELANGOR - Mohd Suffian Abd Rahman, Mohd Razman Roslan, Evans Chisulo, Mohd Shukor Adan, Mohd Amri Yahyah, Mohd Asraruddin Putra Omar, D.Surendran (Mohd Amirulhadi Zainal), Elie Aiboy, Mohd Safee Mohd Sali, Frank Seator, Indra Putra Mahayuddin (Mohd Fadzli Saari).

KEDAH: Mohd Hilmi Eliza Elias, Victor Andrag (Mohd Fazliata Taib), Cornelius Benard Huggins, Badrol Bakhtiar, Nelson San Martin (Mat Sabri Abu), V.Thirumurugan, Ahmad Fauzi Saari, Shafizan Hashim, Mohd Khyrill Muhymeen, Mohd Fadly Baharom, Marlon Alex James.

Pengadil: Rosdi Shaharul (Perak) — BERNAMA
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_18.htm#ixzz4zv8mFTlo

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 27 November 2017

Ramai ramal Selangor juara

ARKIB : 21/06/2008
 
KELIBAT Mohd. Safee Sali pasti akan dinanti oleh pasukan Hijau Kuning untuk menghalang kemaraannya di Stadium Shah Alam, malam ini.

KUALA LUMPUR - Majoriti jurulatih pasukan Liga Malaysia memilih Selangor akan menjulang Piala FA dengan mengatasi Kedah, manakala jurulatih negara, B. Sathianathan menganggap kedua-duanya seimbang dan sepakan penalti mungkin menjadi penentu perlawanan akhir, malam ini.

Gergasi Merah menjadi pilihan Mohamed Bakar (Pulau Pinang), K. Devan (Kuala Muda) dan Steve Darby (Perak), sementara hanya jurulatih Polis, K. Thaiyanathan yang meletakkan Kedah selaku pemilik trofi persaingan bola sepak kalah mati kebangsaan itu.

Ketika Sathianathan memberikan peluang 50-50 bagi kedua-dua gergasi Liga M itu, jurulatih pasukan lain menganggap keputusan perlawanan yang diramalkan hebat lagi mendebarkan di Stadium Shah Alam ini hanya akan dibezakan dengan satu gol.

Kata Mohamed, pengalaman kerap beraksi dalam perlawanan akhir kebanyakan pertandingan besar bakal memberikan banyak kelebihan kepada Selangor untuk kembali menjulang Piala FA buat kali kelima selepas 1991, 1997, 2001 dan 2005.

"Kedah akan turun tanpa dua pemain importnya walaupun masih memiliki ramai pemain muda dan tempatan yang bagus tetapi perlawanan sehebat ini bakal jadi milik Selangor dengan bezanya cuma satu gol," kata bekas penolong jurulatih skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 ini.

Bagi Devan yang anak buahnya ditewaskan Selangor dengan agregat 4-2 dalam suku akhir Piala FA, berkata, setelah kerap hampa kepada Kedah dalam dua perlawanan Liga Super dan dipotong tiga mata, Selangor bakal menang 2-1 kerana keazaman untuk menebus kembali kesilapan lalu.

"Stadium Shah Alam (gelanggang sendiri) merupakan satu lagi faktor yang memihak Selangor di samping kekuatan serangan mereka (yang dibarisi Safee Sali dan Frank Seator)," katanya yang turut pernah melatih Negeri Sembilan dan Melaka.

Sependapat dengannya dalam memilih Merah Kuning mengatasi Hijau Kuning ialah Darby yang mengatakan ia satu aksi sengit tetapi tanpa tonggak import, kemenangan akan menyebelahi Selangor namun ia tetap akan berakhir dalam tempoh 90 minit permainan sebenar.

Sebagai rekod, Darby sendiri telah merasai keperitan jentera serangan anak buah Dollah Salleh yang memusnahkan Seladang dengan agregat 6-5 dalam pusingan kedua Piala FA selain 4-1 ketika pusingan kedua Liga Super di Ipoh pada 12 Februari lalu.

Thaiyanathan bagaimanapun berkata, Kedah walaupun memiliki barisan pemain muda, tetap mempunyai pengalaman lebih luas dalam Piala AFC (kelab Asia bahagian dua) dan persefahaman mantap kerana sudah bermain bersama sejak dua atau tiga musim Liga M yang lalu.

"Kedah mampu menang 2-1 kerana kekuatan mereka seimbang pada semua bahagian," katanya yang menolak kemungkinan perlawanan akhir edisi ke-19 ini bakal diheret ke masa tambahan mahupun sepakan penalti seperti yang menyebelahi Kedah 4-2 ke atas Perlis, tahun lalu.

Kata Sathianathan, yang membezakan Selangor dan Kedah ialah kemantapan penyerang masing-masing dalam menyudahkan setiap peluang terhidang dengan perhatian pasti terarah kepada Safee Sali dan Khyril Muhymeen Zambri - dua ayam tambatannya dalam skuad negara.

"Selangor kuat, Kedah pun gagah tetapi dalam setiap perlawanan akhir, siapa yang menyambar peluang dan kurang kesilapan, dialah juara," katanya yang bakal menyaring beberapa pemain lagi daripada Piala FA dan Piala Malaysia ke skuad negara untuk menentang India di Hyderabad, bulan depan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zcHv9XGR

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 November 2017

Piala FA: Kedah menang selesa, Selangor belum selamat

ARKIB : 15/06/2008
KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Kedah sudah boleh dianggap berada sebelah kaki ke perlawanan akhir Piala FA selepas berjaya menewaskan Pahang 4-1 pada saingan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, semalam.

Dua gol di babak pertama menerusi Shafiq Jamal (m-1) dan Khyril Muhymeen (m-28) serta dua gol Fauzi Shaari (m-46) dan Saramsak Kram (m-81) di babak kedua meletakkan Kedah memperoleh bekalan cukup selesa sebelum bertandang pula ke Stadium Darul Makmur untuk separuh akhir kedua pada Selasa ini.

Walaupun beraksi tanpa tiga pemain import, kualiti permainan Kedah yang meletakkan harapan sepenuhnya kepada pemain muda tempatan jelas tidak langsung terjejas.

Mereka mudah mendahului sebaik wisel permulaan dibunyikan apabila hantaran lintang Badrol Bakhtiar berjaya ditolak masuk Shafiq di depan gawang Pahang.

Khyril kemudiannya mempamerkan kebolehan melakukan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti untuk menghasilkan gol kedua.

Selepas itu giliran Fauzi mencipta gol ketiga yang caranya seakan serupa dengan gol kedua apabila merembat dari jarak 20 meter.

Biar pun Pahang berjaya merapatkan kedudukan menerusi Rosdi Talib (m-68) juga menerusi rembatan jarak jauh namun pemain gantian, Saramsak menutup sisa-sisa kebangkitan pasukan pelawat dengan menanduk masuk gol keempat hasil umpanan V. Thirumurugan.

Di Stadium Shah Alam pula, Selangor bangkit daripada ketinggalan satu gol di babak pertama sebelum mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Terengganu dalam satu lagi separuh akhir.

Ashaari Samsudin meletakkan pasukan pelawat lebih dulu di depan pada minit ke-25 tetapi Selangor berjaya membalas dua gol di babak kedua menerusi Shukur Adan (m-68) dan Safee Sali (m-88).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zamynGO9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia kempunan ke separuh akhir



ARKIB : 20/05/2008
PETALING JAYA – Malaysia hampir mengejutkan pasukan pilihan, skuad Olimpik Nigeria apabila mengikat pasukan itu 1-1 pada perlawanan Kumpulan A kejohanan bola sepak Piala Antara Benua di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Bagaimanapun, keputusan yang agak membanggakan itu tidak cukup untuk membawa skuad bimbingan B. Sathianathan mara ke separuh akhir kerana kekurangan jaringan gol berbanding Ireland yang akan mengiringi Nigeria.

Nigeria menjadi pilihan mengungguli Kumpulan A kerana dijangka tidak menghadapi masalah menewaskan Iraq pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, esok.

Pada perlawanan semalam, Safee Sali sekali lagi menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80 menerusi rembatan padu dari dalam kawasan penalti.

Sebelum itu, Nigeria lebih dulu membuka jaringan menerusi Okorowanta Bernard pada minit kesembilan.

Walaupun pada awalnya pertemuan tersebut dijangka berat sebelah memandangkan Nigeria membariskan pemain yang bakal beraksi di sukan Olimpik Beijing Ogos ini namun skuad bawah 23 tahun negara membuktikan Malaysia bukan skuad belasahan.

Namun babak awal dikuasai Nigeria, yang sebahagian besar pemainnya beraksi dalam kelab di sekitar Eropah menggunakan kelebihan fizikal untuk mudah mematahkan asakan pemain negara.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama, Ireland dan Iraq seri tanpa jaringan pada perlawanan di Stadium Bolasepak Cheras.

Ireland bagaimanapun mengesahkan tempat ke separuh akhir tanpa perlu menunggu keputusan perlawanan Iraq-Nigeria esok selepas mereka memiliki kelebihan jaringan berbanding Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zWXT1SL2

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sathia tuntut aksi mantap

ARKIB : 19/05/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI
 
Mohd. Safee Sali (kanan) meraikan jaringannya ketika menewaskan Iraq 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin.
- Bernama

PETALING JAYA - Jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan mengharapkan persembahan 100 peratus daripada anak-anak buahnya pada perlawanan terakhir Kejohanan Bola Sepak Piala Antara Benua menentang Nigeria, hari ini.

Menurut Sathianathan, pemain negara harus mempamerkan persembahan yang lebih mantap kerana pasukan Nigeria lebih hebat dari Iraq yang sudah pun mengesahkan tempat untuk beraksi di Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini.

''Nigeria memiliki ramuan pemain yang mantap terutama ada antara pemainnya mewakili kelab di Eropah dan mereka juga sudah bersedia untuk beraksi di Sukan Olimpik," kata Sathianathan pada sidang akhbar selepas perlawanan menentang Iraq, kelmarin.

Jelasnya, pemain yang diturunkan juga harus mengambil peluang menimba pengalaman dan belajar dari pasukan yang hebat itu dalam masa yang sama mampu untuk memberi ancaman kepada pasukan dari benua Afrika itu.

''Seperti yang saya katakan sebelum ini Piala Antara Benua adalah medan untuk menilai pemain dan mendedahkan mereka dengan pasukan negara yang lebih hebat.

''Saya masih belum pasti pemain mana yang akan diturunkan dalam perlawanan menentang Nigeria ini, selepas memeriksa tahap kecergasan bersama pegawai perubatan barulah saya membuat keputusan siapa yang akan diturunkan," ujarnya.

Menurut Sathianathan, kemenangan dengan Iraq 1-0 memang dijangkakan tetapi anak buahnya tidak mempamerkan permainan yang mantap.

''Kami tidak mengawal permainan sebaiknya, terutama separuh masa kedua tetapi saya gembira dengan para pemain dan ini adalah pasukan yang mantap.

''Saya juga amat berbangga dengan penyokong yang banyak membantu kemenangan pasukan malam ini walaupun kami tewas pada perlawanan pertama dengan Republik Ireland 3-1 tetapi mereka tetap datang memberi sokongan," ujarnya.

Kongsi Konten di :
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zWUrXkwz

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 25 November 2017

Malaysia atasi Iraq 1-0

 ARKIB : 18/05/2008
PETALING JAYA - Malaysia membuka kembali sisa peluang untuk layak ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Antara Benua apabila menewaskan Iraq 1-0 menerusi jaringan cantik Mohd. Safee Sali dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia berkongsi tiga mata dengan Ireland dan Nigeria dalam Kumpulan A.

Begitu pun, Malaysia berdepan halangan getir untuk ke separuh akhir apabila bertemu pasukan pilihan Nigeria pada perlawanan terakhir Kumpulan A, esok.

Terdahulu, Nigeria membuktikan status selaku pasukan pilihan apabila menang 3-1 ke atas Ireland.

Walaupun tewas, Iraq masih turut berpeluang ke separuh akhir kerana masih memiliki dua baki perlawanan.

Pada perlawanan, semalam anak buah B. Sathianathan mempamerkan aksi bertenaga, berbanding ketika tewas 1-3 kepada Ireland pada perlawanan pembukaan kelmarin.

Penguasaan Malaysia dijelmakan sejurus permainan bermula hasil rembatan Safee Sali minit kesembilan selepas mendapat hantaran silang Mohd. Azquan Adha Abd. Razak tetapi rembatan penyerang Selangor itu tersasar.

Malaysia meneruskan momentum asakan dan hampir di depan seminit kemudian namun tandukan Zaquan yang menyambar hantaran ketua pasukan, Mohammad Shukor Adan sedikit tersasar di penjuru kanan pintu gol Iraq
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4zWPJp9xq

© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia bermula langkah longlai

ARKIB : 16/05/2008
PETALING JAYA - Malaysia tersungkur lesu dibenam Ireland 3-1 ketika membuka tirai Kejohanan Bola Sepak Bawah 23 tahun Kumpulan A Piala Antara Benua di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Gagal mencari jawapan selain kekurangan saiz badan untuk menandingi skuad bimbingan Don Givens, membuatkan anak didik B. Sathianathan kecundang sekali pun sempat mencipta beberapa peluang jaringan.

Pasukan pelawat membolos gawang tuan rumah dengan dua jaringan Michael Collins pada minit ke-23 dan 29 selain satu menerusi ketua pasukan, Stephen Ward di minit ke-57.

Hanya satu gol sagu hati hasil tandukan penyerang utama, Safee Sali dalam masa kecederaan permainan sempat menjadi sedikit penawar luka sulung skuad negara.

Namun, seawal minit kesembilan, skuad negara cuba menunjuk belang tetapi Safee Sali terlepas peluang emas untuk menanduk hantaran silang dari sebelah kanan oleh Amirulhadi Zainal ketika dia memiliki ruang terbaik untuk menewaskan penjaga gol Ireland, Shane Redmond.

Malaysia menguji kubu Ireland lagi pada minit ke-12 menerusi Zaquan Adha Radzak yang sempat menanduk, namun Redmond cuma berdiri selesa untuk mendakap kemas percubaan penyerang muda Negeri Sembilan itu.

Ireland bagaimanapun mengejutkan tuan rumah apabila tandukan Michael Collins yang mencecah padang terlebih dulu menembusi kawalan Syed Adney Syed Hussein sekali gus mencipta gol pertama lawan pada minit ke-23.

Skuad bimbingan B. Sathianathan kian merana enam minit kemudian dengan gol kedua Collins yang merembat kencang kaki kanan tanpa dapat dicabar Syed Adney lagi.

Semangat pantang menyerah masih menemani skuad bawah 23 tahun negara sebaik sahaja membuka babak kedua sehingga Khryil Muhymeen Zambri nyaris merapatkan kedudukan jika rembatannya tidak dihadang seorang pemain pelawat.

Malangnya Ireland yang kerap menemui sasaran menerusi tandukan Stephen Ward, ketua pasukannya yang juga pemain kelab England, Wolverhampton hasil umpanan lambung William Clarke pada minit ke-57.

MALAYSIA: Syed Adney Syed Hussein, Norhafiz Zamani Misbah, Zaquan Adha Radzak, Safee Sali, Asraruddin Putra Omar (S. Subramaniam), Shukor Adan, Khryril Muhymeen Zambri, Daudsu Jamaluddin, Bunyamin Umar, Ahmad Azlan Zainal (Nasriq Baharom), Amirulhadi Zainal.

IRELAND: Shane Redmond, James Berrett, David Elebert, Edward Nolan, Michael Spillane, Michael Collins, Keith Treacy, William Clarke, Darren Dennehy, Stephen Ward, Shane Lowry.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zVmXe1tE

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 17 November 2017

Safee sedia gempur Piala FA



ARKIB : 19/02/2008

Oleh SAYED HESHAM IDRIS

KUALA LUMPUR - Sembilan gol dalam Liga Super bersama Selangor sudah cukup untuk meletakkan Safee Sali sebagai antara penyerang yang digeruni dalam saingan liga musim ini.

Jaringan kemenangan pada minit ke-82 untuk Selangor menewaskan UPB MyTeam di Shah Alam, Selangor Sabtu lalu membuktikan sentuhan berbisanya semakin menjadi.

Malahan dalam tiga perlawanan terakhir Selangor, Safee tidak pernah ketandusan jaringan.

Menurut pemain kelahiran Kajang, Selangor itu, dia gembira kerana dapat menyumbat gol dalam setiap perlawanan.

Jelasnya, dia berharap dapat meneruskan sentuhan jaringan pada perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Brunei DPMM di Shah Alam hari ini.

"Saya mahu meneruskan rentak jaringan seperti mana dalam Liga Super pada saingan Piala FA yang bermula esok (hari ini),'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut bekas pemain Sarawak itu, kehadiran semula pemain sayap lincah, Elie Aiboy menambahkan lagi sengatannya di depan pintu gol lawan.

Ini, katanya, dibantu gandingannya dengan bekas penyerang Perak, Frank Seator.

"Bantuan Elie dari bahagian sayap yang kerap menghantar bola ke kawasan tengah banyak membantu saya menjaringkan gol.

"Dia memainkan peranan besar membantu jentera serangan Selangor, juga rakan sepasukan lain,'' katanya.

Menurutnya, walaupun Elie baru tiga perlawanan bersama Selangor, namun pemain Indonesia itu cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan.

"Peranan dan sumbangan Elie kini semakin dirasai dan saya yakin dia mampu secara konsisten membantu Selangor menambah sengat di bahagian depan dalam dua atau tiga perlawanan lagi,'' katanya.

Begitupun, Safee berkata, dia tidak memikirkan perebutan anugerah Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak liga.

"Anugerah peribadi tidak penting, jika saya menjaringkan gol, ia adalah untuk Selangor.

"Saya mempunyai harapan yang lebih tinggi daripada anugerah Kasut Emas, iaitu membantu Selangor memenangi kejuaraan musim ini,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4yhFswHo4
© Utusan Melayu (M) Bhd