Khamis, 4 Februari 2021

Emosi, mental terjejas jika Liga M batal

MyMetroTopic



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Serangan mental dan psikologi terhadap pemain bola sepak tempatan boleh bertukar parah, andai saingan Liga Malaysia (Liga M) dibatalkan musim ini berikutan pandemik Covid-19.

Menurut Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali, emosi dan mental pemain pasti terjejas jika Liga M tidak dapat diteruskan kerana bola sepak adalah sumber pendapatan tunggal kepada pemain profesional.

Katanya, beliau boleh menerima sebarang penangguhan tetapi bukan kepada pembatalan kerana situasi itu pasti memberikan kesan besar kepada kemampuan pasukan dalam membayar gaji pemain.

"Buat masa ini, saya mewakili pemain boleh menerima keputusan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) untuk menangguhkan Liga M kepada 5 Mac berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Cuma saya harap tidaklah sampai dibatalkan, impaknya pasti sukar kepada pemain dan pegawai yang terbabit dengan Liga M, jadi saya mengharapkan MKN (Majlis Keselamatan Negara) boleh memberi kelonggaran dalam soal ini.

"Inilah satu-satunya pendapatan kami dan saya harap MKN dapat melihat akan kepentingan dari sudut ekonomi kerana industri bola sepak sebenarnya cukup besar di negara ini," kata bekas penyerang Harimau Malaya itu.

Sebelum ini, MFL membuat keputusan untuk menunda tarikh sepak mula Liga M kepada 5 Mac ini susulan PKP di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga 18 Februari ini. Mengikut perancangan awal, saingan tempatan akan membuka tirai dengan perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menemukan juara dan naib juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 Februari lalu.

Dalam perkembangan sama, Safee yang juga bekas pemain JDT dan kelab Indonesia, Pelita Jaya berjanji akan mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN dan MFL bagi memastikan liga domestik dapat diteruskan.

"Sebagai balasan, segala SOP yang akan dibentangkan nanti, kami sebagai pemain akan ikuti tanpa sebarang masalah biarpun mungkin lebih ketat berbanding sebelum ini," katanya yang pernah dinobatkan penjaring terbanyak rantau ini dalam saingan Piala AFF 2010 lalu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 11:36 PMEmosi, mental terjejas jika