Jumaat, 30 November 2018

Safee masih dalam pertimbangan, buktikan masih berbisa

ARKIB : 14/09/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Masih ada ruang buat penyerang utama Selangor, Safee Sali kembali ke pangkuan skuad bola sepak kebangsaan asalkan dia mampu membuktikan kebangkitannya dalam persaingan berprestij negara, Piala Malaysia mulai 26 September ini.

Sekalipun mengetepikannya daripada menentang Manchester United dan mengutamakan pemain bawah 23 tahun dalam siri persahabatan baru-baru ini, K. Rajagobal tidak sesekali sudah menutup pintu kepada penyerang senior sepertinya.

Dua perlawanan Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 menentang Uzbekistan pada 14 dan 18 November ini, masih menuntut pembabitan segelintir pemain senior walaupun Sukan SEA Laos, bulan berikutnya menjadi sasaran kemuncak ketua jurulatih negara itu.

Ketumpulan penyudah penyerang belia seperti Zaquan Adha Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha kecuali ketika menentang Lesotho, Jumaat lalu, turut mendorong Rajagobal menimbangkan keperluan mengadunkan pemain berpengalaman sebagai pembimbing pemain muda.

Tegasnya, Safee (tidak layak ke Sukan SEA Laos kerana sudah melebihi had umur penyertaan) masih dalam pertimbangan saya dan belum terkeluar daripada perancangan (Kelayakan Piala Asia 2011). Cuma prestasinya dalam Liga Super yang jatuh sedikit.

"Memang saya akan selitkan beberapa pemain senior apabila menghadapi Uzbekistan tetapi prestasi mereka perlu dipantau sepanjang Piala Malaysia," katanya selepas skuad Bawah 23 Tahun negara membelasah Lesotho 5-0 di Stadium Petaling Jaya.

Rajagobal tidak menamakan beberapa pemain senior lain tetapi ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah yang menjaringkan dua gol ke atas Manchester United, Julai lalu, di samping Norhafiz Zamani Misbah bakal turut dipertimbangkan bagi persediaan menentang Uzbekistan.

Sejak April lalu, skuad negara melalui 13 persahabatan dengan menewaskan Bawah 23 Singapura dan Indonesia (3-0 dan 1-0), Kedah 3-1, Zimbabwe (4-0 dan 1-0), Lesotho 5-0, mengikat China, Kenya dan Jordan 0-0 selain dikalahkan Manchester United (2-3 dan 0-2), Arab Saudi 1-2 dan Al Qadisiyah 0-1.

Namun, rekod pertemuan Malaysia-Uzbekistan ternyata menyebelahi pasukan Asia Tengah itu dengan kali terakhir kita dibelasah 5-0 dalam pusingan akhir Kumpulan C Piala Asia 2007 di Stadium Nasional, Bukit Jalil selain kekalahan besar 5-0 (Sukan Asia 1994) dan 3-0 (persahabatan 1999).

Skuad negara perlu mencuri mata daripada pertemuan dengan Uzbekistan sekiranya mahu menghidupkan peluang ke pusingan akhir Piala Asia 2011 di Qatar setelah dibelasah 5-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 21 Januari lalu.

UAE menerajui Kumpulan C kelayakan ini dengan kelebihan jaringan biarpun ditewaskan Uzbekistan 1-0 di Abu Dhabi pada 28 Januari lalu.

Hanya dua pasukan teratas, mara ke Qatar setelah India yang dijadualkan menganggotai kumpulan ini, layak automatik sebagai juara Piala Cabaran 2009.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5YLlEDRJF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 28 November 2018

Safee sedia berunding cari pasukan


MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali mengesahkan dia tidak akan kembali menyertai pasukan negeri kelahirannya, Selangor musim depan.

Pemain berusia 34 tahun itu mengakui namanya tiada dalam perancangan jurulatih baharu Red Giants, B Satiananthan seperti yang digembar-gemburkan sesetengah penyokong di media sosial kebelakangan ini.

“Saya tidak mungkin ke Selangor kerana sudah dimaklumkan saya tiada dalam perancangan mereka,” kata Safee yang sudah tamat kontrak bersama PKNS FC selepas dua musim bersama kelab itu.

Sebelum ini, timbul spekulasi mengaitkan Safee akan kembali semula ke Selangor selepas kali terakhir menyarung jersi Merah Kuning pada musim 2006-2010.

Dia meninggalkan skuad Red Giants ketika zaman kemuncaknya untuk berhijrah ke kelab Indonesia Pelita Jaya FC selepas membantu Harimau Malaya menjuarai Piala AFF 2010.

Safee yang pernah menjulang trofi Liga Super 2009 dan 2010 bersama Selangor dan 2014, 2015, 2016 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui kini terbuka dengan sebarang rundingan bersama pasukan lain.

“Sebelum ini, saya ada berbincang dengan beberapa pasukan, tapi belum ada yang serius jadi saya masih terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pasukan berminat.

“Berdasarkan keupayaan ketika ini, saya percaya masih lagi boleh bersaing di peringkat kompetitif,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 5:46 PM


Selasa, 27 November 2018

Ayuh Mat Yo, cipta sejarah!


MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali berharap Norshahrul Idlan Talaha dapat mengekalkan naluri pemusnahnya bagi meleburkan rekod jaringan terbanyak pemain tempatan dalam kempen Piala AFF.

Setakat ini Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo sudah mengumpul lapan gol dengan empat gol dihasilkan dalam kempen tahun ini untuk menghampiri rekod jaringan terbanyak yang dipegang Safee dan Indra Putra Mahayuddin dengan sembilan gol.

Safee yang muncul penjaring terbanyak ketika Malaysia muncul juara buat kali pertama dan terakhir pada 2010 menerusi ledakan lima gol percaya, Norshahrul boleh melakukannya apabila turun menentang Thailand dalam aksi timbal balik separuh akhir bermula Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Saya harap Mat Yo dapat meleburkan rekod jaringan kami itu sekali gus dapat membawa Malaysia ke final. Saya percaya dia boleh melakukannya kerana dia kini berada di prestasi terbaik," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP hari ini.

Safee, 34, pernah membentuk gandingan digeruni bersama Norshahrul selama beberapa tahun namun kali ini, bekas pemain PKNS FC itu tidak berada dalam perancangan jurulatih Tan Cheng Hoe.

Menurut pemain kelahiran Selangor itu, dia agak terkejut dengan kebangkitan yang ditunjukkan Norshahrul biarpun terpaksa bersaing dengan beberapa penyerang muda dalam pasukan.

"Agak terkejut dengan prestasi Mat Yo kerana dalam saingan Liga Malaysia, prestasinya tidak begitu menyerlah tapi akhir-akhir ini dia berjaya membuktikan kemampuannya. Namun kelebihan yang ada pada Mat Yo adalah kelincahan dan naluri pemusnahnya.”

Safee antara pemain yang beraksi dalam pasukan yang menewaskan Thailand 3-2 pada final Piala AFF 2014 di Bukit Jalil namun dikecewakan dengan keputusan agregat 4-3.

"Walaupun Thailand kita akui pasukan yang hebat, tapi kita tidak perlu terlalu memikirkan sangat mengenai mereka. Apa yang penting kita fokus kepada pasukan kita sendiri dan mengikut perancangan yang diatur jurulatih," jelasnya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 7:27 PM