Sabtu, 26 Disember 2020

Safee yakin kombinasi pemain KL

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kombinasi pemain senior dan junior bakal menjadi ramuan terbaik buat pasukan Kuala Lumpur yang akan bersaing di Liga Super musim depan.

Bekas pemenang Kasut Emas Piala AFF 2010, Safee Sali berkata, kehadiran pemain senior seperti Indra Putra Mahyuddin dan Shukor Adan bakal memperkukuhkan lagi kekuatan skuad The City Boys yang mensasarkan untuk kekal di Liga Super.

Katanya, dia memahami dan mengenali corak serta gaya permainan kedua-dua tonggak itu yang masih memiliki sentuhan berbisa pada usia memasuki angka 40.

"Saya memang mempunyai pengalaman bermain dengan Indra dan Shukor Adan. Mereka mempunyai segala-galanya dalam permainan bola sepak.

"Jadi, saya rasa pasukan Kuala Lumpur bagi musim depan mempunyai kombinasi yang baik daripada segi pemain senior dan remaja untuk mencabar pasukan besar dalam Liga Super.

"Saya sentiasa bersedia dan positif dengan apa yang ada dalam pasukan ini, jadi saya bersedia untuk memulakan secepat mungkin dengan Kuala Lumpur," katanya.

Pada Khamis lalu, Safee menamatkan spekulasi tentang masa depannya apabila memilih pasukan Kuala Lumpur untuk terus beraksi meskipun sudah menjangkau usia 37 tahun.

Bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor itu mengikat kontrak selama semusim bersama skuad Warga Kota selepas Petaling Jaya City tidak melanjutkan kontraknya sebaik Liga Malaysia berakhir musim ini.

Ujarnya lagi, dia mengakui bakal berdepan cabaran merebut tempat dalam pasukan terutamanya awang import, namun Safee berazam untuk memperagakan aksi terbaik dan menyerahkan segala-galanya di tangan jurulatih.

"Untuk merebut tempat dalam pasukan saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan saya akan serahkan segala-galanya kepada ketua jurulatih untuk apa yang terbaik untuk bermain dalam sesuatu perlawanan."

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 2:30 PM