Sabtu, 22 Oktober 2016

Safee Sali kembali tersenarai dalam skuad Harimau Malaysia

21 Oktober 2016 6:57 PM
Safee Sali
Safee Sali
KUALA LUMPUR 21 Okt. - Pemain senior, Safee Sali kembali tersenarai menjalani kem latihan pusat untuk memperkuatkan jentera serangan skuad Harimau Malaysia bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bulan depan.

Jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee dalam kenyataan hari ini berkata, hanya menyenaraikan Safee untuk menyertai 25 pemain lain yang telah dipanggil menyertai kem latihan pusat, sebelum ini.

Pemain berusia 32 tahun itu pernah memenangi Anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 dengan lima gol.

"Tiada perubahan senarai pemain sebelum ini kecuali penambahan Safee untuk memperkuatkan barisan serangan terutama pengalaman dan reputasi dimilikinya, bukan saja dalam padang tetapi mampu membimbing pemain-pemain muda.

"Biarpun kita tahu Safee jarang beraksi bersama kelabnya tapi kita mempunyai tempoh dua minggu latihan pusat yang memberi ruang untuk saya memperbaiki segala kelemahan bukan saja pada Safee tetapi juga pemain-pemain lain," katanya.

Kim Swee berkata, beliau terpaksa mengekalkan pemain sedia ada dalam senarai 30 pemain sebelum ini, kerana kesuntukan masa untuk mengenal pasti pemain lain.

Lima pemain yang telah digugurkan adalah dua pemain Polis Diraja Malaysia, Abdul Latiff Suhaimi dan Fakrul Aiman Sidid; Adam Nor Azlin (Selangor), Fazrul Hazli Kadri (Perak) dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (JDT).

Seramai 18 pemain dalam senarai itu, diminta melaporkan diri pada Selasa depan, manakala baki lapan pemain Selangor dan Kedah yang terlibat dengan final Piala Malaysia 2016 pada 30 Okt, perlu melaporkan diri pada 1 Nov.

Sebanyak 26 pemain skuad Harimau Malaysia akan 'berkampung' di Port Dickson dari 2 hingga 4 November bagi mengikuti kem bina semangat, sebelum kembali meneruskan kem latihan pusat di Wisma FAM pada 5 November.

Kim Swee berkata, beliau akan mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang terpilih selepas perlawanan persahabatan antarabangsa 'A' bertemu pasukan ranking ke-159 dunia, Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pada 14 November.

"Bagi saya, satu perlawanan persahabatan mencukupi memandangkan tempoh masa yang terhad. Saya ingin menumpukan kepada sesi latihan dan perlawanan ini penting untuk saya membentuk corak permainan sebelum kita memulakan kempen Piala AFF Suzuki 2016," katanya.

Skuad negara akan berlepas ke Yangon, Myanmar pada 16 Nov untuk menghadapi saingan Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2016 bertemu juara pusingan kelayakan pada 20 Nov, berdepan Vietnam (23 Nov) dan tuan rumah, Myanmar pada 26 Nov, dengan kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Thuwunna YTC. Perlawanan separuh akhir pertama dijadual pada 3 dan 4 Dis, manakala separuh akhir kedua pada 7 dan 8 Dis, diikuti perlawanan akhir pertama pada 14 Disember dan perlawanan akhir kedua 17 Disember.

Kesemua perlawanan itu berlangsung secara timbal balik di gelanggang sendiri dan tempat lawan.

Malaysia yang pernah sekali bergelar juara Piala AFF Suzuki pada 2010 di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal, berjaya mara ke perlawanan akhir edisi 2014, namun skuad bimbingan Dollah Salleh itu tewas 3-4 menerusi agregat kepada juara empat kali, Thailand.-BERNAMA

Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 21 Oktober 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan