Rabu, 29 Mac 2017

Tewas selepas mencuba

ARKIB : 17/03/2003
 
PEMAIN MALAYSIA, Mohd. Safee Mohd. Sali (kiri) dirempuh pemain Korea Selatan, Lee Jong Min dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Kejohanan Bola Sepak Belia Antarabangsa FAM-ProEvents di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia tewas 2-0.

SKUAD negara membuktikan kemampuan untuk menyaingi kehebatan Korea Selatan tetapi terpaksa akur dengan kelebihan taktikal pasukan lawan apabila tumpas 2-0 pada perlawanan merebut tempat ketiga Kejohanan Bola Sepak Belia Antarabangsa FAM-ProEvents di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Malah, dua gol kemenangan Korea Selatan oleh Jung Jo-gook dan Kim Dong-hwan pada babak kedua perlawanan hanya mampu dihasilkan selepas kedua-duanya bekerja keras untuk melepasi benteng Malaysia yang sentiasa membayangi penyerang lawan.

Malaysia juga nyaris memperoleh dua gol tetapi kecetekan pengalaman kurang keyakinan diri menyebabkan pemain terpaksa berputih mata.

Korea Selatan, pasukan yang mengadakan persiapan menjelang Piala Dunia Belia di UAE, jelas memiliki kelebihan dari segi fizikal dengan larian penuh bertenaga.

Namun, mereka hanya mampu menggegarkan jaring gol skuad binbingan jurulatih K. Rajagopal pada minit ke-42 apabila Jo-gook menanduk masuk hantaran silang sayap kiri, Lee Jong-min hanya untuk berasa kecewa apabila dia didapati berada dalam keadaan offside.

Dua minit selepas itu, pertahanan Korea Selatan pula cemas apabila MALAYSIA melancarkan serangan pantas.

Pemain tengah, Tengku Alias Tengku Ibrahim menerima bola hantaran jauh sebelum melorongkannya kepada R. Surendran yang kemudian menewaskan seorang pertahanan lawan tetapi percubaannya tersasar sedikit di sebelah kanan gawang lawan.

Malaysia kemudian nyaris mendapat gol pada minit ke-79 tetapi, sepakan percuma Mat Saiful Mohamad dari jarak kira-kira 20 meter hanya terkena palang.

Dua minit sebelum itu, Korea Selatan mendapat gol semangat apabila Jo-gook menanduk masuk hantaran lintang Kim Young-chul.

Perlawanan yang kemudiannya agak seimbang bagaimanapun terus menyebelahi Korea Selatan, juara Kejohanan Belia Asia tahun lepas, apabila mereka memperoleh gol kedua ketika permainan berusia 88 minit, kali ini menerusi tandukan Dong-hwan hasil sepakan sudut Jong-min.

Jurulatih skuad negara, Rajagopal jelas berpuas hati dengan persembahan anak didiknya terutama Mohd. Fadzli.

``Mereka menunjukkan mutu permainan yang bagus. Mereka tidak gentar menghadapi skuad Korea Selatan yang memiliki reputasi lebih baik di peringkat antarabangsa,'' kata Rajagopal selepas perlawanan, sambil mengingatkan bahawa Korea Selatan berada pada ranking kedua Asia manakala skuad negara di tangga ke-18.

``Fadzli juga menunjukkan bahawa dia boleh pergi jauh dan mempunyai harapan untuk diserapkan ke dalam skuad sukan SEA hujung tahun ini tetapi ia bergantung kepada perancangan,'' jelas bekas jurulatih Kelantan itu.

Namun, Fadzli terpaksa digantikan dengan Mohd. Safee Mohd. Sali pertengahan babak kedua setelah mengalami kecederaan.

Rajagopal turut memuji Yosri Derma Raju dan M. Ravinthiran yang dianggapnya beraksi dengan cemerlang sepanjang kejohanan itu.

Jurulatih Korea Selatan, Park Sung-hwa turut mengakui kemampuan yang dimiliki oleh skuad negara.

``Mereka mempunyai kemahiran mengawal bola seperti pemain-pemain Brazil dan telah memberikan saingan kuat kepada kami.

``Bagaimanapun, kami juga tidak dapat menurunkan pasukan terkuat kerana empat pemain tonggak kami cedera,'' jelasnya.

MALAYSIA - Mohd. Helmi Eliza Elias, M. Ravinthiran, Yosri Derma Raju, Tengku Alias Tengku Ibrahim, Mohd. Norhisham Hassan, R. Surendran, K. Linggam, Noor Zaidi Rohmat (Mohd. Firdaus Mokhtar), Mat Saiful Mohamad, Rudie Ramli, Mohd. Fadzli Saari.

KOREA SELATAN - Kim Young-kwang, Oh Beo-seok, Kim Chi-woo, Kim Chi-gon (Yeo Hyo-jin), Park Ju-sung, Kim Jin-kyu, Lee Jong-min, Jung Jo-gook, Lee Gil-hoon (Han Jae-woong), Choo Sung-yoon (Kim Young-chul), Kim Dong-hwan.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cjBpNbJe

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tewas di malam pertama


 

ARKIB : 14/03/2003
Oleh JOHARI SHAWAL
PEMAIN Brazil, Wiiliam (No.19) melonjak ketika mengelak terjahan penjaga gol MALAYSIA, Mohd. Helmi Eliza Elias sewaktu perlawanan bola sepak Remaja Antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. Brazil menang 3-0. - Gambar GAIE UCHEL.

SEPERTI diduga, Malaysia gagal menyaingi kegagahan Brazil pada Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa FAM-ProEvents selepas tunduk 3-0 dalam perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Semua tiga gol Brazil dijaringkan pada separuh masa pertama. Brazil melangkah ke perlawanan akhir dalam kejohanan yang menemukan empat pasukan itu, bertemu Portugal, Ahad ini.

Kehebatan Brazil bimbingan Valinhos terserlah pada awal babak pertama permainan. Belumpun skuad negara menyusun rentak permainan, Brazil seakan bersahaja apabila mudah membuka jaringan menerusi sepakan percuma pada minit kedua.

Daniel Carvalho membuat sepakan lencong dari sebelah kanan kotak penalti MALAYSIA dan pemain pertahanan tinggi lampai, Irinev melonjak tinggi menyambung hantaran itu untuk Dudu yang berada di hujung pintu gol skuad negara hanya menampan masuk.

Terkejut dengan jaringan awal itu, pasukan K. Rajagopal mula menyusun kembali gerakan dan melancarkan serangan dari bahagian sayap.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-10 apabila hantaran Harizul Izuan Abd. Rani singgah ke kaki pemain sayap kiri, Rudie Ramli yang terus melepaskan rembatan kencang ke gawang Brazil tetapi penjaga gol, Fernando Henrique sudah bersedia menangkis percubaan itu.

Empat minit kemudian, giliran bek kiri, M. Ravinthiran menguji Fernando menerusi tendangan kencang tetapi penjaga gol itu sentiasa bersedia untuk menangkap kemas bola.

Ketika skuad negara berusaha keras mencari gol penyamaan, Brazil yang lebih menguasai bola menjadikan kedudukan selesa pada minit ke-31. Carlos Alberto yang menguasai bahagian tengah, cuba menembusi pertahanan tengah tetapi dijatuhkan di luar kotak penalti oleh Yosri Derma Raju.

Penyerang, Dagoberto membuat sepakan lencong yang cantik ke penjuru kiri gawang Malaysia sebelum menerjah jaring untuk gol kedua Brazil.

Brazil menambah selesa kedudukan mereka selepas penjaga gol Malaysia, Sani Anuar Kamsani gagal menangkap kemas bola rembatan jauh Cleiton Xavier dari jarak 30 meter untuk gol ketiga Brazil.

Seperti awal babak pertama, Malaysia bermain goyah sebaik bersambung pada babak kedua apabila kerap membuat hantaran bola yang tidak tepat kepada rakan. Brazil mengambil kesempatan mengasak kubu negara tetapi digagalkan dengan penyudah yang kurang kemas.

Malaysia mendapat dua peluang terbaik untuk mencari gol pertama menerusi Rudie yang membuat percubaan dari sebelah kiri tetapi bola ditampan keluar Fernando pada minit ke-65.

Dua minit kemudian, R. Surendran menyepak kencang dari luar kotak penalti tetapi Fernando sekali lagi menghampakan pasukan negara apabila melayangkan badan menguis keluar bola.

Aksi kedua-dua pasukan hanya seimbang ketika babak kedua berbaki 15 minit. Bagaimanapun, Brazil lebih berpeluang untuk menambah jaringan pada minit ke-87 apabila percubaan Dudu mengenai palang gol.

MALAYSIA Sani Anuar Kamsani (Helmi Eliza Elias), Mat Saiful Mohamad, Yosri Derma Raju, Armanzairi Johan, M. Ravinthiran, Tengku Alias Tengku Ibrahim (Zaidi Rohmat), Norhisham Hassan, Harizul Izuan Abd. Rani (K. Linggam), Rudie Ramli, R. Surendran (Safi Sali), Fadzli Saari.

BRAZIL: Fernando Henrique, Andre Bahia, Irinev, Jean (Adriano), Jancarlos, Carlos Alberto, Cleiton Xavier, Dudu, Wendell (Alcev), Daniel Carvalho, Dagoberto
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ciuX1kqW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 28 Mac 2017

Giliran Johor kuasai Perdana Dua

ARKIB : 17/02/2003
JOHOR melonjak ke tangga teratas bola sepak Liga Perdana Dua apabila menumpaskan JPS Kelantan 5-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Johor Bahru, semalam.

Pemain dari Australia, Daniel Watkins mencipta hatrik untuk Johor dengan menyumbat gol pada minit ke-43, 50 dan 63. Dua lagi gol disumbangkan oleh Farid Ideris pada minit ke-18 dan 84.

JPS Kelantan pula membalas menerusi Kamaruddin Hussain dan Adnan musa, masing-masing pada minit ke-24 dan 55.

Sementara itu, skuad warga kota menjadikan Tentera mangsa pertamanya musim ini apabila menang selesa 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Ketua pasukan, Ridzuan Abu Shah memulakan aksi jaringan apabila rembatan leretnya tepat ke dalam gawang pada minit ke-30. Gol kedua disumbangkan oleh Safee Sali pada minit ke-57 dan penyerang import Martin Filipak, yang masuk pada separuh masa kedua, merembat masuk gol ketiga dari jarak 25 meter pada minit-minit terakhir.




sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cc5rSgfe

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 23 Mac 2017

Pasukan kerdil berjaya ikat Malaysia



ARKIB : 07/05/2002
MALAYSIA menempah jalan sukar apabila hanya mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan pasukan kerdil, Kemboja pada pusingan kelayakan bola sepak kumpulan 10 Kejohanan Bawah 20 Asia di Stadium Shah Alam, semalam.

Keputusan itu menyebabkan Malaysia menduduki tempat kedua dengan empat mata selepas dua perlawanan, dua mata di belakang pasukan terkuat, Vietnam yang akan mereka temui esok.

Kedudukan itu menyebabkan Malaysia mesti menang apabila menentang Vietnam pada perlawanan terakhir itu, perlawanan yang dilihat sebagai tiket untuk skuad negara mencipta sejarah mara ke pusingan akhir kejohanan buat kali pertama.

Pusingan akhir akan berlangsung di Qa-tar Oktober ini.

Babak pertama menjadi milik skuad negara menguasai permainan, tetapi bahagian serangan jelas kehilangan ilham untuk mencari gol sebelum menyaksikan Kemboja bangkit di babak kedua.

Percubaan terbaik skuad negara muncul pada minit ke-55 apabila pemain pertahanan tinggi lampai, Mohd. Salim Zulkifli menanduk sipi sepakan sudut pemain Terengganu, Tengku Alias Tengku Ibrahim.

Lima minit kemudian, Mohd. Safee Sali - penjaring dua gol ketika Malaysia menang 6-0 ke atas Macau Sabtu lepas Ñ yang masuk menggantikan Amir Shahreen Mubin juga menyaksikan tandukannya tersasar sedikit selepas menyambar sepakan sudut M. Ravithiran.

Anak buah Jorvan Vieira melontarkan segala strategi, namun asakan bertali arus mereka terus dikecewakan oleh pemain-pemain Kemboja yang memenuhi kawasan gol mereka.

Sebaliknya, gawang skuad negara yang nyaris dibolosi pada minit ke-87 apabila penyerang Kemboja, San Fidel menyepak bola sedikit tinggi di atas palang.

Dalam satu lagi perlawanan, Vietnam mengambil kesempatan ke atas Macau yang bermain dengan sembilan orang untuk merakamkan kemenangan 7-1 dengan Nguyen Minh Duc menghasilkan dua gol.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4c9bL1bJ4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia terlalu hebat buat Macau


ARKIB : 05/05/2002
MALAYSIA bermula bermula cemerlang sementara Vietnam membuktikan mereka layak diletak sebagai pasukan pilihan apabila masing-masing merakamkan kemenangan besar pada hari pembukaan kelayakan kumpulan 10 Kejohanan Bola Sepak Bawah-20 Asia di Stadium Shah Alam, semalam.

Skuad negara, yang dibimbing oleh jurulatih dari Brazil, Jorvan Vieira membelasah Macau 6-0 untuk menyaingi Vietnam yang sebelum itu membaham Kemboja dengan kemenangan 5-0.

Khairul Izwan Khalid memulakan langkah bergaya skuad negara apabila berjaya membolosi gawang gol Macau ketika permainan baru berusia tiga minit. Dia kemudiannya menambah gol kedua pada minit ke-44.

Mohd. Safee Sali turut mencipta dua gol pada minit ke-68 dan 74, sementara dua lagi disumbangkan oleh pemain Terengganu, Tengku Alias Tengku Ibrahim dan M. Ravindran masing-masing pada minit ke-55 dan 64.

Pham Van Quyen dan Phan Nhu Thuat masing-masing turut mencipta dua gol ketika membantu Vietnam menumpaskan Kemboja dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Van Nguyen menemui sasaran pada minit ke-38 dan 83 sementara Nhu Thuat pada minit ke-46 dan 64. Satu lagi gol disumbangkan oleh Dan Van Thanh, sembilan minit sebelum permainan tamat.

Esok, Vietnam akan bertemu Macau manakala Malaysia akan diuji pula oleh Kemboja.

Ujian sebenar Malaysia hanya akan tiba pada Rabu ini apabila bertemu Vietnam yang dijangka menentukan harapan skuad negara untuk mara ke pusingan akhir buat kali pertama.

Pusingan akhir akan berlangsung di Qatar pada hujung tahun ini.

MALAYSIA 6 MACAU 0

VIETNAM 5 KEMBOJA 0

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4c9VZuZPz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 22 Mac 2017

KEPUTUSAN PENUH FILIPINA 0-0 MALAYSIA



OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
 Filipina       0-0 Malaysia

MALAYSIA
01 KHAIRUL AZHAN KHALID
03 SHAHROM KALAM
05 SHAHRUL SAAD
20 RHONNY HARUN
07 BADDROL BAKHTIAR
14 KHAIR JONES
15 RIZAL GHAZALI
09 HAZWAN BAKRI
10 SAFEE SALI
16 SHAZWAN ZAINON
17 AMRI YAHYA
PEMAIN GANTIAN
23 MUHAMMAD HADIN AZMAN
02 MATTHEW DAVIES
11 S.VEENOD
22 MUHAMMAD HAFIZUL HAKIM