Ahad, 17 Disember 2017

Saat terbaik nafi kritikan

ARKIB : 20/01/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Perlawanan kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) esok bakal menjadi medan untuk menebus kekecewaan pada Kejohanan Piala Suzuki AFF bulan lalu, demikian kata penyerang bola sepak kebangsaan, Safee Sali.

Selain itu, kata pemain skuad Liga Super Selangor itu, perlawanan itu merupakan kesempatan terbaik untuk mahu membuktikan kegagalan di Phuket, apabila pasukan negara gagal melepasi saingan peringkat kumpulan, bukanlah disebabkan kelemahan para pemain atau strategi jurulatih.

Ini kerana katanya, Malaysia kalah kepada Vietnam, yang akhirnya muncul juara kejohanan, disebabkan nasib tidak menyebelahi skuad kebangsaan.

''Perlawanan dengan UAE diharapkan dapat menjelmakan permulaan yang baik untuk tahun 2009, malahan saya melihat ia saat terbaik untuk menafikan kritikan bahawa kegagalan di Phuket sebulan lalu disebabkan kelemahan mutlak para pemain.

''Jika tidak kerana kesilapan yang berlaku ketika bertemu Vietnam, kami mampu pergi jauh di kejohanan tersebut.

''Saya dan rakan sepasukan bertekad untuk membuktikan skuad yang ada sekarang mempunyai kelebihan dan mampu menghasilkan keputusan positif dalam perlawanan menentang UAE,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Malaysia akan menentang UAE dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2011 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras esok.

Tambah Safee, dia merasakan pencapaian skuad negara meningkatkan sejak di bawah kendalian B. Sathianathan dan akan dibuktikan dalam perlawanan antarabangsa pertama untuk Malaysia esok.

Katanya, dia juga menyandarkan sentuhan jaringan yang semakin menjadi sejak kebelakangan ini sebagai senjata untuk merobek gawang lawan.

''Namun, ini tidak bermakna tugas menggempur disandarkan di bahu saya seorang, saya tetap mengharapkan bantuan rakan-rakan seperti Nizaruddin Yusof, Indra Putra Mahayuddin serta Zaquan Adha.

''Bagi saya, siapa yang menjaringkan gol tidak penting, sebaliknya kejayaan berpasukan lebih utama,'' katanya.

Safee mengakui, menentang pasukan di rangking ke-110 berbanding Malaysia pada kedudukan 158 dalam senarai pasukan terbaik dunia FIFA, bukan tugas mudah.

Apatah lagi katanya, UAE baru selesai mengambil bahagian dalam kejohanan antarabangsa Piala Negara-Negara Teluk.

''Ini bermakna para pemain UAE berada pada tahap kecergasan yang tinggi, namun saya berharap tuah aksi di tempat sendiri akan mengiringi kami untuk mencari bekalan selesa dalam perlawanan timbal balas di tempat lawan selepas ini,'' katanya
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51W6e1ddl

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 15 Disember 2017

Selangor bagus tapi Safee perlu penyudah berbisa

ARKIB : 12/01/2009
SHAH ALAM - Semuanya tampak sempurna bagi jurulatih, K. Devan selepas membenam Negeri Sembilan 3-0 sekali gus merampas semula teraju persaingan bola sepak Liga Super 2009 kecuali tahap penyudahan penyerang utama, Safee Sali di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Sudah tentu dia cukup puas hati apatah lagi setelah menewaskan negeri kelahiran dan bekas pasukannya walaupun menganggap anak jati Kajang berusia 25 tahun itu mampu mencipta hatrik sulung untuk Merah Kuning jika sentuhannya lebih tajam dengan tiga peluang terbaiknya.

Dua daripadanya menerusi tandukan dan tolakan pada babak kedua dari sebelah kira ketika dia cuma berdepan satu sama satu dengan penjaga gol lawan, Farizal Harun yang sebaliknya tewas dengan jaringan Amirulhadi Zainal, R. Surendren dan Amri Yahyah.

Kata Devan, "kalau penyudahan kami lebih baik mungkin jaringan itu lebih besar, saya rasa Safee patut dapat jaringkan dua atau tiga gol cuma. Walaupun kurang berkesan dalam penyudahan, sumbangannya memang memberikan makna kepada kemenangan ini.''

Aksi kelmarin menyaksikan Safee ketandusan gol buat kali pertama setelah sempat menyumbangkan satu gol masing-masing ketika Gergasi Merah menewaskan Kedah 4-1 di Alor Star dan Perak 3-1 di Shah Alam pada 3 Januari dan Selasa lalu.

Namun, rembatan leret kaki kirinya pada minit ke-20 ditampan Farizal sebelum ditolak masuk dengan mudah oleh Amirulhadi untuk gol pertama Selangor di depan lebih 40,000 penonton khususnya penyokong Merah Kuning.

Penyerang utama skuad negara itu turut terlibat dalam jaringan kedua Selangor menerusi Surendren pada minit ke-27 dengan membantu mengumpan ketika serangan balas yang diatur oleh bek kiri, P. Gunalan.

Devan turut mengesan tahap kecergasan anak buahnya yang menurun dalam babak kedua gara-gara bermain rentak pantas dalam babak sebelumnya akibat tentangan pemain lawan yang kebanyakannya berusia awal 20-an.

"Kami bermain begitu dalam babak pertama dan menjaringkan dua gol tetapi saya nampak pemain sedikit letih dalam babak berikutnya biarpun masih menguasai perlawanan, kerap menyerang dan mencipta banyak peluang,'' katanya.

Mengenai bekas pasukannya yang kini dibimbang Wan Jamak Wan Hassan katanya, "dalam sukan, tiada istilah bermusuh cuma keputusan ini menunjukkan pasukan kami yang lebih baik dan mempunyai kualiti untuk menewaskan Negeri Sembilan.''

Ditanya persediaan menentang Johor FC di Pasir Gudang esok, katanya, "kami akan menjalani latihan pemulihan berlatih sebelum ke sana (hari ini) dan saya akan tengok keadaan pemain sebelum membuat keputusan.''


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz51Iq2gREC
© Utusan Melayu (M) Bhd


Khamis, 14 Disember 2017

Gergasi Merah terus garang


 

ARKIB : 07/01/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
Pemain Selangor, R. Surendren (kanan) cuba mengelak asakan pertahanan Perak, Chun Keng Hong pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. Selangor menang 3-1.

SHAH ALAM - Selangor meneruskan rentak cemerlang dalam saingan bola sepak Liga Super untuk menyusuli langkah kanan musim 2009 ketika menjulang Piala Sultan Ahmad Shah, Sabtu lalu apabila menewaskan Perak 3-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Safee Sali, Amirulhadi Zainal dan Nasriq Baharom memastikan tiga mata dalam genggaman Gergasi Merah dengan gol pada minit ke-30, 62 dan 85 biarpun mereka tersentak awal dengan jaringan pendahuluan Seladang menerusi Razali Umar Kandasamy (m-28).

Babak pertama menyaksikan Selangor yang menyerap asakan bertali arus pelawat pada awalnya, beroleh satu peluang keemasan untuk membuka tirai gol daripada gerakan sebelah kanan oleh sayap muda skuad negara, Amirulhadi Zainal pada minit ke-26.

Bagaimanapun umpanan lambung Amirulhadi gagal disambut kemas Amri Yahyah dan Zameer Zainun.

Perak tiba-tiba merentap semangat tuan rumah dan kira-kira 10,000 penyokong Merah Kuning apabila rembatan kencang Razali Umar sejauh 20 meter dari luar petak penalti melampaui bekas rakan sepasukannya musim lalu - penjaga gol, Hamsani Ahmad untuk gol pertama pada minit ke-28.

Tidak sampai pun dua minit kemudian, Gergasi Merah bingkas mengamuk lalu menyamakan kedudukan menerusi penyerang utama negara, Safee Sali yang menguis masuk setelah menyudahkan tolakan terus ketua pasukan, Amri.

Giliran Selangor mendahului 2-1 tiba pada minit ke-62 menerusi rembatan kaki kiri dari jarak dekat oleh Amirulhadi yang tidak begitu kuat tetapi masih dapat meluluskan bola daripada tangkapan Megat Amir.

Minit ke-67 menyaksikan kegarangan Safee untuk terus menghukum Perak dengan rembatan cungkilnya sudah pun menewaskan Megat tetapi terkena tiang gol kiri lawan.

Perak pula tidak berputus asa untuk cuba mengikat tuan rumah malah mereka nyaris beroleh gol penyamaan jika sepakan bebas oleh pemain gantian, Arsyah Ayob pada minit ke-80 tidak mengenai tiang tanpa dapat diselamatkan Hamsani.

Selangor yang tidak merelakan kemenangan tercicir daripada genggaman mengukuhkan kedudukan menerusi gol ketiga bek tengah, Nasriq Baharom pada minit ke-85 setelah menanduk sepakan bebas jauh oleh D. Surendran dari sebelah kanan.

Dalam pada itu, juara bertahan Liga Super, Kedah pula terus merana selepas dibelasah Negeri Sembilan 0-3 dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Kemenangan menerusi jaringan sumbangan Shukor Adan (m-33), Zaquan Adha Razak (m-39) dan K. Thanaraj (m-59) itu membolehkan Negeri Sembilan mengekori rapat Selangor.

Di Stadium Utama Negeri Kangar, Perlis turut mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas bangkit daripada ketinggalan sebelum menang ke atas Pahang 3-2 hasil hatrik pemain Perlis, Nizaruddin Yusof (m-40, 45, 87) manakala Mohd. Azamuddin Md. Akil (m-9, 24) mengurangkan jurang gol.

Kelantan pula mengejutkan UPB-MyTeam 4-2 pada perlawanan di Stadium Petaling Jaya untuk mencatat kemenangan sulung mereka musim ini selepas perlawanan dengan KL PLUS Sabtu lalu tertangguh akibat hujan.

KL Plus juga menang 2-1 ke atas Terengganu pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras.

Begitu juga dengan Kuala Muda Naza yang menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 di Stadium Darul Aman Alor Star.

Hanya satu keputusan seri dicatat semalam membabitkan perlawanan Johor FC dan Pulau Pinang yang terikat 2-2 di Stadium JCorp Pasir Gudang.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51I94z6hR

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 13 Disember 2017

PIALA AFF: Malaysia tewaskan laos 3-0

ARKIB : 06/12/2008
06/12/2008 9:39pm

PHUKET 6 Dis. – Malaysia menewaskan Laos 3-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan B pada Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF di Stadium Surakul di sini hari ini. - Bernama

Separuh Masa: 0-0

Penjaring: Mohd. Safee Mohd. Sali (minit ke-67 dan 86), Indra Putra Mahayuddin ((72).

Senarai Pasukan:

MALAYSIA: Mohd. Helmi Eliza Elias, Mohd. Asraruddin Putra Omar, Norhafiz Zamani Misbah, Mohamad Aidil Zafuan, Muhamad Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri, Mohd. Daudsu Jamaludin, Mohd. Amirulhadi Zainal (Mohd. Safee Mohd. Sali), Hardi Jaafar (Mohamad Zaquan Adha), Hairuddin Omar (Muhammad Juzaili Samion).

LAOS: Sengpachan Bounthisanh, Saynakhonevieng Phommapanya, Ketsada Souksavanh, Kovanh Namthavixay, Chandalaphone Liemvisay, Sounthalay Xaysongkham (Viengsavanh Sayyaboun), Lamnao Singto, Visay Phaphouvanin (Sangvone Phimmasen), Phayvanh Lounglath, Kaysone Soukhavong (Kitsada Thongkhen),Vongphet Sylisay.

Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_26.htm#ixzz51CeYpi9j

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 11 Disember 2017

Malaysia ganyang Myanmar

ARKIB : 24/10/2
 
Safee Sali (kiri) terjatuh selepas diasak pemain Myanmar, Han Win Aungpada perlawanan separuh akhir Pestabola Merdeka 2008. Malaysia menang 4-0.
- Gambar SHAIFUDIN MOHD. NOR

KUALA LUMPUR - Harimau Malaya mengamuk sakan dengan bertemankan 20,000 penyokong untuk menghampiri kejuaraan bola sepak Pestabola Merdeka apabila mengganyang Myanmar 4-0 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD dan FERZALFIE FAUZI.

Dua jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-25 dan 75, Safee Sali (m-61) dan Amirulhadi Zainal (m-83) berjaya menempah tiket perlawanan akhir menentang Vietnam termasuk untuk mempertahankan gelaran 2007 di gelanggang sama, esok.

Terdahulu, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, menyaksikan Vietnam mengatasi Sierra Leone dengan semangat kebangkitan menerusi kemenangan penentuan penalti 3-2 selepas terikat 2-2 termasuk dalam masa tambahan.

Gol pertama skuad negara tiba juga daripada rembatan deras sepakan percuma Indra Putra sepakan sejauh 25 meter di luar kotak penalti untuk merobek sudut kiri gawang lawan tanpa mampu digapai penjaga gawang Myanmar, Lwin pada minit ke-25.

Menerusi satu umpanan lambung Hardi pada minit ke-61, Safee yang mengutipnya tidak menghampakan Malaysia lagi apabila memperdayakan penjaga gol lawan dengan gelecek dan tolakan masuk untuk gol kedua negara.

Sentuhan Indra terus menjadi untuk gol ketiga Malaysia menerusi sepakan penalti pada minit ke-75 setelah Safee dijatuhkan dalam kotak penalti Myanmar.

Kegagalan terdahulu Amirulhadi pula lupus dengan jaringan keempat untuk Malaysia pada minit ke-83 setelah dia menolak masuk umpanan Indra.

Mengulas mengenai kemenangan itu, jurulatih negara B. Sathianthan berkata ia sebagai hadiah Hari Keputeraan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah hari ini.

"Kemenangan ini membolehkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah disambut dengan lebih meriah Jumaat nanti namun kami masih mempunyai tugas pada pertemuan akhir (esok).

"Disebabkan kekangan pemain negara yang baik pada perlawanan malam ini, Myanmar tidak dapat menjalankan corak permainan sebenar mereka dan terlalu berhati-hati sehingga memberi ruang kepada pemain negara membolosi gawang mereka.

"Namun, kami masih perlu berhati-hati pada perlawanan akhir nanti. Ini disebabkan Vietnam akan memberikan persembahan lebih bertenaga dan menumpukan perhatian 120 peratus Sabtu nanti," tambah Sathia lagi.

Menurut Sathia, tiada yang mudah atau lawan senang pada skuad negara dan mereka perlu menghormati lawan serta berkerja keras untuk menang.

Dalam pada itu, Safee berkata: "Jaringan saya datang daripada kerjasama padu barisan serangan dan tengah serta semangat berpasukan yang ada pada skuad negara.

"Tidak dilupa, kepada penyokong negara yang membanjiri stadium dengan sorakan padu yang memberikan kami semangat yang begitu membara," katanya.

Sementara itu, penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong muncul wira pasukannya apabila menyelamatkan dua sepakan penentuan penalti Sierra Leone oleh Mumino Khomson Kamara dan Amara Kamara manakala satu lagi tersasar. Gol penalti Vietnam pula disempurnakan oleh Hoang Nat Nham, Phan Thanh Binh dan Nguyen Duc Thien.

Bagaimanapun Sierra Leone memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-38 menerusi Mohamed Kabia yang melakukan sungkitan melepasi penjaga gol Vietnam Bui Tan Truong sebelum gerakan solo Dwight Foray menambah gol pada minit ke-67.

Vietnam bangkit dua kali untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan lambung pemain gantian Trinh Quang Vinh pada minit ke-73 dan rembatan leret Nguyen Duc Thien, lapan minit sebelum tamat.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz510aQurI0

© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia belasah Afghanistan, Sierra Leone mara

ARKIB : 21/10/2008
Oleh MOHD. HAFIZ AHMAD
dan FERZALFIE FAUZI
Zaquan Adha Razak cuba melepasi para pemain Afghanistan sambil diperhatikan oleh Hardi Jaafar (tengah) pada perlawanan dengan Afghanistan di Stadium Nasional Bukit semalam. Malaysia menang 6-0.
- Gambar ZULKARNAIN MOHD SAIDIN

KUALA LUMPUR - Malaysia mengesahkan status selaku juara Kumpulan A sambil menempah pertemuan dengan Myanmar dalam separuh akhir Pestabola Merdeka ke-40 selepas membelasah Afghanistan 6-0, semalam.

Sekalipun cuma perlu seri dalam perlawanan pelengkap jadual di Stadium Nasional, Bukit Jalil kerana telah layak lebih awal, namun tuan rumah terus memberikan aksi terbaik demi menghiburkan kira-kira 3,000 penyokong setia.

Pemain sayap kiri, Ashaari Shamsuddin menyumbangkan dua gol pada minit ke-22 dan m-64, manakala Nizaruddin Yusof dan Zaquan Adha Razak menambah dua lagi di m-42 dan m-45. Safee Sali dan Hairuddin Omar melengkapkan kemenangan besar pada m-84 dan m-87.

Nizaruddin mencipta gerakan untuk gol pembukaan Malaysia apabila hantarannya disempurnakan oleh Ashaari pada m-22.

Dia kemudian berjaya menjaring selepas menolak umpanan Zaquan di m-42, sebelum Zaquan sendiri melebarkan kedudukan 3-0, beberapa saat sebelum tamat babak pertama.

Pada m-64, Ashaari mengukuhkan kedudukan 4-0 buat Malaysia dengan merembat hantaran lambung S.Subramaniam. Safee Sali yang masuk menggantikan Zaquan menanduk gol kelima Malaysia selepas mendapat umpanan Khyril Muhymeen Zambri, manakala gol keenam dilengkapkan oleh Hairuddin.

Pada perlawanan awal di stadium yang sama, menyaksikan Myanmar mengiringi Vietnam ke separuh akhir apabila berjaya menewaskan Mozambique 3-2 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B.

Bagaimanapun mereka dikejutkan terlebih dahulu dengan jaringan pertama Mozambique menerusi pemain, Enio Saize pada minit ke-37 selepas menerima hantaran cantik dari Manuel Fernandes di sebelah kanan.

Tersentak dengan jaringan tersebut Myanmar terus melakukan asakan ke kubu Mozambique dan akhirnya mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-57 menerusi sepakan voli, Tun Tun Vin.

Apa pun, Khim Maung Lwin menjadi wira pasukan Myanmar selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-72 hasil dari serangan pantas, seterusnya membolehkan Myanmar mara ke separuh akhir.

Sementara itu di Stadium Shah Alam, turut mengiringi Malaysia ke separuh akhir Kumpulan A ialah Sierra Leone yang menewaskan Nepal 3-1.

Sierra Leone memperoleh gol awal menerusi Mamadu Lajor Bah pada minit keempat hasil hantaran lambung Mumino Khomson Kamara yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Nepal, Bikash Malla.

Dalam satu lagi perlawanan awal di Stadium Shah Alam, Bangladesh berjaya membuat kejutan untuk mengikat Vietnam 2-2 walaupun ketinggalan ekoran jaringan gol pembukaan Vietnam seawal minit keempat.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5102qJvys

© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia mara bergaya

ARKIB : 18/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD dan FERZALFIE FAUZI
Safee Sali (depan) diasak oleh pemain Sierra Leone, Alusine Turay pada perlawanan Pestabola Merdeka 2008 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, malam tadi.
- Gambar Shaifudin Mohd Nor

PETALING JAYA - Malaysia terus mempamer kejaguhannya di padang becak dan licin apabila menundukkan Sierra Leone 4-0 untuk melangkah ke separuh akhir Pestabola Merdeka Ke-40 di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Namun, pasukan negara bagaimanapun terpaksa menanti sehingga penjaga gol Sierra Leone bertukar sebelum membuka jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-69.

Safee Sali, Aidil Zafuan Radzak dan Zaquan Adha Radzak menambah tiga lagi gol untuk memastikan kemaraan skuad bimbingan B. Sathianathan itu mencatat kemenangan tanpa rasa kekok dengan kelebihan fizikal lawan dari Afrika.

Kemenangan kedua selepas membenam Nepal 4-0 Rabu lalu turut melonjakkan Malaysia sebagai peneraju Kumpulan A.

Pasukan pelawat bimbingan Manuel R. Bliches itu nyaris mengejutkan tuan rumah pada minit ke-21 dalam satu serangan balas pantas dari sebelah kiri menerusi Dwight Foray namun penjaga gol, Helmi Eliza Elias pantas membaca rembatan kaki kiri dan menangkapnya.

Tiga minit kemudian, bek tengah Aidil Zafuan Radzak yang cuba naik membantu serangan Malaysia sempat melepaskan rembatan dalam kotak penalti tetapi penjaga gol pelawat, Lansana Jalloh berjaya menyelamatkan gawangnya.

Malaysia menggandakan asakan lalu memperoleh sepakan bebas pada minit ke-30 yang kencang diledakkan Indra Putra Mahayuddin malangnya Jalloh sekali lagi menghalang walaupun tangkapannya muntah.

Pelawat dari Afrika itu kembali bangkit menyaingi dengan sepakan kaki kiri Alusine Turay pada minit ke-38 yang hanya tersasar beberapa inci dari kanan gawang Malaysia ketika Helmi sudah pun tertewas dengan layangan badannya.

Mohamed Kanu yang menggantikan Jalloh masih kukuh mempertahankan kubu Sierra Leone sebelum akhirnya tumpas pada minit ke-69.

Melalui gerakan solo dari sebelah kiri, Indra membolosi gawang Sierra Leone selepas mendapat satu hantaran lambung ketua pasukan, Shukor Adan untuk gol sulung yang amat ditagih itu.

Tiga minit selepas itu, Safee melebarkan kedudukan skuad negara dengan tolakan mudah untuk gol kedua Malaysia hasil umpanan Amirulhadi yang memperdayakan Kanu yang cuba meluru keluar.

Sierra Leone jelas kepenatan untuk mengekang Harimau Malaya yang semakin garang sehingga menambah gol menerusi tandukan Aidil Zafuan Radzak hasil sepakan sudut Hardi Jaafar dari sebelah kanan.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan terdahulu Kumpulan A, Nepal mensia-siakan kelebihan bangkit dengan dua gol dalam tempoh enam minit setelah diikat oleh Afghanistan 2-2 angkara kecuaian benteng mereka.

Kubu Nepal lalai dalam mengawal asakan balas lawan lalu dihukum dengan jaringan penyamaan Sayed Bashir Azimi pada minit ke-86
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50xEEzHia

© Utusan Melayu (M) Bhd

Pestabola Merdeka: Malaysia terus mara bergaya

 ARKIB : 17/10/2008
17/10/2008 11:03pm

PETALING JAYA 17 Okt – Malaysia terus mempamer kejaguhannya di padang becak dan licin apabila menundukkan Sierra Leone 4-0 untuk melangkah ke separuh akhir Pestabola Merdeka Ke-40 di Stadium Petaling Jaya, sebentar tadi.

Pasukan negara bagaimanapun terpaksa menanti sehingga penjaga gol Sierra Leone bertukar sebelum membuka jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-69.

Tiga lagi gol Malaysia dijaringkan Safee Sali dan pemain kembar, Aidil Zafuan Radzak serta Zaquan Adha Radzak.

Kemenangan kedua selepas membenam Nepal 4-0, Rabu lalu turut melonjakkan Malaysia sebagai peneraju Kumpulan A, sedangkan Sierra Leone bakal berdepan masalah besar selain menanggung kekalahan sulung kerana mereka kehilangan dua pemain yang tercedera. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_35.htm#ixzz50wUPsIHo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 10 Disember 2017

Pesta bola Merdeka: Malaysia kalahkan Nepal 4-0

ARKIB : 15/10/2008
15/10/2008 11:21pm

PETALING JAYA 15 Okt — Malaysia menewaskan Nepal 4-0 dalam perlawanan pembukaan Pesta Bola Merdeka edisi ke-40 di Stadium Perbandaran Petaling Jaya (MMBJ) di sini malam ini.

Separuh masa: Malaysia 2, Nepal 0.

Penjaring Malaysia: Indraputra Mahayuddin (minit 20), Mohd Safee Mohd Sali (25, 48,) Mohd Khyril Muhymeen Zambry (52). - Bernama
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_19.htm#ixzz50vvHKjod

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 5 Disember 2017

Sathia uji gandingan Nizar, Safee

ARKIB : 22/09/2008
KUALA LUMPUR - Jurulatih negara, B. Sathianathan dijangka mempertaruhkan semula penyerang senior yang semakin dilupakan, Nizarudin Yusof, 29, untuk bergandingan dengan Safee Sali di barisan serangan dalam Pestabola Merdeka Ke-40, bulan depan.

Gandingan penyerang Polis dan Selangor ini menjadi antara pilihan utama Sathianathan berdasarkan dua perlawanan persahabatan sebagai persediaan Pestabola di Slovakia dengan menentang kelab Rimavska Sabota dan Slovan Bratislava, minggu lalu.

Nizarudin, Safee dan penyerang muda Negeri Sembilan, Zaquan Adha Radzak diturunkan dalam corak serangan serampang tiga Malaysia ketika seri 2-2 dengan Rimavska, Selasa lalu sebelum Sathianathan kembali menggunakan dua penyerang Polis dan Selangor itu apabila dikalahkan Slovan 3-2.

Safee sempat menjaringkan gol ketika menentang Slovan, Khamis lalu menerusi sepakan penalti pada minit ke-88 selepas ketua pasukan, Shukor Adan menyamakan gol menerusi gerakan satu dua sesama mereka pada minit ke-36 dalam perlawanan di Stadium Vion Zlate Moravce itu.

Gandingan Safee-Zaquan begitu berbisa ketika membantu Malaysia menjuarai Pestabola tahun lalu tetapi kemasukan Nizarudin yang dipanggil semula menyarung jersi negara sejak persahabatan dengan Indonesia, Jun lalu, bakal meluaskan pilihan penyerang pasukan negara.

Dalam kiriman e-mel kepada Utusan Malaysia, kata Sathianathan, kelab bahagian satu Liga Super Slovakia itu beroleh dua gol menerusi pemain Uzbekistan, Aziz Ibragimov pada minit ke-22 dan 40 serta Michal Aizbetkin (68) pada perlawanan dengan suhu 12 darjah Celsius.

"Keadaan begitu dingin dan angin bertiup kencang sehingga lawan banyak mengasak kami malah gerakan beberapa pemain Malaysia tidak seperti yang diharapkan," katanya yang berdepan misi sulung antarabangsa tahun ini, Pestabola Merdeka di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur dari 15 hingga 25 Oktober.

Percubaan Sathianathan menurunkan Farderin Kadir yang bergandingan dengan Zaquan di barisan depan pada babak kedua pula tidak menjadi dan pemain Kuala Muda Naza itu terpaksa ditukarkan semula dengan Safee sementara beberapa eksperimen di bahagian belakang turut dilakukan.

"Dalam babak pertama perlawanan ini juga, Kaironnisam Sahabuddin Hussain (bekas ketua pasukan negara) yang biasa bermain sebagai bek tengah, diletakkan ke tengah untuk bergandingan dengan Shukor dan saya menggunakan gandingan Aidil Zafuan Radzak-Norhafiz Zamani Misbah tempat lamanya," ujarnya.

Sathianathan turut mencuba penjaga gol Shahzan Muda, Farizal Marlias pada babak pertama menentang Slovan dan menggantikannya dengan Badrulzaman Halim dari PKNS sementara pemain UPB-MyTeam, Syed Adney Syed Hussein direhatkan selepas turun separuh masa menentang Rimavska.

Malaysia akan melalui dua lagi perlawanan persahabatan di Slovakia sebelum dijangka pulang ke tanah air pada Sabtu ini dan bakal kembali ke kem latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya menghadapi Pestabola selepas bercuti Hari Raya Aidilfitri selama beberapa hari
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50SnQLxNo

© Utusan Melayu (M) Bhd