Selasa, 5 Disember 2017

Sathia uji gandingan Nizar, Safee

ARKIB : 22/09/2008
KUALA LUMPUR - Jurulatih negara, B. Sathianathan dijangka mempertaruhkan semula penyerang senior yang semakin dilupakan, Nizarudin Yusof, 29, untuk bergandingan dengan Safee Sali di barisan serangan dalam Pestabola Merdeka Ke-40, bulan depan.

Gandingan penyerang Polis dan Selangor ini menjadi antara pilihan utama Sathianathan berdasarkan dua perlawanan persahabatan sebagai persediaan Pestabola di Slovakia dengan menentang kelab Rimavska Sabota dan Slovan Bratislava, minggu lalu.

Nizarudin, Safee dan penyerang muda Negeri Sembilan, Zaquan Adha Radzak diturunkan dalam corak serangan serampang tiga Malaysia ketika seri 2-2 dengan Rimavska, Selasa lalu sebelum Sathianathan kembali menggunakan dua penyerang Polis dan Selangor itu apabila dikalahkan Slovan 3-2.

Safee sempat menjaringkan gol ketika menentang Slovan, Khamis lalu menerusi sepakan penalti pada minit ke-88 selepas ketua pasukan, Shukor Adan menyamakan gol menerusi gerakan satu dua sesama mereka pada minit ke-36 dalam perlawanan di Stadium Vion Zlate Moravce itu.

Gandingan Safee-Zaquan begitu berbisa ketika membantu Malaysia menjuarai Pestabola tahun lalu tetapi kemasukan Nizarudin yang dipanggil semula menyarung jersi negara sejak persahabatan dengan Indonesia, Jun lalu, bakal meluaskan pilihan penyerang pasukan negara.

Dalam kiriman e-mel kepada Utusan Malaysia, kata Sathianathan, kelab bahagian satu Liga Super Slovakia itu beroleh dua gol menerusi pemain Uzbekistan, Aziz Ibragimov pada minit ke-22 dan 40 serta Michal Aizbetkin (68) pada perlawanan dengan suhu 12 darjah Celsius.

"Keadaan begitu dingin dan angin bertiup kencang sehingga lawan banyak mengasak kami malah gerakan beberapa pemain Malaysia tidak seperti yang diharapkan," katanya yang berdepan misi sulung antarabangsa tahun ini, Pestabola Merdeka di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur dari 15 hingga 25 Oktober.

Percubaan Sathianathan menurunkan Farderin Kadir yang bergandingan dengan Zaquan di barisan depan pada babak kedua pula tidak menjadi dan pemain Kuala Muda Naza itu terpaksa ditukarkan semula dengan Safee sementara beberapa eksperimen di bahagian belakang turut dilakukan.

"Dalam babak pertama perlawanan ini juga, Kaironnisam Sahabuddin Hussain (bekas ketua pasukan negara) yang biasa bermain sebagai bek tengah, diletakkan ke tengah untuk bergandingan dengan Shukor dan saya menggunakan gandingan Aidil Zafuan Radzak-Norhafiz Zamani Misbah tempat lamanya," ujarnya.

Sathianathan turut mencuba penjaga gol Shahzan Muda, Farizal Marlias pada babak pertama menentang Slovan dan menggantikannya dengan Badrulzaman Halim dari PKNS sementara pemain UPB-MyTeam, Syed Adney Syed Hussein direhatkan selepas turun separuh masa menentang Rimavska.

Malaysia akan melalui dua lagi perlawanan persahabatan di Slovakia sebelum dijangka pulang ke tanah air pada Sabtu ini dan bakal kembali ke kem latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya menghadapi Pestabola selepas bercuti Hari Raya Aidilfitri selama beberapa hari
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50SnQLxNo

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan