Isnin, 11 Disember 2017

Malaysia ganyang Myanmar

ARKIB : 24/10/2
 
Safee Sali (kiri) terjatuh selepas diasak pemain Myanmar, Han Win Aungpada perlawanan separuh akhir Pestabola Merdeka 2008. Malaysia menang 4-0.
- Gambar SHAIFUDIN MOHD. NOR

KUALA LUMPUR - Harimau Malaya mengamuk sakan dengan bertemankan 20,000 penyokong untuk menghampiri kejuaraan bola sepak Pestabola Merdeka apabila mengganyang Myanmar 4-0 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD dan FERZALFIE FAUZI.

Dua jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-25 dan 75, Safee Sali (m-61) dan Amirulhadi Zainal (m-83) berjaya menempah tiket perlawanan akhir menentang Vietnam termasuk untuk mempertahankan gelaran 2007 di gelanggang sama, esok.

Terdahulu, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, menyaksikan Vietnam mengatasi Sierra Leone dengan semangat kebangkitan menerusi kemenangan penentuan penalti 3-2 selepas terikat 2-2 termasuk dalam masa tambahan.

Gol pertama skuad negara tiba juga daripada rembatan deras sepakan percuma Indra Putra sepakan sejauh 25 meter di luar kotak penalti untuk merobek sudut kiri gawang lawan tanpa mampu digapai penjaga gawang Myanmar, Lwin pada minit ke-25.

Menerusi satu umpanan lambung Hardi pada minit ke-61, Safee yang mengutipnya tidak menghampakan Malaysia lagi apabila memperdayakan penjaga gol lawan dengan gelecek dan tolakan masuk untuk gol kedua negara.

Sentuhan Indra terus menjadi untuk gol ketiga Malaysia menerusi sepakan penalti pada minit ke-75 setelah Safee dijatuhkan dalam kotak penalti Myanmar.

Kegagalan terdahulu Amirulhadi pula lupus dengan jaringan keempat untuk Malaysia pada minit ke-83 setelah dia menolak masuk umpanan Indra.

Mengulas mengenai kemenangan itu, jurulatih negara B. Sathianthan berkata ia sebagai hadiah Hari Keputeraan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah hari ini.

"Kemenangan ini membolehkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah disambut dengan lebih meriah Jumaat nanti namun kami masih mempunyai tugas pada pertemuan akhir (esok).

"Disebabkan kekangan pemain negara yang baik pada perlawanan malam ini, Myanmar tidak dapat menjalankan corak permainan sebenar mereka dan terlalu berhati-hati sehingga memberi ruang kepada pemain negara membolosi gawang mereka.

"Namun, kami masih perlu berhati-hati pada perlawanan akhir nanti. Ini disebabkan Vietnam akan memberikan persembahan lebih bertenaga dan menumpukan perhatian 120 peratus Sabtu nanti," tambah Sathia lagi.

Menurut Sathia, tiada yang mudah atau lawan senang pada skuad negara dan mereka perlu menghormati lawan serta berkerja keras untuk menang.

Dalam pada itu, Safee berkata: "Jaringan saya datang daripada kerjasama padu barisan serangan dan tengah serta semangat berpasukan yang ada pada skuad negara.

"Tidak dilupa, kepada penyokong negara yang membanjiri stadium dengan sorakan padu yang memberikan kami semangat yang begitu membara," katanya.

Sementara itu, penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong muncul wira pasukannya apabila menyelamatkan dua sepakan penentuan penalti Sierra Leone oleh Mumino Khomson Kamara dan Amara Kamara manakala satu lagi tersasar. Gol penalti Vietnam pula disempurnakan oleh Hoang Nat Nham, Phan Thanh Binh dan Nguyen Duc Thien.

Bagaimanapun Sierra Leone memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-38 menerusi Mohamed Kabia yang melakukan sungkitan melepasi penjaga gol Vietnam Bui Tan Truong sebelum gerakan solo Dwight Foray menambah gol pada minit ke-67.

Vietnam bangkit dua kali untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan lambung pemain gantian Trinh Quang Vinh pada minit ke-73 dan rembatan leret Nguyen Duc Thien, lapan minit sebelum tamat.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz510aQurI0

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan