Sabtu, 28 Januari 2017

Johor DT jangan cepat rasa selesa - Safee

Safee (tengah) bersama Norshahrul Idlan Talaha (kiri) berlatih bersama pasukan Johor DT di padang Universiti Sains Malaysia dekat Kubang Krian, semalam.
KOTA BHARU - "Perlawanan masih berbaki 90 minit dan kita tidak boleh selesa dengan kelebihan yang ada. Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku." Demikian tegas penggempur berbisa Johor Darul Takzim (Johor DT), Safee Sali menjelang pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia di sini, malam ini.
Safee berkata, dia berharap rakan sepasukannya dapat memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan tersebut yang bakal menentukan sama ada mereka layak ke saingan separuh akhir.
"Kelebihan dua gol bukanlah bekalan selamat buat pasukan kita. Kita masih perlu bekerja keras dalam perlawanan ini.
"Harapan saya agar rakan-rakan dapat beraksi dengan baik bagi memastikan impian kita untuk mara ke peringkat seterusnya dapat dilaksanakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Safee mengakui, Kelantan mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, namun ia bukan penghalang buat dia dan rakan-rakannya untuk mendapatkan jaringan dalam perlawanan tersebut.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131005/su_03/Johor-DT-jangan-cepat-rasa-selesa---Safee#ixzz2gnr9UFBc© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 20 Januari 2017

'Kenapa tak periksa sebulan awal?'

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyerang PKNS FC Safee Sali mempersoalkan tindakan pengelola liga tempatan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) lambat membuat pemeriksaan ke atas stadium untuk saingan Liga-M.

Katanya, kegagalan pasukan PKNS FC menggunakan Stadium Shah Alam di sebelah malam gara-gara lampu limpah yang tidak mencapai piawaian 1,500 lux seperti mana ditetapkan penganjur mampu dielakkan sekiranya pemeriksaan itu dijalankan lebih awal.


“Kenapa tidak melakukan pemeriksaan sebulan lebih awal? Pemeriksaan itu sepatutnya boleh dilakukan lebih awal dan keputusan saat akhir ini boleh menjejaskan perancangan pasukan.

“Saya kecewa dengan permulaan musim sebegini. Mungkin ada yang tidak kena dengan FMLLP. Dalam hal ini, kita tidak boleh salahkan pengurusan stadium atau pengurusan pasukan.

“Bermain pada sebelah petang nampak begitu tidak sesuai kerana akan bermain tanpa penyokong tapi jika itu terjadi, kami perlu bersedia untuk keputusan yang lebih positif,” katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, skuad Semut Merah itu terpaksa mendapatkan venue lain selepas Stadium Shah Alam disahkan tidak mencapai tahap kecerahan lampu ditetapkan FMLLP dan akan ditutup sehingga hujung Mac ini.

Venue yang berada dalam radar PKNS untuk kegunaan sementara pada sebelah malam ketika ini adalah Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan Stadium MBPJ.

Bekas penyerang kelab Pelita Jaya dalam Liga Indonesia itu juga tidak menganggap dirinya sebagai bintang dan menegaskan kejayaan berpasukan menjadi matlamat utamanya musim ini.

“Bola sepak memerlukan usaha secara berpasukan dan rakan sepasukan menghormati saya atas dasar pengalaman yang luas.

“Selepas mencapai pelbagai kejayaan bersama pasukan lain, kali ini saya berhasrat mahu melakar kejayaan bersama PKNS untuk dihadiahkan kepada mereka yang memberi peluang kepada saya,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 12:27 PM


Sabtu, 7 Januari 2017

Asah taring

 
SAFEE (kanan) sedia curah segala pengalaman bantu Semut Merah.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kecewa dengan aksinya pada Piala AFF di Myanmar dua bulan lalu, Safee Sali mengakui ia antara punca mengapa dia memilih untuk mencari haluan berbeza dengan menyertai PKNS FC selepas meninggalkan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) musim ini.

Katanya, dia bertekad untuk mengasah kembali sentuhan tajamnya di kelab baharunya itu seperti yang pernah dirasakannya ketika muncul penjaring terbanyak Piala AFF 2010.


“Saya akui kecewa gagal berada dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan sebelum ini menjadi faktor penghijrahan saya ke PKNS.

“Apa yang saya boleh lakukan kini adalah mendapatkan kembali rentak dan prestasi kerana saya percaya saya masih lagi boleh diharapkan,” katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan pramusim menentang Kuala Lumpur yang menyaksikan PKNS menang 1-0.

Pada kempen Piala AFF baru-baru ini, bekas penyerang Pelita Jaya dalam Liga Indonesia itu hanya berjaya membuat dua penampilan selaku pemain gantian dalam tiga aksi yang menyaksikan skuad negara terkandas di peringkat kumpulan.

Jelasnya lagi, meraih tujuh kejuaraan dalam tempoh empat musim selama bersama Johor DT nyata cukup mematangkannya apabila bersedia mencurahkan segala pengalaman untuk membantu skuad Semut Merah pula selepas ini.

Meskipun sering memanaskan bangku simpanan dengan dibayangi dua penggempur import Johor DT seperti Luciano Figueroa (musim 2015), Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero (kedua-duanya musim lalu), Safee langsung tidak kesal dengan situasi itu.

“Mungkin minit bermain saya agak terbatas. Bagaimanapun secara keseluruhan, saya tidak menyesal kerana saya menjulang banyak piala bersama Johor DT selain pihak pengurusan di sana juga sangat profesional dan saya amat berbesar hati.

“Kini saya bersama dengan kelab baharu dan masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan corak yang diterapkan jurulatih (E Elavarasan) selain mahu membentuk keserasian dengan rakan sepasukan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 9:37 AM

Rabu, 4 Januari 2017

Perkuat PKNS

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Bekas pemenang kasut emas Piala AFF 2010, Safee Sali (gambar) secara sahnya menyertai skuad kendalian E Elavarasan selepas ayam tambatan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu menandatangani kontrak selama semusim sekali gus menamatkan teka-teki mengenai masa depannya bersama kelab itu.

Jelas Safee, kesudian skuad Semut Merah menyenaraikannya untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan cukup berharga dan menegaskan dirinya sudah bersedia membantu naib juara Liga Perdana musim lalu itu.


“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan PKNS yang masih percaya terhadap keupayaan saya walaupun usia kini sudah mencecah 33 tahun.

“Saya akan gunakan segala pengalaman yang ada ketika bersama skuad negara dan Johor DT untuk memastikan kelab muncul antara pesaing terbaik musim ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, pengurus pasukan Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, proses penghijrahan bekas penyerang kelab Indonesia, Pelita Jaya itu sudah selesai dan memberi gambaran keupayaan Safee akan diuji pada aksi persahabatan bertemu Kuala Lumpur selepas ini.

“Safee akan menyertai sesi latihan kami bermula minggu ini dan berkemungkinan besar akan diturunkan pada aksi persahabatan menentang pasukan Liga Premier, Kuala Lumpur nanti.

“Mengenai persiapan pasukan, saya lihat kami mendapat barisan pemain yang mencukupi mengikut kehendak jurulatih Elavarasan. Kami juga sedang mengadakan perbincangan untuk melengkapkan kuota pemain import dengan menandatangani penyerang dari Argentina, Lucas Sebastian Espindola.

“Dia merupakan bekas pemain akademi Newell’s Old Boys dan dijangka menjadi pengganti Gabriel Guerra yang berhijrah ke Johor DT. Namun, dia masih di peringkat percubaan dan kami perlukan penilaian jurulatih sebelum menawarkan kontrak kepadanya,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 9:13 AM