Khamis, 17 Mac 2016

Safee mahu kekal rentak

 Safee Sali

“KEMENANGAN Selangor bukan disebabkan faktor individu, tetapi kerana pemain bermain secara berpasukan,” lapor DRAHMAN BAHAROM.

 

Demikian tegas penyerang sensasi Selangor, Safee Sali ketika mengulas mengenai kejayaan pasukannya membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

 

Safee muncul wira skuad Gergasi Merah apabila meledak hatrik pada perlawanan itu yang banyak dikuasai tuan rumah.

 

Menurut Safee, gandingannya bersama penyerang import, Frank Seator semakin menunjukkan peningkatan.

 

“Selepas empat perlawanan bersama, saya rasa gandingan kami semakin mantap.

 

“Selain itu, kerjasama daripada semua pemain amat penting kerana ia menjadi antara kunci kejayaan kami,” kata Safee kepada KOSMO! semalam.

 

PDRM mendahului pada minit ketujuh apabila pemain import, Hillary Echesa menjaringkan gol pembukaan.

 

Namun, jaringan itu tidak melemahkan Selangor yang tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Safee menemui sasaran pada minit ke-14.

 

Safee sekali bertindak cemerlang apabila meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-28 sebelum dia melengkapkan hatrik sembilan minit kemudian.

 

Akmal Rizal Rakhli melengkapkan malam gemilang Selangor dengan menjaringkan gol keempat tuan rumah pada minit-minit terakhir perlawanan.

 

Safee berkata, beberapa kesilapan yang dilakukan pemain pertahanan PDRM memberi peluang kepadanya untuk menjaringkan gol.

 

“Aksi barisan pertahanan PDRM kurang menyerlah, membuatkan kami mudah menjaringkan gol pada perlawanan itu,” katanya.

 

Katanya, dia berharap Selangor mengekalkan rentak kemenangan untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka.

 

Selangor yang berada di tangga kedua liga kini berkongsi 16 mata dengan Kedah yang masih mendahului liga, namun kedua-dua pasukan hanya dibezakan dengan jaringan gol.


SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz43AXZnZpy Hakcipta terpelihara