Isnin, 23 September 2019

Safee kembali sarung jersi Harimau Malaya


MyMetroNode
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyerang berpengalaman Mohd Safee Sali kembali mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya selepas pengendali sementara Datuk Ong Kim Swee percaya pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu mampu membantu bahagian serangan bagi dua aksi antarabangsa bulan depan.

Safee, 33, antara 23 pemain yang dipanggil bagi kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula Ahad ini bagi persiapan aksi persahabatan antarabangsa bertemu Laos di Stadium Thai Army, Bangkok, Thailand pada 8 Oktober dan perlawanan kelima Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Timor Leste di Stadium Perbandaran Dili, Dili pada 13 Oktober.

Daripada senarai pemain ketika Kim Swee mengambil alih pasukan bertemu Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8 September lalu selepas Dollah Salleh meletak jawatan, seramai 15 pemain dikekalkan.

Baki lapan lagi pemain membabitkan pemain pertahanan kiri Terengganu, Zubir Azmi yang dipanggil semula selepas diketepikan ketika aksi bertemu Arab Saudi akibat kecederaan serta penjaga gol Izham Tarmizi Roslan, Aidil Zafuan Abd Radzak, Safee (Johor DT), Shahrul Saad, Christie Jayaseelan (FELDA United), Hafiz Kamal (Pahang) dan Ismail Faruqi Ashari (Terengganu).

Kim Swee bagaimanapun terpaksa mengetepikan dua pemain dalam senarai sebelum ini, Razman Roslan (Pahang) dan Junior Eldstal (Johor DT) yang sedang mengalami kecederaan ketika ini.

“Memang agak sukar untuk memilih 23 pemain kali ini tapi saya percaya pemain baru dipanggil daripada mereka yang sebelum ini pernah bersama skuad kebangsaan dan skuad B-23 negara akan menguatkan lagi pasukan terutama di posisi tertentu.

“Bagi saya, inilah pemain terbaik untuk kita berdepan Timor Leste,” katanya.

Semua pemain terpilih diminta melapor diri Ahad ini kecuali pemain Johor DT dan Perak pada Isnin sebelum mereka berlepas ke Bangkok pada Selasa untuk menghadapi Laos pada 8 Oktober.

Kim Swee yang membimbing skuad senior dalam aksi tertangguh akibat kekecohan Ultras Malaya ketika ketinggalan 1-2 kepada Arab Saudi mahu anak buahnya tidak memandang mudah pertemuan dengan Laos.

“Keputusan perlawanan dengan Laos perlu diambil serius kerana itu aksi persahabatan A yang membabitkan ranking. Tapi apa yang lebih penting saya mahu melihat keserasian serta kefahaman pemain mengenai taktikal yang akan cuba diterapkan.”

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 5:33 AM

Selasa, 3 September 2019

Nilai pemain ikut prestasi


 
MyMetroUtama
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Penyerang berpengalaman, Safee Sali berharap status pemain kacukan bukan tiket automatik untuk seseorang itu menyarung jersi kebangsaan.

Dia berkata, pemilihan pemain seharusnya dinilai mengikut prestasi dan bukan kerana pemain itu berdarah campuran semata-mata.

“Pemain bola sepak bukan ikut darah campuran atau tidak, tapi kemampuan pemain itu membentuk kombinasi yang baik dalam pasukan.

“Jika pemain kacukan itu mampu memberikan perubahan kepada pasukan kebangsaan, itu bagus tapi kalau sekadar ingin mendapatkan hak kerakyatan dan tiada kesungguhan untuk mewakili negara pada saya ia hanya sia-sia. Lebih baik peluang itu diberikan kepada pemain tempatan, ada ramai lagi yang bagus,” katanya.

Lambakan pemain kacukan yang kini membanjiri Liga Malaysia dijangka mencetuskan angin perubahan baru dalam skuad kebangsaan.

Ketika ini, terdapat 14 pemain kelahiran luar negara yang mempunyai pertalian darah di negara ini diberikan hak kerakyatan dan boleh dipanggil pada bila-bila masa oleh jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe.

Antaranya La-Vere Corbin-Ong, Natxo Insa, Curran Ferns dan Daniel Ting.

Ketika ini, hanya Matthew Davies (14 kap), Darren Lok (9), Brendan Gan (8), Kiko Insa (6), Khair Jones (4) pernah mewakili skuad Harimau Malaya.


DAVIES (kiri) antara beberapa pemain naturalisasi di dalam skuad Harimau Malaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
Menurut Safee yang pernah dinobatkan penjaring terbanyak ketika membantu negara menjulang trofi Piala AFF 2010, kebanyakan pemain kacukan yang dimiliki negara ketika ini memiliki kemampuan lebih kurang sama dengan pemain tempatan.

“Pada saya, hanya dua-tiga pemain kacukan yang dilihat memiliki kualiti lebih baik berbanding pemain tempatan dan yang lain saya fikir lebih kurang sama saja.

“Kita tak boleh terlalu taksub dengan pemain kacukan, jika mereka benar bagus, tiada masalah untuk menyertai skuad kebangsaan. Kita boleh lihat, Indonesia, Singapura yang memiliki pemain naturalisasi tapi belum lagi boleh pergi jauh. Sedangkan Thailand yang lebih ramai pemain tempatan nampak lebih bagus,” kata Kapten PKNS FC itu.

Dah macam askar!


 
MyMetroUtama
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

“MEMANG seram naik Barracuda... dah macam nak pergi perang, bukan main bola.” Itu reaksi spontan bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali yang pernah menaiki kereta perisai Barracuda bersama skuad Harimau Malaya ketika aksi akhir Piala AFF 2010 menentang Indonesia di Gelora Bung Karno, Jakarta.

Dia yang ketika itu membantu negara menewaskan skuad Garuda menerusi agregat 4-2 mengaku tidak pernah terlintas di fikiran untuk menaiki Barracuda yang selalunya digunakan tentera atau polis.

Katanya, dengan ruang dalaman agak sempit dan hanya boleh memuatkan 6-7 orang serta bau yang tidak menyenangkan, ia sama sekali jauh berbeza dengan menaiki bas untuk ke stadium.

“Kita tahu penyokong Indonesia memang ramai kalau perlawanan menentang Malaysia sebab ia bukan perlawanan biasa. Apabila terlalu ramai, kadang kala timbul pelbagai tindakan dan provokasi yang boleh mencetuskan hal-hal keselamatan dan sebab itu kami (skuad Piala AFF 2010) diarahkan untuk naik Barracuda ke stadium dan balik semula ke hotel.

“Macam nak pergi berperang pun ada... pengalaman yang menakutkan. Kita nak pergi main bola, bukan untuk perkara lain. Dari segi keselesaan, memang jauh berbanding menaiki bas. Dari segi psikologi juga tak bagus untuk pemain.

“Untuk fokus juga tak begitu baik kerana ia akan mengganggu tumpuan pemain yang sepatutnya berada dalam keadaan lebih selesa untuk perlawanan,” katanya ketika dihubungi, semalam.


BARRACUDA sempit dan hanya boleh memuatkan 6-7 orang.
Sebelum ini, menerusi laporan Arena Metro menyebut wujud kebimbangan mengenai tahap keselamatan pasukan kebangsaan apabila bertandang ke Jakarta bagi menghadapi aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 5 September ini.

Berdasarkan rekod, pertembungan kedua-dua pasukan sentiasa berlangsung dalam suasana tegang membabitkan penyokong di negara jiran itu di mana skuad Harimau Malaya terpaksa menaiki Barracuda sebanyak dua kali iaitu pada final Piala AFF 2010 dan final Sukan SEA 2011.

Safee, 35, yang pernah beraksi di Liga Indonesia bersama kelab Pelita Jaya pada 2010 tampil mencadangkan supaya pihak berwajib menyediakan laluan khas kepada pasukan agar tidak bertembung dengan penyokong tuan rumah.

“Dalam soal ini, mereka (pihak berwajib) kena buat jangkaan dan perancangan teliti seperti laluan khas untuk pemain ke stadium. Ia bagi mengelak fokus dan tumpuan terganggu disebabkan oleh penyokong,” kata bekas pemenang kasut emas Piala AFF 2010 itu.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 7:01 AM