Jumaat, 24 Februari 2017

Safee mahu jaminan keselamatan pasukan negara

Kuala Lumpur: Penyerang Harimau Malaysia Mohd Safee Sali mahukan jaminan keselamatan buat pasukan negara apabila anak buah Datuk Ong Kim Swee itu dijadualkan berkunjung ke Pyongyang bagi aksi menentang Korea Utara dalam saingan Kumpulan B pusingan ketiga kelayakan bola sepak Piala Asia 2019 pada 28 Mac depan.

Katanya, rasa bimbang tetap bermain di kotak fikiran pemain apatah lagi pergolakan politik antara Malaysia dan Korea Utara ketika ini cukup meruncing.

“Kami mempunyai keluarga di sini (Malaysia) sudah tentu apabila pasukan pergi ke sana (Korea Utara) secara tidak langsung wujud rasa takut dalam kalangan ahli keluarga kami.


“Malah, saya sendiri juga bimbang akan faktor keselamatan sekiranya bermain di sana. Sebab itu, kalau boleh saya harap pihak FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dapat memberi jaminan keselamatan kepada kami sepanjang berada di sana.

“Begitupun, sebagai pemain, kami tetap akan akur dengan apa jua keputusan tapi kalau boleh selesaikan isu ini dengan cepat supaya pemain dapat bersedia sepenuhnya tanpa diganggu dengan masalah itu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan PKNS FC di Kelana Jaya, semalam.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, AFC tetap dengan keputusan asal untuk mengadakan aksi itu di Pyongyang dengan memberi jaminan tahap keselamatan di tahap terbaik.

Ia susulan kematian Jong-nam yang didakwa dibunuh dua wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) minggu lalu sekali gus mencetuskan kebimbangan wujudnya ketegangan atau sebarang sekatan di Pyongyang.

Malah, situasi tegang itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyuarakan kerisauan sambil berharap FAM dapat memikirkan kaedah terbaik bagi mengatasi masalah itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 7:51 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan