Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
SAFEE (dua dari kanan) dijangka
tidak dapat membantu Johor DT berdepan Felda United pada aksi di Stadium Majlis
Perbandaran Temerloh malam ini.
PELEDAK sensasi negara, Mohd.
Safee Sali enggan memikirkan spekulasi berhubung masa depannya yang dikatakan
bakal menyertai pasukan Liga Premier, Johor musim depan.
Sebaliknya, Safee fokus mahu
membantu Johor Darul Takzim (Johor DT) mengharungi saingan Piala Malaysia 2013
terlebih dahulu sebelum kontraknya sebagai pemain pinjaman bersama pasukan itu
tamat November ini.
Safee berkata, setakat ini dia
masih belum menerima sebarang ‘hitam-putih’ daripada Persatuan Bola Sepak
Negeri Johor (PBNJ) berhubung perkara itu.
“Saya masih belum menerima
makluman daripada PBNJ. Jadi, saya menganggap (penghijrahan ke Johor) hanya
satu khabar angin.
“Buat masa ini, saya komited
bersama Johor DT selagi khidmat saya diperlukan,” katanya kepada Kosmo!
semalam.
Polemik berhubung masa depan
Safee dengan Johor DT mula tercetus ekoran kehadiran dua penyerang import,
Pablo Aimar dan Braulio Nobrega Rodriguez bersama pasukan itu baru-baru ini.
Bagaimanapun, pengurus peribadi
Safee, Zakaria Ab. Rahim menasihatkan mana-mana pasukan yang berminat melamar
Safee supaya menghubungi pihak pengurusan Arema Indonesia terlebih dahulu.
Ini kerana, menurut beliau,
Safee masih memiliki kontrak bersama Arema Indonesia (dahulunya dikenali
sebagai Pelita Jaya) sehingga Februari tahun depan.
Safee, 29, yang memulakan
kariernya bersama pasukan Kuala Lumpur, Sarawak dan Selangor kemudiannya
berhijrah ke Arema Indonesia pada 5 Februari 2011 sebelum muncul penjaring
terbanyak kelab itu dengan 20 gol musim lalu.
Sebaik kontraknya tamat pada 31
Januari 2012, Safee telah menandatangani kontrak lanjutan bernilai lebih RM2
juta bersama kelab Indonesia itu sebelum disunting Johor DT menerusi pinjaman
awal musim ini.
Dalam pada itu, Safee
mengesahkan tidak dapat membantu Johor DT berdepan Felda United dalam aksi Kumpulan
B kempen Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran (MP) Temerloh malam ini.
“Saya mengalami kecederaan
baharu di lutut kanan dan memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu untuk
pulih sepenuhnya,” jelasnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz2f9IwyEKI
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan