ARKIB : 03/02/2004
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
SKUAD bola sepak Bawah 23 negara
menerima tamparan dalam persiapan mereka untuk kelayakan Olimpik apabila empat
pemain tonggak termasuk Akmal Rizal Rakhli dan Norhafiz Zamani Misbah mengalami
kecederaan, dan tidak mungkin dapat diuji dalam perlawanan persahabatan dengan
Maldives kata jurulatih, Allan Harris semalam.
Selain pemain penyerang dan ketua
pasukan itu, Harris turut kehilangan pemain tengah, Indra Putra Mahayuddin dan
pemain tengah, Juzaili Samion.
Walaupun, empat pemain itu
melaporkan diri ke kem latihan pusat semalam, namun mereka hampir pasti tidak
sempat untuk puluh daripada kecederaan sebelum perlawanan persahabatan dengan
Maldives Khamis ini.
Akmal mengalami kecederaan ketika
bermain untuk Kedah dalam perlawanan ujian dengan PKNS Selangor dua hari lepas.
``Mujur juga kecederaannya tidak
begitu teruk,'' kata Harris di Wisma FAM semalam. ``Tetapi walaupun kecederaan
buku lalinya semakin pulih, dia tentu tidak akan cukup cergas untuk pertemuan
dengan Maldives.''
Indra Putra turut mengalami
kecederaan buku lali kiri ketika bermain untuk Pahang dalam perlawanan
persahabatan dengan Selangor baru-baru ini.
Kecederaan dua pemain lain
seharusnya lebih membimbangkan Harris.
Ketua pasukan dan pemain
pertahanan dari Negeri Sembilan, Norhafiz jelas memerlukan lebih masa untuk
pulih sejak patah buku lali dalam pertemuan dengan Singapura pada Sukan SEA di
Vietnam Disember lepas. Pemain tengah dari Pahang, Juzaili juga kelihatan agak
perlahan setelah menjalani pembedahan lutut, juga tahun lepas.
Skuad Harris mempunyai beberapa
muka baru dalam senarai 25 pelatih untuk kelayakan Olimpik Athens. Perlawanan
pertama Malaysia dalam kelayakan ialah menentang Iran pada 3 Mac di Stadium Petaling
Jaya.
Selain Iran, pencabar Malaysia
dalam pusingan kelayakan ialah China dan Korea Selatan.
``Saya ada beberapa muka baru
dalam skuad kali ini. Latihan beberapa hari ini akan saya gunakan untuk memberi
peluang kepada mereka menyesuaikan diri dengan pasukan,'' kata Harris.
Untuk latihan pusat, Harris telah
memanggil muka-muka baru iaitu dua pemain dari Kuala Lumpur, Mohd. Safee Sali
dan Mohd. Zulkifli Affendi Zakri. Jurulatih dari England itu turut memanggil
Tengku Alias Tengku Ibrahim dan Tengku Mohd. Adam Tengku Rosly dari Terengganu
dan M. Ravinthiran dari Perak.
SENARAI PELATIH:
Mohd. Safee Mohd. Sali, Mohd.
Zulkifli Affendi Mohd. Zakri (Kuala Lumpur); Akmal Rizal Rakhili, Rezuan Radzy,
Muhammad Al Hafiz Hamzah (Kedah); Mohammad Syaiful Sabtu, Norhafiz Zamani
Misbah, K. Rajan, Yosri Dermaraju (Negeri Sembilan); Abdul Aziz Ismail (Pulau
Pinang); Irwan Fadli Idrus, Mohd. Fazli Shaari, Indra Putra Mahayuddin
(Pahang); M. Ravinthiran, R. Surendren (Perak), Ronny Harun (Sabah); Muhammad
Faizal Abdul Rashid, Mohd. Amri Yahyah, Rudie Ramli (Selangor); Mohd. Haris
Safwan Kamal (Selangor MPPJ); Mohd. Syamsuri Mustafa, Mohd. Mazuki Yusof, Mohd.
Norhisham Hassan, Tengku Alias Tengku Ibrahim, Tengku Adam Rosly (Terengganu).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4drQAeqlM
© Utusan Melayu (M) BhdS