Khamis, 10 Mei 2018

PKNS perlu perkasa jentera serangan

MyMetroArena
Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@nstp.com.my
 
Kuala Lumpur: Ketumpulan serangan harus jadi keutamaan buat setiap pemain PKNS FC sekiranya mahu mengelak tewas buat kali kedua di tangan Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Pada aksi pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebelum ini, skuad Semut Merah tewas 1-2 kepada skuad Warga Kota itu.

Penyerangnya PKNS FC, Safee Sali berkata, tiada jalan mudah untuk memastikan kemenangan kecuali perlu memanfaatkan setiap peluang terhasil.

“Sudah pasti kami tidak sabar untuk menentang Kuala Lumpur terutama selepas keputusan perlawanan pertama sebelum ini yang agak mengecewakan.

“Pada perlawanan itu, kita menguasai perlawanan tetapi gagal jaringkan gol. Jadi saya harap kali ini aspek penyudah dapat diatasi,” katanya.

Dalam masa sama, secara peribadi Safee akui belum mencapai tahap terbaik, namun kekal positif untuk baiki kelemahan.

“Ketika ini, prestasi saya mungkin dalam sekitar 90 peratus. Jadi saya perlu bekerja keras untuk tampil lebih baik. Saya juga berharap dapat beraksi dalam kesebelasan utama untuk membantu jentera serangan kerana kami perlu lakukan serangan bertali arus,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 4:12 AM