Jumaat, 15 April 2016

Demi karier Safee

ARKIB : 06/12/2012
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Safee Sali
KUALA LUMPUR - Penyerang kebangsaan, Safee Sali berkata keputusannya menyertai Johor pada musim depan demi menyelamatkan kariernya.

Menurutnya, kesungguhan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mendapatkan khidmatnya, juga mendorong beliau memilih menyarung jersi pasukan Harimau Selatan itu.

“Dalam keadaan sekarang, saya pilih menyertai Johor untuk menyelamatkan karier saya. Saya nampak usaha Johor untuk cuba membuat perubahan dalam arena bola sepak negara... saya terima dan hormati cara mereka.

"Saya dapat rasakan Johor akan memberi impak yang amat positif dalam saingan liga musim depan," katanya semalam.

Sementara itu, penyertaan Safee ke Johor yang dikatakan tergesa-gesa kelmarin tidak wajar dijadikan isu kerana perpindahan itu demi menyelamatkan karier pemain tersebut, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad.

Menurutnya, semua pihak perlu melihat skop yang lebih besar iaitu mengenai masa depan Safee jika masih beraksi dalam Liga Super Indonesia (ISL) ekoran kemelut dalaman yang masih gagal diselesaikan oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Tambahnya, perpindahan Safee juga tidak mengganggu fokus penyerang berusia 28 tahun itu dalam menghadapi saingan separuh akhir Piala Suzuki AFF, Ahad ini.

“Perpindahan Safee demi kebajikannya pemain utama kebangsaan yang perlu dijaga.

“Jika PSSI digantung, ia boleh menjejaskan peluang Safee bermain dengan skuad kebangsaan dan perkara ini harus diselesaikan secepat mungkin demi masa depan Safee," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, kelmarin.

Safee menandatangani kontrak dengan Johor kelmarin, di Wisma FAM setelah sesi sebenar yang dijadualkan di sebuah hotel di sini tidak dapat diadakan kerana Safee tidak hadir.

Ekoran itu, pengurusan PBNJ yang diketuai Presidennya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim ke Wisma FAM untuk menemui Safee.

Penyerang Arema itu bersetuju menyertai Johor atau kini dikenali Darul Takzim FC secara pinjaman musim 2013 selama setahun.

Azzuddin menambah, jika Safee kehilangan peluang bermain ekoran penggantungan sebarang aktiviti bola sepak di Indonesia, beliau yakin ramai akan menyalahkan FAM kerana gagal bertindak cepat.

“Jika kelab yang diwakili Safee digantung, sudah tentu ramai pihak akan mengkritik FAM dengan pelbagai kemungkinan seperti tidak memberikan nasihat atau peringatan kepadanya sebelum perkara-perkara ini terjadi," katanya.

Azzuddin juga berharap kemunculan mengejut Tunku Ismail di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi menemui Safee kelmarin, tidak sewajarnya menjadi isu.

“Baginda mempunyai hak selaku Presiden PBNJ yang merupakan salah satu ahli gabungan FAM," katanya.

Pengurus peribadi Safee, Zakaria Rahim, menjelaskan Johor akan membuat pengumuman rasmi mengenai perpindahan Safee selepas berakhirnya kempen negara dalam Piala Suzuki AFF.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121206/su_01/Demi-karier-Safee#ixzz45uz9f1hf © Utusan Melayu (M) Bhd