Rabu, 26 Julai 2017

Ambil peluang


 
SAFEE mahu rakan pamer aksi cemerlang berdepan Titans.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Pemain perlu manfaatkan segala peluang jika mahu mengutip tiga mata”.

Itu gesaan ketua pasukan PKNS FC, Safee Sali kepada rakan sepasukannya menjelang pertemuan menentang T-Team pada aksi ke-18 saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Jelas penyerang berpengalaman itu, kegagalan jentera depan menyempurnakan deretan peluang pada pertemuan dengan Sarawak, Sabtu lalu tidak harus berulang jika pasukannya berhasrat mahu meraih tiga mata di halaman sendiri.

“Kami boleh meraih lebih banyak jaringan ketika menang 1-0 ke atas Sarawak tempoh hari, tapi disebabkan kegagalan memanfaatkan peluang kami sekadar dapat hanya satu gol.

“Dalam bola sepak, jika gagal memanfaatkan peluang terhidang anda akan dihukum. Saya harap bukan saja penyerang tapi juga pemain lain juga harus membantu pertingkatkan sentuhan jaringan,” katanya semalam.

Skuad Semut Merah yang kini dibimbing Sven Gartung bagi menggantikan E Elavarasan yang dipecat susulan prestasi tidak menentu pasukan, menyaksikan jurulatih dari Jerman itu berjaya menghadiahkan tiga mata ketika menewaskan Sarawak sebelum ini.

Ketika ini, PKNS bergelut di kelompok bawahan liga apabila berada pada kedudukan kelapan dengan mengumpul 18 mata.

Mengulas pertemuan dengan skuad kendalian Rahmad Darmawan itu, ia bakal menjanjikan saingan sengit kerana T-Team pasti mahu bangkit daripada kekalahan memalukan 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sebelum ini.

“Mereka pastinya akan bangkit untuk memburu kemenangan selepas tewas besar kepada Johor DT. Mereka ibarat seperti harimau terluka.

“Apa cara sekalipun, kami perlu mendapatkan tiga mata malam esok (ini). Namun kami tidak boleh pandang mudah dan kelebihan di halaman sendiri harus dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 4:01 AM