Ahad, 3 Januari 2021

Ramazotti, Safee julang PKNS FC

MyMetroArena



Zulfaizan Mansor

zulfaizan@nstp.com.my

JARINGAN Rafael Ramazotti dan kapten, Safee Sali pada babak kedua memadai untuk PKNS FC meraih kemenangan 2-0 ke atas Melaka United di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Tiga mata berharga diraih skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu membolehkan mereka mengumpul 14 mata selepas sembilan perlawanan.

Malah, kemenangan itu juga sudah pasti menjadi pengubat kekecewaan selepas tewas tipis 1-2 kepada Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Bagi Melaka United pula, ia adalah kekalahan keenam dialami mereka dan skuad Hang Tuah kini berada di kedudukan 10 selepas hanya mengumpul sembilan mata.

Pada aksi sebentar tadi, kegagalan jentera serangan kedua-dua pasukan melakukan penyudah menyaksikan babak pertama berakhir tanpa jaringan.

PKNS perlu menunggu hingga minit ke-68 untuk membuka jaringan menerusi Ramazotti sebelum Safee menambah gol kedua ketika perlawanan berbaki 10 minit.

Melaka United cuba bangkit dengan beberapa gerakan, namun berjaya dipatahkan pertahanan PKNS yang diketuai Zac Anderson, sekali gus menyaksikan keputusan 2-0 memihak Semut Merah kekal hingga wisel penamat.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 12:12 AM