Sabtu, 22 Oktober 2016

Lima keluar, Safee masuk

 
Safee disenarai dengan lima pemain lain digugurkan. FOTO NSTP
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee membuat keputusan mengejut dengan memanggil semula penyerang senior Mohd Safee Sali bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi kempen Piala AFF 2016 di Yangon, Myanmar bulan depan.

Daripada 26 pemain yang disenaraikan bagi kem latihan pusat terakhir bermula 25 Oktober, Safee, 32, pemenang kasut emas Piala AFF 2010 adalah pemain baru daripada 30 pemain yang diuji Kim Swee dalam aksi persahabatan dengan Singapura dan Afghanistan sebelum ini.


Lima pemain yang digugurkan untuk kem latihan itu adalah dua pemain PDRM, Abdul Latiff Suhaimi dan Fakrul Aiman Sidid serta Adam Nor Azlin (Selangor), Fazrul Hazli Kadri (Perak) dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (JDT).

Seramai 18 pemain daripada senarai itu diminta untuk melaporkan diri pada 25 Oktober manakala baki 8 pemain yang terlibat dengan Final Piala Malaysia 2016 antara Selangor dan Kedah pada 30 Oktober perlu melapor diri pada Selasa, 1 November 2016.

Seterusnya barisan 26 pemain skuad Harimau Malaysia itu akan ke Port Dickson, Negeri Sembilan dari 2 hingga 4 November bagi kem bina semangat sebelum kembali meneruskan kem latihan di Wisma FAM pada 5 November termasuk menghadapi satu perlawanan antarabangsa bertemu pasukan ranking ke-159 dunia, Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pada Isnin, 14 November 2016.

Selepas itu, senarai 23 pemain terakhir dipilih Kim Swee akan diumumkan dan mereka dijadual berlepas ke Yangon, Myanmar pada 16 November untuk menghadapi saingan Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016 bertemu pasukan juara pusingan kelayakan pada 20 November, Vietnam pada 23 November dan tuan rumah, Myanmar pada 26 November.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 5:47 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan