Ahad, 16 April 2017

PKNS ke Larkin tanpa kelibat Safee

safee sali
Safee Sali
PENGENDALI PKNS FC, E Elavarasan mengesahkan pasukannya bakal beraksi tanpa kelibat Safee Sali menentang  Johor Darul Ta’zim (JDT)  dalam  aksi Liga Super  di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.
Kata Elavarasan, beliau terpaksa mengetepikan bekas  pemain JDT itu kerana gentlemen’s agreement antara pasukan itu dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Disebabkan terdapat gentlemen’s agreement antara TMJ dan pasukan ini, Safee tidak akan bermain menentang kelab asalnya seperti yang telah terjadi kepada Amri Yahyah (Melaka United).
“Memang sedikit terasa kehilangannya, tetapi apa jua situasi kami perlu harungi perlawanan itu,” katanya.
Tambah memeritkan, PKNS turut akan kehilangan penyerang importnya, Patrick Ronaldinho Wleh yang digantung perlawanan setelah mengumpul tiga kad kuning.
“Kita menghadapi sedikit masalah di bahagian serangan kerana kehilangan kedua-dua penyerang utama.
“Mungkin Lucas Sebastian Espindola akan diletakkan di bahagian serangan. Kita akan tengok dulu bagaimana percaturan beberapa hari sebelum perlawanan,” katanya.
Walaupun dibayangi ketumpulan di bahagian serangan namun Elavarasan tetap yakin bahawa pemain The Red Ants  mampu mencipta kejutan sekurang-kurangnya meraih satu mata berharga

Selasa, 11 April 2017

Kemenangan bawa kelegaan buat Harris



ARKIB : 06/02/2004
SKUAD bola sepak Olimpik negara mencatat kemenangan 2-0 ke atas Maldives, keputusan yang harus melegakan Allan Harris namun jurulatih itu sedikit terkilan kerana pasukan bimbingannya kurang mendapat pendedahan menjelang kelayakan Olimpik, bulan depan, lapor johari shawal.

Harris tidak menyembunyikan kekecewaannya itu ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

``Ini adalah perlawanan pertama kami di peringkat antarabangsa. Mana mungkin saya dapat sediakan pasukan yang baik jika kami tidak dapat peluang bermain lebih banyak perlawanan persahabatan.

``Memang kami perlukan banyak perlawanan seperti ini untuk menghadapi kelayakan besar seperti itu (kelayakan Olimpik),'' kata Harris.

Skuad negara mengharungi misi sukar dalam kelayakan Sukan Olimpik ke Athens bulan depan apabila diletakkan sekumpulan dengan tiga pasukan gergasi Asia, Iran, Korea Selatan dan China.

Malaysia akan membuka kempen kelayakannya menentang Iran pada 3 Mac di Stadium Petaling Jaya.

Harris berkata, sehingga kini beliau tidak mendapat sebarang khabar sama ada FAM ada mengatur lagi sebarang perlawanan persahabatan untuk pasukannya.

Dalam perlawanan semalam, kedua-dua gol Malaysia dijaringkan pada separuh masa kedua menerusi Tengku Adam Tengku Rosly hasil sepakan penalti pada minit ke-57 dan rembatan padu penyerang, Mohd. Safee Sali minit ke-73.

``Pemain nampak agak goyah pada awal permainan tetapi kesudahannya baik,'' kata Harris.

Skuad negara turun tanpa empat tonggak iaitu penyerang, Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Juzaili Samion dan ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah kerana cedera.

``Saya harap Akmal akan pulih menjelang perlawanan menentang Iran nanti begitu juga dengan Juzaili. Keadaan Zamani pula masih tidak dapat dipastikan, Indra pula 50-50,'' katanya.

Skuad bawah 23 negara akan pulang ke pasukan negeri masing-masing sebelum kembali dihimpunkan pada 23 Februari.

Pasukan kebangsaan Maldives pula dalam persiapan untuk kelayakan Piala Dunia. Mereka diletakkan dalam Kumpulan 7 bersama Korea, Vietnam dan Lebanon.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dvdJMZLF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 10 April 2017

Skuad Olimpik terima tamparan



ARKIB : 03/02/2004
Oleh A. JAILANI ABDULLAH

SKUAD bola sepak Bawah 23 negara menerima tamparan dalam persiapan mereka untuk kelayakan Olimpik apabila empat pemain tonggak termasuk Akmal Rizal Rakhli dan Norhafiz Zamani Misbah mengalami kecederaan, dan tidak mungkin dapat diuji dalam perlawanan persahabatan dengan Maldives kata jurulatih, Allan Harris semalam.

Selain pemain penyerang dan ketua pasukan itu, Harris turut kehilangan pemain tengah, Indra Putra Mahayuddin dan pemain tengah, Juzaili Samion.

Walaupun, empat pemain itu melaporkan diri ke kem latihan pusat semalam, namun mereka hampir pasti tidak sempat untuk puluh daripada kecederaan sebelum perlawanan persahabatan dengan Maldives Khamis ini.

Akmal mengalami kecederaan ketika bermain untuk Kedah dalam perlawanan ujian dengan PKNS Selangor dua hari lepas.

``Mujur juga kecederaannya tidak begitu teruk,'' kata Harris di Wisma FAM semalam. ``Tetapi walaupun kecederaan buku lalinya semakin pulih, dia tentu tidak akan cukup cergas untuk pertemuan dengan Maldives.''

Indra Putra turut mengalami kecederaan buku lali kiri ketika bermain untuk Pahang dalam perlawanan persahabatan dengan Selangor baru-baru ini.

Kecederaan dua pemain lain seharusnya lebih membimbangkan Harris.

Ketua pasukan dan pemain pertahanan dari Negeri Sembilan, Norhafiz jelas memerlukan lebih masa untuk pulih sejak patah buku lali dalam pertemuan dengan Singapura pada Sukan SEA di Vietnam Disember lepas. Pemain tengah dari Pahang, Juzaili juga kelihatan agak perlahan setelah menjalani pembedahan lutut, juga tahun lepas.

Skuad Harris mempunyai beberapa muka baru dalam senarai 25 pelatih untuk kelayakan Olimpik Athens. Perlawanan pertama Malaysia dalam kelayakan ialah menentang Iran pada 3 Mac di Stadium Petaling Jaya.

Selain Iran, pencabar Malaysia dalam pusingan kelayakan ialah China dan Korea Selatan.

``Saya ada beberapa muka baru dalam skuad kali ini. Latihan beberapa hari ini akan saya gunakan untuk memberi peluang kepada mereka menyesuaikan diri dengan pasukan,'' kata Harris.

Untuk latihan pusat, Harris telah memanggil muka-muka baru iaitu dua pemain dari Kuala Lumpur, Mohd. Safee Sali dan Mohd. Zulkifli Affendi Zakri. Jurulatih dari England itu turut memanggil Tengku Alias Tengku Ibrahim dan Tengku Mohd. Adam Tengku Rosly dari Terengganu dan M. Ravinthiran dari Perak.

SENARAI PELATIH:
Mohd. Safee Mohd. Sali, Mohd. Zulkifli Affendi Mohd. Zakri (Kuala Lumpur); Akmal Rizal Rakhili, Rezuan Radzy, Muhammad Al Hafiz Hamzah (Kedah); Mohammad Syaiful Sabtu, Norhafiz Zamani Misbah, K. Rajan, Yosri Dermaraju (Negeri Sembilan); Abdul Aziz Ismail (Pulau Pinang); Irwan Fadli Idrus, Mohd. Fazli Shaari, Indra Putra Mahayuddin (Pahang); M. Ravinthiran, R. Surendren (Perak), Ronny Harun (Sabah); Muhammad Faizal Abdul Rashid, Mohd. Amri Yahyah, Rudie Ramli (Selangor); Mohd. Haris Safwan Kamal (Selangor MPPJ); Mohd. Syamsuri Mustafa, Mohd. Mazuki Yusof, Mohd. Norhisham Hassan, Tengku Alias Tengku Ibrahim, Tengku Adam Rosly (Terengganu).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4drQAeqlM
© Utusan Melayu (M) BhdS

Rabu, 29 Mac 2017

Tewas selepas mencuba

ARKIB : 17/03/2003
 
PEMAIN MALAYSIA, Mohd. Safee Mohd. Sali (kiri) dirempuh pemain Korea Selatan, Lee Jong Min dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Kejohanan Bola Sepak Belia Antarabangsa FAM-ProEvents di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia tewas 2-0.

SKUAD negara membuktikan kemampuan untuk menyaingi kehebatan Korea Selatan tetapi terpaksa akur dengan kelebihan taktikal pasukan lawan apabila tumpas 2-0 pada perlawanan merebut tempat ketiga Kejohanan Bola Sepak Belia Antarabangsa FAM-ProEvents di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Malah, dua gol kemenangan Korea Selatan oleh Jung Jo-gook dan Kim Dong-hwan pada babak kedua perlawanan hanya mampu dihasilkan selepas kedua-duanya bekerja keras untuk melepasi benteng Malaysia yang sentiasa membayangi penyerang lawan.

Malaysia juga nyaris memperoleh dua gol tetapi kecetekan pengalaman kurang keyakinan diri menyebabkan pemain terpaksa berputih mata.

Korea Selatan, pasukan yang mengadakan persiapan menjelang Piala Dunia Belia di UAE, jelas memiliki kelebihan dari segi fizikal dengan larian penuh bertenaga.

Namun, mereka hanya mampu menggegarkan jaring gol skuad binbingan jurulatih K. Rajagopal pada minit ke-42 apabila Jo-gook menanduk masuk hantaran silang sayap kiri, Lee Jong-min hanya untuk berasa kecewa apabila dia didapati berada dalam keadaan offside.

Dua minit selepas itu, pertahanan Korea Selatan pula cemas apabila MALAYSIA melancarkan serangan pantas.

Pemain tengah, Tengku Alias Tengku Ibrahim menerima bola hantaran jauh sebelum melorongkannya kepada R. Surendran yang kemudian menewaskan seorang pertahanan lawan tetapi percubaannya tersasar sedikit di sebelah kanan gawang lawan.

Malaysia kemudian nyaris mendapat gol pada minit ke-79 tetapi, sepakan percuma Mat Saiful Mohamad dari jarak kira-kira 20 meter hanya terkena palang.

Dua minit sebelum itu, Korea Selatan mendapat gol semangat apabila Jo-gook menanduk masuk hantaran lintang Kim Young-chul.

Perlawanan yang kemudiannya agak seimbang bagaimanapun terus menyebelahi Korea Selatan, juara Kejohanan Belia Asia tahun lepas, apabila mereka memperoleh gol kedua ketika permainan berusia 88 minit, kali ini menerusi tandukan Dong-hwan hasil sepakan sudut Jong-min.

Jurulatih skuad negara, Rajagopal jelas berpuas hati dengan persembahan anak didiknya terutama Mohd. Fadzli.

``Mereka menunjukkan mutu permainan yang bagus. Mereka tidak gentar menghadapi skuad Korea Selatan yang memiliki reputasi lebih baik di peringkat antarabangsa,'' kata Rajagopal selepas perlawanan, sambil mengingatkan bahawa Korea Selatan berada pada ranking kedua Asia manakala skuad negara di tangga ke-18.

``Fadzli juga menunjukkan bahawa dia boleh pergi jauh dan mempunyai harapan untuk diserapkan ke dalam skuad sukan SEA hujung tahun ini tetapi ia bergantung kepada perancangan,'' jelas bekas jurulatih Kelantan itu.

Namun, Fadzli terpaksa digantikan dengan Mohd. Safee Mohd. Sali pertengahan babak kedua setelah mengalami kecederaan.

Rajagopal turut memuji Yosri Derma Raju dan M. Ravinthiran yang dianggapnya beraksi dengan cemerlang sepanjang kejohanan itu.

Jurulatih Korea Selatan, Park Sung-hwa turut mengakui kemampuan yang dimiliki oleh skuad negara.

``Mereka mempunyai kemahiran mengawal bola seperti pemain-pemain Brazil dan telah memberikan saingan kuat kepada kami.

``Bagaimanapun, kami juga tidak dapat menurunkan pasukan terkuat kerana empat pemain tonggak kami cedera,'' jelasnya.

MALAYSIA - Mohd. Helmi Eliza Elias, M. Ravinthiran, Yosri Derma Raju, Tengku Alias Tengku Ibrahim, Mohd. Norhisham Hassan, R. Surendran, K. Linggam, Noor Zaidi Rohmat (Mohd. Firdaus Mokhtar), Mat Saiful Mohamad, Rudie Ramli, Mohd. Fadzli Saari.

KOREA SELATAN - Kim Young-kwang, Oh Beo-seok, Kim Chi-woo, Kim Chi-gon (Yeo Hyo-jin), Park Ju-sung, Kim Jin-kyu, Lee Jong-min, Jung Jo-gook, Lee Gil-hoon (Han Jae-woong), Choo Sung-yoon (Kim Young-chul), Kim Dong-hwan.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cjBpNbJe

© Utusan Melayu (M) Bhd