Sabtu, 21 Oktober 2017

Semangat juang julang Kedah

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED sukan@kosmo.com.my
KAPTEN Perak, Ahmad Shahrul Azhar (tengah) dihalang pemain Kedah, Victor Andrag (kanan) dan Shafizan Hashim pada aksi Liga Super di Stadium Perak kelmarin.

PENGURUS pasukan Kedah, Datuk Othman Aziz muncul individu paling gembira selepas menyaksikan anak buahnya mencipta kemenangan 5-2 ke atas Perak pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.

“Saya berbangga dengan persembahan mantap yang ditunjukkan barisan pemain Kedah sehingga berjaya menewaskan musuh tradisi, Perak walaupun beraksi di gelanggang lawan,” jelas Othman.

Othman berkata, semangat juang yang dipamerkan barisan mudanya pada perlawanan itu telah menunjukkan bahawa mereka adalah pemain yang hebat.

Menurutnya, walaupun terdapat beberapa insiden kekasaran pada perlawanan tersebut, namun pemainnya dapat menyerap tekanan daripada pemain tuan rumah.

“Pemain berjaya mengekalkan fokus mereka dan terus bangkit walaupun ketinggalan pada awal permainan,” kata Othman.

Tambahnya, kemenangan ini telah mematangkan lagi barisan pemain mudanya yang begitu ghairah memburu gol pada setiap perlawanan.

Gol-gol Kedah telah dijaringkan oleh Mohd. Khyril Muhymeen pada minit keenam, Badrul Bakhtiar (17), Marlon Alex James (59, 69) dan Hasmawi Hassan (85).

Manakala Perak pula memperoleh jaringan menerusi Mohd. Khalid Jamlus pada minit ketiga dan Mohd. Noor Hazrul (14).

“Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kepada pemain dan jurulatih kerana berjaya dalam perlawanan yang boleh dikatakan mencabar pada musim ini,” kata Othman.

Menurut Othman, beliau berharap pemainnya dapat mengekal rentak permainan pada perlawanan menentang Negeri Sembilan Naza di Stadium Darulaman, Alor Star malam esok.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4w8KVwDMV
Hakcipta terpelihara

Safee mahu kekal rentak



 
Safee Sali

“KEMENANGAN Selangor bukan disebabkan faktor individu, tetapi kerana pemain bermain secara berpasukan,” lapor DRAHMAN BAHAROM.

Demikian tegas penyerang sensasi Selangor, Safee Sali ketika mengulas mengenai kejayaan pasukannya membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Safee muncul wira skuad Gergasi Merah apabila meledak hatrik pada perlawanan itu yang banyak dikuasai tuan rumah.

Menurut Safee, gandingannya bersama penyerang import, Frank Seator semakin menunjukkan peningkatan.

“Selepas empat perlawanan bersama, saya rasa gandingan kami semakin mantap.

“Selain itu, kerjasama daripada semua pemain amat penting kerana ia menjadi antara kunci kejayaan kami,” kata Safee kepada KOSMO! semalam.

PDRM mendahului pada minit ketujuh apabila pemain import, Hillary Echesa menjaringkan gol pembukaan.

Namun, jaringan itu tidak melemahkan Selangor yang tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Safee menemui sasaran pada minit ke-14.

Safee sekali bertindak cemerlang apabila meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-28 sebelum dia melengkapkan hatrik sembilan minit kemudian.

Akmal Rizal Rakhli melengkapkan malam gemilang Selangor dengan menjaringkan gol keempat tuan rumah pada minit-minit terakhir perlawanan.

Safee berkata, beberapa kesilapan yang dilakukan pemain pertahanan PDRM memberi peluang kepadanya untuk menjaringkan gol.

“Aksi barisan pertahanan PDRM kurang menyerlah, membuatkan kami mudah menjaringkan gol pada perlawanan itu,” katanya.

Katanya, dia berharap Selangor mengekalkan rentak kemenangan untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka.

Selangor yang berada di tangga kedua liga kini berkongsi 16 mata dengan Kedah yang masih mendahului liga, namun kedua-dua pasukan hanya dibezakan dengan jaringan gol.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4w8GjlHxq
Hakcipta terpelihara

Jumaat, 20 Oktober 2017

Anak sulung suntik semangat Safee Sali



ARKIB : 25/12/2007
Anak sulung suntik semangat Safee Sali
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
Safee Sali.

SHAH ALAM – Rezeki kelahiran anak sulung, Nur Syaza Syaqina ternyata menyuntik kekuatan luar biasa penyerang, Safee Sali untuk menjaringkan gol kemenangan Selangor dalam menewaskan Pulau Pinang 2-1 pada perlawanan bola sepak Liga Super, kelmarin.

Bayangkan tidak sampai pun seminit dia masuk menggantikan Indra Putra Mahayuddin, Stadium Shah Alam sudah kembali bergema dengan sorakan ceria 5,000 penyokong Merah Kuning apabila rembatan kaki kirinya membolosi gawang kawalan Faizal Yusuf.

‘‘Gol ini saya tujukan kepada cahaya mata sulung saya yang lahir pada 17 Disember lalu di Sarawak (hasil perkongsian hidup dengan Sabarina Yusof).

‘‘ Ia seperti suntikan semangat baru,’’ kata penyerang utama skuad negara berusia 23 tahun ini.

Menurut Safee, gol sulungnya yang turut membawa Selangor menerajui liga selepas empat perlawanan bakal menjadi perangsang untuk merebut semula tempat dalam kesebelasan utama pasukan biarpun kini dibanjiri lebih ramai penjaring gol dan penyerang.

‘‘Gol ini bagaimanapun tetap diperoleh hasil kerjasama sepasukan,’’ katanya yang bermain kali kedua untuk Selangor musim ini tetapi dalam tempoh lebih lama, 27 minit berbanding 20 minit ketika menentang bekas pasukannya, Sarawak (18 Disember lalu).

Safee yang baru kembali daripada skuad Malaysia ke Sukan SEA Korat, menganggap satu cabaran yang sihat apabila melihatkan Selangor memiliki banyak pilihan penyerang yang hebat seperti Akmal Rizal Rakhli, Indra, Frank Seator, Amri Yahyah dan R. Surendren.

‘‘Dari satu segi pula, ia tetap bagus kepada pasukan apabila sesiapa pun mampu menjaringkan gol untuk Selangor, namun yang penting semuanya boleh bekerjasama dan bersefahaman malah saya tiada masalah untuk bergandingan dengan sesiapa,’’ katanya.

Selangor mulanya tersentak dengan gol S. Thiagaran pada minit ke-53 tetapi mujurlah ketua pasukan, Fadzli Saari bangkit menyelamatkan maruah tuan rumah daripada dicalarkan Harimau Kumbang dengan rembatan gol penyamaan, seminit kemudian.

Aksi kelmarin bagaimanapun belum memuaskan hati jurulatih Selangor, Dollah Salleh terutamanya kegoyahan benteng pertahanan yang turut menyaksikan kemunculan sulung pemain import dari Zambia, Evan Chisulo sehingga dikejutkan dengan gol Pulau Pinang.

‘‘Memang benteng Selangor agak goyah dan kucar-kacir sekali gus perlu diperbetulkan selepas ini tetapi mungkin lawan tidak mengambil kesempatan ketika itu. Mujur keputusan menyebelahi kami selepas saya memasukkan Fazilidin Khalid dan Amirulhadi Zainal serta Safee.

‘‘Seator kurang tajam kali ini kerana bermain dalam keadaan demam sementara Chisulo masih tercari rentak permainan dan hasratnya untuk membuktikan kemampuan kepada penyokong dalam penampilan sulung ini menjejaskan sedikit prestasinya,’’ katanya.

Sementara itu, Dollah meramalkan seorang lagi pemain import iaitu sayap kanan lincah dari Indonesia, Elie Aiboy bakal menyertai Selangor dalam pertengahan atau akhir bulan depan sebaik sahaja menamatkan liga di sana.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4w3mx7yEY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Norshahrul gandingan baru Safee Sali



ARKIB : 07/12/2007

KORAT – Ibarat sirih pulang ke gagang menjadi gambaran tepat Norshahrul Idlan Talaha atas kepercayaan jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara, B. Sathianathan kepadanya sebagai gandingan baru barisan depan dengan Safee Sali untuk menghadapi Singapura, esok.

Posisi asal yang ditinggalkannya apabila menyertai UPB-MyTeam dalam Liga Malaysia, kembali didukungnya apabila melayari cabaran negara memburu salah satu tempat ke separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Korat di Stadium Universiti Teknologi Suranaree.

“Ini posisi yang agak lama saya tinggalkan ketika bersama Negeri Sembilan beberapa musim lalu kerana kerap dipanggil mewakili skuad belia negara sejak Kelayakan Olimpik lagi malah sempat ke Sukan Asia Doha tahun lalu.

“Dalam kebanyakan perlawanan antarabangsa, saya kerap bertindak selaku pemain tengah mahupun penyokong serangan,” kata anak muda berusia 21 tahun setinggi 1.70 meter ini selepas menjalani latihan di Padang Pangkalan Tentera Udara Thailand, semalam.

Tempat Norshahrul diuji dalam dua sesi latihan sejak kelmarin selepas Malaysia kehilangan khidmat gandingan utama Safee, Zaquan Adha Radzak yang mengumpul dua kad kuning menentang Vietnam dan Laos di gelanggang yang sama pada Sabtu dan Isnin lalu.

Namun anak jati Besut, Terengganu ini masih perlu bersaing untuk memastikan tempatnya tidak disambar oleh penyerang simpanan, Samransak Kram mahupun Safiq Rahim yang boleh bertindak sebagai penyokong serangan atau perancang dari tengah.

Dalam temasya dwitahunan ke-24 ini, dia hanya diturunkan pada babak kedua menentang Vietnam untuk menggantikan Safiq tetapi kemampuannya lebih menonjol sebaik sahaja masuk mengambil alih tempat ketua pasukan, Azi Shahril Azmi yang tercedera paha pada minit keempat menentang Laos.

Norshahrul sempat menjaringkan satu gol ke atas Lesotho dalam perlawanan peringkat kumpulan Pestabola Merdeka ketika Malaysia menang 4-0 di Shah Alam tetapi dari posisi tengah dan sejak itu dia masih berkemarau gol di pentas antarabangsa.

Pengalamannya dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain di Shah Alam pada 28 Oktober lalu mungkin mampu dimanfaatkan sekali gus membantu Malaysia melepasi Singapura sebagaimana mereka menang 3-1 dalam Pestabola.

Langkahnya mungkin agak mudah memandangkan pendahulu Kumpulan B ini kehilangan khidmat pemain tengah bertahan, Isa Halim yang dilayangkan kad merah dalam baki setengah jam perlawanan ketika mereka menewaskan Vietnam 3-2, Isnin lalu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4w30p28sT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 19 Oktober 2017

Safee sedia jadi jawapan Vingada



Devinder Singh
devinder@nst.com.my
 
Kuala Lumpur: Safee Sali (gambar) menegaskan, dia belum bersedia bersara daripada mewakili negara dan mahu membantu skuad kebangsaan mengatasi masalah kekurangan jentera penyerang.

Selepas jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada mengadu tidak memiliki penyerang yang cukup sebelum kekalahan 0-2 kepada Hong Kong pada aksi kelayakan Piala Asia 10 Oktober lalu, penyerang PKNS itu berkata, dia berhasrat kembali bermain bersama skuad kebangsaan.

Kali terakhir Safee beraksi bersama skuad kebangsaan ialah ketika Malaysia seri 0-0 menentang Filipina. Mac lalu. Ia adalah penampilan ke-79 dirinya bersama Harimau Malaya dan perlawanan terakhir skuad negara dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Vingada tidak menyenaraikan Safee dalam lima perlawanan yang berakhir tanpa kemenangan sejak pelantikannya Mei lalu, menyenaraikan pasukan tanpa penyerang ketika menentang Hong Kong susulan kecederaan Ahmad Hazwan Bakri, Shahrel Fikri Fauzi dan Darren Lok.

“Saya tidak terasa apabila tidak dipanggil dalam skuad kebangsaan kerana saya baru saja pulih daripada kecederaan. Jadi saya tidak mengharapkan dapat kembali ke skuad kebangsaan lagi buat masa ini,” kata Safee, 33.

“Memang benar skuad negara kekurangan penyerang dengan kebanyakan mereka yang beraksi dalam Liga Malaysia adalah pemain import. Tetapi, saya masih belum menutup pintu daripada mewakili skuad kebangsaan. Jika saya dipanggil semula, saya akan cuba lakukan yang terbaik.”

Malaysia bakal menentang Korea Utara dua kali pada bulan depan dalam kempen kelayakan Kumpulan B Piala Asia 2019 dan Safee berharap namanya disenaraikan semula bagi menambah koleksi 23 jaringan yang sudah disumbang ketika perlawanan antarabangsa.

“Saya bersedia dipanggil semula dan saya harap dapat bermain dengan baik serta segera mencari keserasian bersama pemain lain,” kata Safee yang membuat penampilan sulung antarabangsa pada 2005 dengan lima gol disumbang ketika negara memenangi Piala AFF 2010.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 6:24 PM

Rabu, 18 Oktober 2017

Malaysia bangkit - Skuad negara hidupkan peluang benam Laos 4-0


 

ARKIB : 04/12/2007
Daripada: ABDUL HAFIZ AHMAD
MOHD. Khyril Muhymeen (tengah) diasak oleh dua pemain Laos dalam saingan bola sepak Sukan SEA di Korat, semalam. Malaysia menang 3-0.

KORAT – Malaysia menghidupkan semula peluang ke separuh akhir bola sepak lelaki dengan membenam Laos 4-0 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Surapala Keetha Sathan Universiti Teknologi Suranaree, semalam.

Kemenangan menerusi dua jaringan Safee Sali pada minit ke-75 dan 90, Amirulhadi Zainal (67) dan Safiq Rahim (83) ini turut memulihkan semangat skuad bawah 23 tahun negara selepas tewas 1-3 kepada Vietnam, Sabtu lalu.

Anak buah B. Sathianathan dikekang tanpa jaringan oleh Laos sehingga 45 minit pertama yang cuba memburu kesudahan serupa seperti ketika mengikat Singapura, Sabtu lalu biarpun beroleh tidak kurang empat percubaan yang berpotensi jaringan pada minit ke-25 hingga 27 dan 34.

Kerap kali Malaysia yang membuat sedikit rombakan dengan mula menurunkan Chun Keng Hong dan ketua pasukan, Azi Shahril Azmi untuk menggantikan Syamsol Sabtu dan Khyril Muhymeen Zambri, dihampakan oleh kecekapan penjaga gol Laos, Toulakham Sitthidaphong.

Tandukan Zaquan Adha Radzak dan rembatan kaki kiri diselamatkannya, begitu juga dengan percubaan Amirulhadi Zainal hasil umpanan Safee sehinggalah kemasukan Khyril pada babak kedua untuk menggantikan Keng Hong, mengubah corak serangan Malaysia.

Satu hantaran lambung Khyril yang tepat dari sebelah kanan membolehkan Amirulhadi menanduk masuk untuk membawa Malaysia memecahkan kebuntuan kedudukan dan kekebalan Toulakham pada minit ke-67.

Minit ke-75 menyaksikan gawang Laos bocor lagi, kali ini menerusi tandukan Safee, penyerang yang dikatakan mirip gaya Mokhtar Dahari yang menyudahkan umpanan lintang gandingan serangannya, Zaquan.

Gol ketiga Malaysia tiba pada minit ke-83 hasil kerjasama serampang tiga mata dengan dimulakan umpanan leret Zaquan kepada Safee yang kemudiannya menolak untuk rembatan kaki kiri Safiq Rahim.

Safee membuktikan sentuhan penyudahnya yang cukup berbisa terhadap Laos setelah melakukan pusingan badan mengelirukan benteng Laos sebelum melepaskan rembatan deras mengatasi Toulakham lagi pada minit terakhir permainan.

Malaysia bagaimanapun mesti menewaskan Singapura dalam perlawanan terakhirnya, Sabtu ini untuk menjamin tempat ke separuh akhir selepas republik jiran itu mengejutkan pemenang perak temasya Filipina 2005, Vietnam 3-1, semalam.

Kata Sathianathan: ‘‘Kami agak sukar menembusi Laos pada mulanya tetapi hanya setelah gol pertama diperoleh, barulah semuanya berjalan lancar dan kami mampu meraih tiga mata. Kami hanya mahu menang ke atas Singapura selepas ini.

“Saya kehilangan beberapa pemain kerana kecederaan tetapi kami ada rehat lima hari untuk memulihkan diri. Saya juga perlu menyemak siapa yang sudah menerima dua kad kuning dan bakal terlepas perlawanan terakhir.”

Skuad negara bakal kehilangan Zaquan apabila menentang Singapura kerana beroleh dua kad kuning dengan Vietnam dan Laos tetapi akan memiliki semula khidmat abang kembarnya, Aidil Zafuan Radzak yang selesai menjalani penggantungan dua perlawanan ekoran Kelayakan Piala Dunia, Oktober lalu.

MALAYSIA

Syed Adney Syed Hussein, Azi Shahril Azmi (Norshahrul Idlan Talaha), S. Subramaniam, Bunyamin Umar, Chun Keng Hong (Khyril Muhymeen Zambri), Zaquan Adha Radzak, Amirulhadi Zainal (Samransak Kram), Safiq Rahim, Daudsu Jamaludin, Safee Sali, Sumardi Hajalan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vu8eQgUo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Longlai sebelum ke Korat

ARKIB : 27/11/2007
Longlai sebelum ke Korat 
Oleh: AMRAN MULUP
 
DUA penyerang Malaysia, Mohd. Zaquan Adha dan Mohd. Khyril Muhymeen cuba mengelirukan pertahanan Indonesia pada perlawanan persahabatan bolasepak antara Malaysia dan Indonesia yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Bolasepak Cheras, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Kelemahan hantaran bola terus meresahkan jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan menjelang perlawanan pembukaan Vietnam pada Sukan Sea, Korat, Disember ini.

Bayangan keresahan Sathianathan terpancar ketika melihat anak didiknya sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan persahabatan terakhir menentang Indonesia yang turut bersaing di Korat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), petang semalam.

Malaysia mengejutkan pelawat dengan gol awal jaringan Mohd. Safee Sali seawal minit ke-11 tetapi corak permainan longlai pemain kebangsaan membolehkan Indonesia menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Ricardo Salampesy sembilan minit babak kedua bermula.

Selepas itu pelawat terus menguasai pentas saingan dengan barisan pemain kebangsaan terkial-kial mengekang setiap serangan bertali arus dilakukan oleh Indonesia.

Jika tidak ketumpulan jentera serangan lawan, pastinya Malaysia pasti teruk di belasah skuad bawah 23 Indonesia yang bersaing di Sukan Sea Korat dalam Kumpulan B.

Sathianathan mengakui betapa kelemahan hantaran bola yang tidak kemas dan tepat dipaparkan oleh anak didiknya ketika perlawanan berbaki 45 minit hendak ditamatkan.

‘‘Saya tidak puas hati dengan corak permainan hari ini (semalam). Bahagian tengah langsung tidak berfungsi selain hantaran kurang kemas dilakukan oleh pemain,’’ ujar Sathianathan dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.

Biarpun mengakui akan kepincangan tersebut Sathianathan berkata, masih ada masa dan ruang untuk memperbaiki kelemahan tersebut menjelang perlawanan pembukaan menentang pemenang pingat gangsa Sukan Sea 2005 di Manila, Vietnam pada 1 Disember ini.

‘‘Tempoh beberapa hari akan saya gunakan untuk memperbaiki kelemahan ini walaupun saya resah tetapi ia belum memadamkan harapan saya untuk melihat skuad bola sepak mara ke separuh akhir,’’ ujarnya lagi.

Selain Vietnam, skuad kebangsaan akan bersaing bersama Singapura dan Laos dalam Kumpulan A manakala Indonesia, Thailand, Kemboja dan Myanmar dalam Kumpulan B.

Ujarnya, tempoh beberapa hari berada di Korat bermula esok akan digunakan untuk memperbaiki kelemahan di bahagian tengah.

‘‘Bagi saya, secara realistik peluang kita tetap ada untuk ke separuh akhir dan saya yakin dengan kemampuan pemain apabila berdepan ujian sebenar di Korat nanti,’’ ujarnya.

Berdasarkan kepada empat perlawanan persahabatan yang diatur Sathianathan tetap berpuas hati dengan corak persembahan pemain tanpa mahu mengambil kira keputusan yang diperoleh.

Bagi jurulatih itu, bukan keputusan yang dikejar tetapi sebaliknya persefahaman pemain dan kemantapan pasukan menjadi agenda utama.

Soal kekurangan sudah menjadi lazim dalam bola sepak, ada ketika bermain baik ada masa bermain kurang menyakinkan namun di sebalik itu beliau percaya kesebelasan utama yang akan membawa cabaran berdepan Vietnam mampu menjanjikan kemenangan atau setidak-tidaknya dengan keputusan seri.

Tanpa ada pemain utama ditimpa kecederaan serius Sathianathan agak kesal terpaksa melupakan khidmat Aidil Zafuan Abd. Razak yang digantung untuk dua perlawanan selepas menerima kad merah pada pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain, 28 Oktober lalu.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vsSi7lOy
© Utusan Melayu (M) Bhd