Sabtu, 22 Oktober 2016

Safee mampu bantu Harimau Malaysia - Kim Swee

JUMAAT, 21 OKTOBER 2016 @ 6:12 PM
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my

JURULATIH skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Osman Adnan KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee percaya reputasi dan pengalaman yang dimiliki Safee Sali mampu membantu mempertajamkan jentera serangan Harimau Malaysia.

Malah, jurulatih berusia 45 tahun itu turut yakin betapa penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan dapat memperbaiki segala kelemahannya dalam tempoh dua minggu latihan bersama skuad Harimau Malaysia.

"Tiada perubahan daripada senarai pemain sebelum ini kecuali satu penambahan iaitu Safee di mana dia disenaraikan untuk memperkuatkan barisan serangan kita terutama pengalaman dan reputasi dimilikinya.

"Bukan saja dalam padang tetapi mampu membimbing pemain muda yang lain seperti Ahmad Hazwan Bakri di bahagian serangan. "Biarpun kita tahu Safee jarang beraksi bersama kelabnya (JDT), tapi kita mempunyai tempoh dua minggu latihan pusat di mana jadual latihan yang padat ini sudah tentu memberi ruang untuk saya memperbaiki segala kelemahan yang ada, bukan saja pada Safee tetapi pemain lain," katanya, hari ini.

Kim Swee mengumumkan senarai 26 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat bermula Selasa ini dengan 25 daripada senarai 30 pemain yang bersama pasukan ketika perlawanan dengan Singapura dan Afghanistan pada 7 dan 11 Oktober lalu dikekalkan.

 Sementara itu, lima daripada senarai 30 pemain sebelum ini digugurkan termasuk dua tonggak PDRM, Abdul Latiff Suhaimi dan Fakrul Aiman Sidid serta Adam Nor Azlin (Selangor), Fazrul Hazli Kadri (Perak) dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (JDT). Bagaimanapun, Kim Swee akan menggugurkan tiga lagi pemain selepas latihan pusat itu nanti dan hanya 23 pemain yang akan di bawa ke Yangon, Myanmar untuk menghadapi aksi Kumpulan B saingan Piala AFF Suzuki bermula 19 November ini.


SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/204528

Tiada ulasan:

Catat Ulasan