MyMetroUtama
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
Kuala Lumpur: Penyerang berpengalaman, Safee Sali berharap status pemain
kacukan bukan tiket automatik untuk seseorang itu menyarung jersi kebangsaan.
Dia berkata, pemilihan pemain seharusnya dinilai mengikut prestasi dan
bukan kerana pemain itu berdarah campuran semata-mata.
“Pemain bola sepak bukan ikut darah campuran atau tidak, tapi kemampuan
pemain itu membentuk kombinasi yang baik dalam pasukan.
“Jika pemain kacukan itu mampu memberikan perubahan kepada pasukan
kebangsaan, itu bagus tapi kalau sekadar ingin mendapatkan hak kerakyatan dan
tiada kesungguhan untuk mewakili negara pada saya ia hanya sia-sia. Lebih baik
peluang itu diberikan kepada pemain tempatan, ada ramai lagi yang bagus,”
katanya.
Lambakan pemain kacukan yang kini membanjiri Liga Malaysia dijangka
mencetuskan angin perubahan baru dalam skuad kebangsaan.
Ketika ini, terdapat 14 pemain kelahiran luar negara yang mempunyai
pertalian darah di negara ini diberikan hak kerakyatan dan boleh dipanggil pada
bila-bila masa oleh jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe.
Antaranya La-Vere Corbin-Ong, Natxo Insa, Curran Ferns dan Daniel Ting.
Ketika ini, hanya Matthew Davies (14 kap), Darren Lok (9), Brendan Gan (8),
Kiko Insa (6), Khair Jones (4) pernah mewakili skuad Harimau Malaya.
DAVIES (kiri) antara beberapa pemain naturalisasi di dalam skuad Harimau
Malaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
Menurut Safee yang pernah dinobatkan penjaring terbanyak ketika membantu
negara menjulang trofi Piala AFF 2010, kebanyakan pemain kacukan yang dimiliki
negara ketika ini memiliki kemampuan lebih kurang sama dengan pemain tempatan.
“Pada saya, hanya dua-tiga pemain kacukan yang dilihat memiliki kualiti
lebih baik berbanding pemain tempatan dan yang lain saya fikir lebih kurang
sama saja.
“Kita tak boleh terlalu taksub dengan pemain kacukan, jika mereka benar
bagus, tiada masalah untuk menyertai skuad kebangsaan. Kita boleh lihat,
Indonesia, Singapura yang memiliki pemain naturalisasi tapi belum lagi boleh
pergi jauh. Sedangkan Thailand yang lebih ramai pemain tempatan nampak lebih
bagus,” kata Kapten PKNS FC itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan