Jumaat, 15 Disember 2017

Selangor bagus tapi Safee perlu penyudah berbisa

ARKIB : 12/01/2009
SHAH ALAM - Semuanya tampak sempurna bagi jurulatih, K. Devan selepas membenam Negeri Sembilan 3-0 sekali gus merampas semula teraju persaingan bola sepak Liga Super 2009 kecuali tahap penyudahan penyerang utama, Safee Sali di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Sudah tentu dia cukup puas hati apatah lagi setelah menewaskan negeri kelahiran dan bekas pasukannya walaupun menganggap anak jati Kajang berusia 25 tahun itu mampu mencipta hatrik sulung untuk Merah Kuning jika sentuhannya lebih tajam dengan tiga peluang terbaiknya.

Dua daripadanya menerusi tandukan dan tolakan pada babak kedua dari sebelah kira ketika dia cuma berdepan satu sama satu dengan penjaga gol lawan, Farizal Harun yang sebaliknya tewas dengan jaringan Amirulhadi Zainal, R. Surendren dan Amri Yahyah.

Kata Devan, "kalau penyudahan kami lebih baik mungkin jaringan itu lebih besar, saya rasa Safee patut dapat jaringkan dua atau tiga gol cuma. Walaupun kurang berkesan dalam penyudahan, sumbangannya memang memberikan makna kepada kemenangan ini.''

Aksi kelmarin menyaksikan Safee ketandusan gol buat kali pertama setelah sempat menyumbangkan satu gol masing-masing ketika Gergasi Merah menewaskan Kedah 4-1 di Alor Star dan Perak 3-1 di Shah Alam pada 3 Januari dan Selasa lalu.

Namun, rembatan leret kaki kirinya pada minit ke-20 ditampan Farizal sebelum ditolak masuk dengan mudah oleh Amirulhadi untuk gol pertama Selangor di depan lebih 40,000 penonton khususnya penyokong Merah Kuning.

Penyerang utama skuad negara itu turut terlibat dalam jaringan kedua Selangor menerusi Surendren pada minit ke-27 dengan membantu mengumpan ketika serangan balas yang diatur oleh bek kiri, P. Gunalan.

Devan turut mengesan tahap kecergasan anak buahnya yang menurun dalam babak kedua gara-gara bermain rentak pantas dalam babak sebelumnya akibat tentangan pemain lawan yang kebanyakannya berusia awal 20-an.

"Kami bermain begitu dalam babak pertama dan menjaringkan dua gol tetapi saya nampak pemain sedikit letih dalam babak berikutnya biarpun masih menguasai perlawanan, kerap menyerang dan mencipta banyak peluang,'' katanya.

Mengenai bekas pasukannya yang kini dibimbang Wan Jamak Wan Hassan katanya, "dalam sukan, tiada istilah bermusuh cuma keputusan ini menunjukkan pasukan kami yang lebih baik dan mempunyai kualiti untuk menewaskan Negeri Sembilan.''

Ditanya persediaan menentang Johor FC di Pasir Gudang esok, katanya, "kami akan menjalani latihan pemulihan berlatih sebelum ke sana (hari ini) dan saya akan tengok keadaan pemain sebelum membuat keputusan.''


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz51Iq2gREC
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan