ARKIB : 07/01/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
Pemain Selangor, R. Surendren
(kanan) cuba mengelak asakan pertahanan Perak, Chun Keng Hong pada perlawanan
Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. Selangor menang 3-1.
SHAH ALAM - Selangor meneruskan
rentak cemerlang dalam saingan bola sepak Liga Super untuk menyusuli langkah
kanan musim 2009 ketika menjulang Piala Sultan Ahmad Shah, Sabtu lalu apabila
menewaskan Perak 3-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Safee Sali, Amirulhadi Zainal
dan Nasriq Baharom memastikan tiga mata dalam genggaman Gergasi Merah dengan
gol pada minit ke-30, 62 dan 85 biarpun mereka tersentak awal dengan jaringan
pendahuluan Seladang menerusi Razali Umar Kandasamy (m-28).
Babak pertama menyaksikan
Selangor yang menyerap asakan bertali arus pelawat pada awalnya, beroleh satu
peluang keemasan untuk membuka tirai gol daripada gerakan sebelah kanan oleh
sayap muda skuad negara, Amirulhadi Zainal pada minit ke-26.
Bagaimanapun umpanan lambung
Amirulhadi gagal disambut kemas Amri Yahyah dan Zameer Zainun.
Perak tiba-tiba merentap
semangat tuan rumah dan kira-kira 10,000 penyokong Merah Kuning apabila
rembatan kencang Razali Umar sejauh 20 meter dari luar petak penalti melampaui
bekas rakan sepasukannya musim lalu - penjaga gol, Hamsani Ahmad untuk gol pertama
pada minit ke-28.
Tidak sampai pun dua minit
kemudian, Gergasi Merah bingkas mengamuk lalu menyamakan kedudukan menerusi
penyerang utama negara, Safee Sali yang menguis masuk setelah menyudahkan
tolakan terus ketua pasukan, Amri.
Giliran Selangor mendahului 2-1
tiba pada minit ke-62 menerusi rembatan kaki kiri dari jarak dekat oleh
Amirulhadi yang tidak begitu kuat tetapi masih dapat meluluskan bola daripada
tangkapan Megat Amir.
Minit ke-67 menyaksikan
kegarangan Safee untuk terus menghukum Perak dengan rembatan cungkilnya sudah
pun menewaskan Megat tetapi terkena tiang gol kiri lawan.
Perak pula tidak berputus asa
untuk cuba mengikat tuan rumah malah mereka nyaris beroleh gol penyamaan jika
sepakan bebas oleh pemain gantian, Arsyah Ayob pada minit ke-80 tidak mengenai
tiang tanpa dapat diselamatkan Hamsani.
Selangor yang tidak merelakan
kemenangan tercicir daripada genggaman mengukuhkan kedudukan menerusi gol
ketiga bek tengah, Nasriq Baharom pada minit ke-85 setelah menanduk sepakan
bebas jauh oleh D. Surendran dari sebelah kanan.
Dalam pada itu, juara bertahan
Liga Super, Kedah pula terus merana selepas dibelasah Negeri Sembilan 0-3 dalam
perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Kemenangan menerusi jaringan
sumbangan Shukor Adan (m-33), Zaquan Adha Razak (m-39) dan K. Thanaraj (m-59)
itu membolehkan Negeri Sembilan mengekori rapat Selangor.
Di Stadium Utama Negeri Kangar,
Perlis turut mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas bangkit daripada
ketinggalan sebelum menang ke atas Pahang 3-2 hasil hatrik pemain Perlis,
Nizaruddin Yusof (m-40, 45, 87) manakala Mohd. Azamuddin Md. Akil (m-9, 24)
mengurangkan jurang gol.
Kelantan pula mengejutkan
UPB-MyTeam 4-2 pada perlawanan di Stadium Petaling Jaya untuk mencatat
kemenangan sulung mereka musim ini selepas perlawanan dengan KL PLUS Sabtu lalu
tertangguh akibat hujan.
KL Plus juga menang 2-1 ke atas
Terengganu pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras.
Begitu juga dengan Kuala Muda
Naza yang menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 di Stadium Darul Aman
Alor Star.
Hanya satu keputusan seri
dicatat semalam membabitkan perlawanan Johor FC dan Pulau Pinang yang terikat
2-2 di Stadium JCorp Pasir Gudang.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51I94z6hR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan