Jumaat, 30 November 2018

Safee masih dalam pertimbangan, buktikan masih berbisa

ARKIB : 14/09/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Masih ada ruang buat penyerang utama Selangor, Safee Sali kembali ke pangkuan skuad bola sepak kebangsaan asalkan dia mampu membuktikan kebangkitannya dalam persaingan berprestij negara, Piala Malaysia mulai 26 September ini.

Sekalipun mengetepikannya daripada menentang Manchester United dan mengutamakan pemain bawah 23 tahun dalam siri persahabatan baru-baru ini, K. Rajagobal tidak sesekali sudah menutup pintu kepada penyerang senior sepertinya.

Dua perlawanan Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 menentang Uzbekistan pada 14 dan 18 November ini, masih menuntut pembabitan segelintir pemain senior walaupun Sukan SEA Laos, bulan berikutnya menjadi sasaran kemuncak ketua jurulatih negara itu.

Ketumpulan penyudah penyerang belia seperti Zaquan Adha Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha kecuali ketika menentang Lesotho, Jumaat lalu, turut mendorong Rajagobal menimbangkan keperluan mengadunkan pemain berpengalaman sebagai pembimbing pemain muda.

Tegasnya, Safee (tidak layak ke Sukan SEA Laos kerana sudah melebihi had umur penyertaan) masih dalam pertimbangan saya dan belum terkeluar daripada perancangan (Kelayakan Piala Asia 2011). Cuma prestasinya dalam Liga Super yang jatuh sedikit.

"Memang saya akan selitkan beberapa pemain senior apabila menghadapi Uzbekistan tetapi prestasi mereka perlu dipantau sepanjang Piala Malaysia," katanya selepas skuad Bawah 23 Tahun negara membelasah Lesotho 5-0 di Stadium Petaling Jaya.

Rajagobal tidak menamakan beberapa pemain senior lain tetapi ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah yang menjaringkan dua gol ke atas Manchester United, Julai lalu, di samping Norhafiz Zamani Misbah bakal turut dipertimbangkan bagi persediaan menentang Uzbekistan.

Sejak April lalu, skuad negara melalui 13 persahabatan dengan menewaskan Bawah 23 Singapura dan Indonesia (3-0 dan 1-0), Kedah 3-1, Zimbabwe (4-0 dan 1-0), Lesotho 5-0, mengikat China, Kenya dan Jordan 0-0 selain dikalahkan Manchester United (2-3 dan 0-2), Arab Saudi 1-2 dan Al Qadisiyah 0-1.

Namun, rekod pertemuan Malaysia-Uzbekistan ternyata menyebelahi pasukan Asia Tengah itu dengan kali terakhir kita dibelasah 5-0 dalam pusingan akhir Kumpulan C Piala Asia 2007 di Stadium Nasional, Bukit Jalil selain kekalahan besar 5-0 (Sukan Asia 1994) dan 3-0 (persahabatan 1999).

Skuad negara perlu mencuri mata daripada pertemuan dengan Uzbekistan sekiranya mahu menghidupkan peluang ke pusingan akhir Piala Asia 2011 di Qatar setelah dibelasah 5-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 21 Januari lalu.

UAE menerajui Kumpulan C kelayakan ini dengan kelebihan jaringan biarpun ditewaskan Uzbekistan 1-0 di Abu Dhabi pada 28 Januari lalu.

Hanya dua pasukan teratas, mara ke Qatar setelah India yang dijadualkan menganggotai kumpulan ini, layak automatik sebagai juara Piala Cabaran 2009.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5YLlEDRJF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan