Rabu, 28 November 2018

Safee sedia berunding cari pasukan


MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali mengesahkan dia tidak akan kembali menyertai pasukan negeri kelahirannya, Selangor musim depan.

Pemain berusia 34 tahun itu mengakui namanya tiada dalam perancangan jurulatih baharu Red Giants, B Satiananthan seperti yang digembar-gemburkan sesetengah penyokong di media sosial kebelakangan ini.

“Saya tidak mungkin ke Selangor kerana sudah dimaklumkan saya tiada dalam perancangan mereka,” kata Safee yang sudah tamat kontrak bersama PKNS FC selepas dua musim bersama kelab itu.

Sebelum ini, timbul spekulasi mengaitkan Safee akan kembali semula ke Selangor selepas kali terakhir menyarung jersi Merah Kuning pada musim 2006-2010.

Dia meninggalkan skuad Red Giants ketika zaman kemuncaknya untuk berhijrah ke kelab Indonesia Pelita Jaya FC selepas membantu Harimau Malaya menjuarai Piala AFF 2010.

Safee yang pernah menjulang trofi Liga Super 2009 dan 2010 bersama Selangor dan 2014, 2015, 2016 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui kini terbuka dengan sebarang rundingan bersama pasukan lain.

“Sebelum ini, saya ada berbincang dengan beberapa pasukan, tapi belum ada yang serius jadi saya masih terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pasukan berminat.

“Berdasarkan keupayaan ketika ini, saya percaya masih lagi boleh bersaing di peringkat kompetitif,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 5:46 PM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan