MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali berharap Norshahrul
Idlan Talaha dapat mengekalkan naluri pemusnahnya bagi meleburkan rekod
jaringan terbanyak pemain tempatan dalam kempen Piala AFF.
Setakat ini Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo sudah mengumpul
lapan gol dengan empat gol dihasilkan dalam kempen tahun ini untuk menghampiri
rekod jaringan terbanyak yang dipegang Safee dan Indra Putra Mahayuddin dengan
sembilan gol.
Safee yang muncul penjaring terbanyak ketika Malaysia muncul juara buat
kali pertama dan terakhir pada 2010 menerusi ledakan lima gol percaya,
Norshahrul boleh melakukannya apabila turun menentang Thailand dalam aksi
timbal balik separuh akhir bermula Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Saya harap Mat Yo dapat meleburkan rekod jaringan kami itu sekali gus
dapat membawa Malaysia ke final. Saya percaya dia boleh melakukannya kerana dia
kini berada di prestasi terbaik," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP hari
ini.
Safee, 34, pernah membentuk gandingan digeruni bersama Norshahrul selama
beberapa tahun namun kali ini, bekas pemain PKNS FC itu tidak berada dalam
perancangan jurulatih Tan Cheng Hoe.
Menurut pemain kelahiran Selangor itu, dia agak terkejut dengan kebangkitan
yang ditunjukkan Norshahrul biarpun terpaksa bersaing dengan beberapa penyerang
muda dalam pasukan.
"Agak terkejut dengan prestasi Mat Yo kerana dalam saingan Liga
Malaysia, prestasinya tidak begitu menyerlah tapi akhir-akhir ini dia berjaya
membuktikan kemampuannya. Namun kelebihan yang ada pada Mat Yo adalah
kelincahan dan naluri pemusnahnya.”
Safee antara pemain yang beraksi dalam pasukan yang menewaskan Thailand 3-2
pada final Piala AFF 2014 di Bukit Jalil namun dikecewakan dengan keputusan
agregat 4-3.
"Walaupun Thailand kita akui pasukan yang hebat, tapi kita tidak perlu
terlalu memikirkan sangat mengenai mereka. Apa yang penting kita fokus kepada
pasukan kita sendiri dan mengikut perancangan yang diatur jurulatih,"
jelasnya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 7:27 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan