Sabtu, 15 Disember 2018

Safee yakin kemampuan Selangor

ARKIB : 09/01/2010
KUALA LUMPUR - Jentera serangan skuad Rusa yang diterajui Zaquan Adha Abdul Razak pada Perlawanan Sumbangsih malam ini, tidak sedikit pun menggusarkan barisan penyerang skuad Red Giants, sebaliknya yakin akan menang dengan tiga gol pada perlawanan hari ini.

Penyerang Selangor, Safee Sali berkata, meskipun Negeri Sembilan mempunyai kelebihan beberapa penyerang muda yang lasak dan berbakat, Selangor juga tidak kurang hebatnya kerana dibarisi barisan pemain pertahanan yang mantap.

"Kalau Negeri Sembilan menyatakan akan menurunkan Zafuan, kami masih mempunyai pemain-pemain penyerang yang hebat seperti Amri Yahyah yang akan turun beraksi membantu Selangor.

"Malah, kami tidak gusar dan telah berazam untuk menang pada perlawanan kali ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah menarik, Safee turut menjangkakan pasukan Red Giants bakal menggondol tiga mata seterusnya memenangi perlawanan yang kan berlangsung di Stadium Tengku Abdul Rahman Paroi, Seremban.

"Kami bukan sahaja akan bermula baik tetapi akan mengumpul tiga mata serta memenangi perlawanan ini nanti.

"Namun begitu, saya akui perlawanan kali ini akan menjadi begitu sengit.

''Perlawanan Sumbangsih ini penting buat Selangor yang mahu mengekalkan kejuaraan pertama pada musim 2010 ini," ujar Safee.

Di sebalik harapan itu juga, Safee tidak menafikan tekanan besar pasti berlaku memandangkan mereka adalah juara bertahan.

"Saya pasti, tekanan akan berkurangan jika kami memenangi Perlawanan Sumbangsih ini nanti kerana kami perlu sedaya upaya mempertahankan kejuaraan itu nanti," katanya.

Skuad K. Devan, layak beraksi pada saingan trofi pembuka tirai Liga Malaysia selaku juara Liga Super musim lalu.

Negeri Sembilan yang menjadi tuan rumah perlawanan hari ini merupakan juara Piala Malaysia apabila membenam Kelantan pada perlawanan akhir musim lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5Zo7BNeXb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan