Sabtu, 22 Disember 2018

Safee Sali sertai pasukan Perlis


 Safee sertai Perlis
Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie (tengah), Ketua Jurulatih Perlis, Manzoor Azwira Abd Wahid (kanan) bersama Mohd Safee Mohd Sali (kiri) selepas majlis memperkenalkan pemain dan menandatangi kontrak bersama pasukan Perlis untuk saingan Liga Perdana 2019 di Hotel Tenera, hari ini. - UTUSAN
18 Disember 2018 6:52 PM

BANGI 18 Dis. - Bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali sah menyertai pasukan Perlis bagi musim 2019 setelah menandatangani kontrak selama setahun bersama Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) pada satu majlis ringkas di sebuah hotel di sini, hari ini.

Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie percaya kehadiran Safee dan beberapa pemain ternama lain, mampu memperkuatkan skuad Singa Utara dalam mencapai sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir Piala FA musim depan selain kembali ke saingan Liga Super pada 2020.

"InsyaAllah, kita harap kemasukan Safee Sali akan bawa satu impak luar biasa dan kejayaan kepada Perlis pada musim 2019," katanya pada sidang media memperkenalkan pemain berkenaan.

Ahmad Amizal pada masa sama, turut memaklumkan PFA hampir memuktamadkan barisan pemain tempatan, namun masih meneliti pemain import yang akan menyarung jersi skuad Singa Utara pada musim depan menerusi beberapa aksi persahabatan yang sedang diatur ketika ini.

Sementara itu, pengendali baharu Perlis, Manzoor Azwira Abd Wahid percaya Safee mampu membantu memperkuatkan cabaran pasukan utara tanah air itu untuk memberi saingan kepada pasukan lain.


Dalam pada itu, Safee, 34, bertekad membantu Perlis untuk kembali semula dalam saingan Liga Super 2020 setelah sekian lama pasukan berkenaan beraksi dalam Liga Premier dan Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


"Apa yang membuat saya tertarik dengan Perlis adalah misi dan perancangan jelas Presiden PFA di mana beliau cuba melonjakkan kembali Perlis dalam pentas bola sepak Malaysia," katanya yang menyasarkan meledak sekurang-kurangnya 10 gol dalam saingan Liga Malaysia musim depan.


PFA dilaporkan telah menghantar permohonan kepada FAM untuk beraksi dalam saingan Liga Premier 2019 selepas beberapa pasukan termasuk Felcra FC dan Kuantan FA membuat keputusan menarik diri daripada Liga Malaysia musim depan, ekoran kekangan kewangan.- BERNAMA


sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safee-sali-sertai-pasukan-perlis-1.807139#ixzz5aMgtadJy
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan