Jumaat, 25 Januari 2019

Selangor tetap gah tanpa Safee Sali


 
ARKIB : 16/02/2011
Pemain Perlis, Mohamad Hisyam (kiri) mengasak pemain Harimau Muda A, K. Gurusamy dalam saingan Liga Super di Petaling Jaya, malam tadi. Kedua-dua pasukan seri 1-1.
KUALA LUMPUR - Tanpa Safee Sali, tiada masalah. Selangor masih berupaya mencatat kemenangan berharga 3-2 ke atas pencabar utama Liga Super, Terengganu dalam aksi penuh mendebarkan di Stadium Shah Alam, semalam.

Bekas pemain kebangsaan, Fadzli Saari membuka tirai jaringan Red Giants pada minit ke-17 selepas menerima hantaran voli cantik daripada Mohd. Hardi Jaafar sebelum Amri Yahyah menambah gol kedua pada minit ke-46 melalui tandukan.

Muka baru Selangor, Azidan Sarudin mengukuhkan kedudukan Selangor pada minit ke-56 menerusi rembatan kencang dari jarak 20 meter namun Terengganu memperoleh gol pembakar semangat hasil sepakan penalti yang diambil Ashari Samsudin pada minit ke-69.

Biarpun Abdul Hadi Yahya berjaya merapatkan jurang pada minit ke-87, ia sudah terlewat buat Terengganu menghalang Selangor daripada meraih kemenangan kedua musim ini.

Kelantan terus kekal di tangga teratas liga dengan kemenangan 2-0 ke atas skuad warga kota, Kuala Lumpur di Stadium Sultan Mohamed ke-IV.

Mohd. Ramzul Zahini meledakkan gol pertama pada minit ke-47 selepas mendapat hantaran Mohd. Badri Md. Radzi.

Tonggak kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha melengkapkan kemenangan mutlak Red Warriors yang mudah menewaskan Norazlan Razali pada minit ke-87 melalui rembatan leret.

Di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPBJ), Gary Steven Robbat muncul penyelamat Harimau Muda A apabila golnya pada minit ke-90 berjaya mengikat Perlis 1-1 dalam perlawanan yang dicemari dua kad merah. Perlis terlebih dahulu di hadapan menerusi Mohd. Faiz Subri pada minit ke-74.

Johor FC akhirnya berjaya merakamkan kemenangan pertama dalam kempen Liga Super musim ini selepas menundukkan Sabah 1-0 di Stadium Likas hasil jaringan Mohd. Riduwan Ma'on pada minit ke-55.

Gol daripada pertahanan Felda United, Abdul Ghani Abdul Rahman pada minit ke-87 ternyata mengejutkan juara Piala FA, Negeri Sembilan dengan kemenangan tipis 1-0 dalam aksi penuh menghambarkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Skuad kendalian Dollah Salleh, Pahang terus membuatkan T-Team merana apabila menang 1-0 di Stadium Darul Makmur hasil jaringan tunggal Zaiza Zainal Abidin pada minit ke-4 sementaraKedah dan Perak sekadar terikat tanpa jaringan di Stadium Darul Aman.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5ddE6Fk1W
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan