Rabu, 23 Januari 2019

Kelibat Safee buat Hong Kong resah


ARKIB : 09/02/2011
PETALING JAYA - Menjelang perlawanan persahabatan menentang Malaysia hari ini, jurulatih sementara Hong Kong, Wai-Chung Tsang melahirkan kebimbangan terhadap kelibat penyerang negara, Safee Sali yang mampu menjadi watak pemusnah kepada pasukannya.

Nada keresahan pengendali Hong Kong itu boleh kelihatan selepas bertanyakan kepada jurulatih kebangsaan, K.Rajagobal dan media sama ada Safee Sali bakal diturunkan atau tidak pada sidang media mesyuarat antara pengurus pasukan di Wisma FAM, semalam.

''Adakah pemain berjersi nombor 10 (Safee Sali) boleh bermain esok?," soal Chung Tsang sebelum Rajagobal memberikan jawapan bahawa bakal penyerang Pelita Jaya FC itu boleh bermain.

Kemudian, Chung Tsang membalas:''Oh, memang nasib kami tidak berapa baik, " katanya berseloroh sebelum wartawan yang hadir turut ketawa mendengar kenyataan pengendali Hong Kong itu.

Dia berkata demikian selepas ditanya media mengenai pandangannya terhadap keupayaan Malaysia.

Selain itu, Chung Tsang berkata, dia telah banyak mengkaji permainan Malaysia, terutamanya ketika Piala Suzuki AFF melalui rakaman cakera padat video (DVD) dan Sukan Asia di Guangzhou.

''Bagi saya Malaysia adalah lawan yang bagus kerana mempunyai semangat juang tinggi, pantas dalam melakukan serang balas dan memiliki ramai pemain muda berbakat besar.

''Saya tidak menafikan sukar untuk menewaskan Malaysia kali ini memandangkan mereka baru sahaja bergelar juara di rantau Asia Tenggara, " katanya.

Hong Kong datang ke Kuala Lumpur dengan membawa 20 pemain yang mempunyai purata umur 24 tahun.

Begitupun, mereka akan turun tanpa kehadiran Chen Siew Ki, yang merupakan tonggak utama di bahagian serangan.

Berdasarkan sejarah pertemuan antara kedua-dua pasukan, Hong Kong mempunyai rekod yang lebih baik kerana menang dalam empat perlawanan daripada enam.

Manakala, Malaysia hanya menang sekali dan satu lagi pertemuan berakhir dengan keputusan seri. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada 2006 yang dimenangi oleh Hong Kong dengan keputusan 2-0 dengan perlawanan berlangsung di sana.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dRUWngue © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan