ARKIB : 17/12/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Safee Sali meraikan kejayaan
menjaringkan gol ketika membantu Malaysia menumpaskan Vietnam 2-0 di Stadium
Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
SEPANG - Bagaikan beban yang
berkurangan, itulah yang diungkapkan penyerang kebangsaan, Safee Sali selepas
menjaringkan dua gol untuk membantu kemenangan 2-0 Malaysia ke atas Vietnam
pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF kelmarin.
Penyerang kelahiran Kajang itu
mengakui, penantian dua tahun tidak menjaringkan gol di peringkat antarabangsa
bagaikan satu bebanan besar buatnya selepas kali terakhir menyumbang gol buat
pasukan kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2008 di Phuket.
"Saya rasa amat puas. Kali
ini saya dapat menjaringkan dua gol sekali gus, ia adalah atas usaha keras
semua pemain tetapi perjuangan saya masih belum selesai. Perlawanan separuh
akhir kedua adalah tugas penting yang perlu dibereskan," katanya ketika
ditemui Utusan Malaysia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) awal pagi
semalam.
Jelasnya lagi, selama dua tahun
beraksi untuk pasukan Malaysia tanpa menjaringkan sebarang gol, fikirannya
sentiasa terganggu dan sedikit sebanyak ia melemahkan semangatnya.
Namun, dia tidak mudah menyerah
kalah sehinggalah berjaya membuktikan ketajamannya masih ada di depan hampir
50,000 penyokong Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Sekarang ini saya rasa
sedikit lega dan ia menambahkan keyakinan saya. Harap saya dapat berterusan
membantu Malaysia melayakkan diri ke saingan akhir, sekali gus merangkul
gelaran sulung kejohanan ini.
"Saya akui pada perlawanan
semalam (kelmarin) saya sentiasa berusaha dan tidak berputus asa walaupun gagal
menjaringkan gol pada separuh masa pertama, begitu juga pada peringkat kumpulan
di Indonesia sebelum ini," katanya.
Pemain berusia 26 tahun itu
berkata, dia akan cuba tampil pada perlawanan separuh akhir kedua dengan lebih
berhati-hati berikutan menerima kad kuning kelmarin, tambahan pula aksi di
Hanoi dijangka lebih agresif.
"Saya tidak pernah beraksi
di sana, menurut apa yang dikhabarkan oleh jurulatih dan pegawai pasukan,
keadaan cuaca agak sejuk. Saya rasa ia bukan satu masalah besar buat saya dan
pemain-pemain lain.
"Kami mungkin akan memakai
baju lengan panjang dan saya menjangkakan persediaan untuk perlawanan itu bakal
berjalan lancar. Kami perlu mencari peluang untuk menjaringkan gol untuk
memiliki kelebihan gol di tempat lawan," katanya.
Safee menjaringkan dua gol pada
perlawanan menentang Vietnam iaitu pada minit ke-65 dan 83. Kali terakhir dia
menjaringkan gol di peringkat antarabangsa ialah ketika bertemu Laos di
peringkat kumpulan pada 2008.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d85DL7pQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan