ARKIB :
08/02/2011
Oleh MUHAMMAD
DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Safee Sali mempamerkan
jersi bakal pasukan barunya dalam Liga Super Indonesia, Pelita Jaya di Wisma
FAS, Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/Amin Farij Hasan
PETALING JAYA
- Bukan Persib Bandung, sebaliknya Pelita Jaya menjadi pilihan penyerang
kebangsaan dan Selangor, Safee Sali yang akan beraksi di Liga Super Indonesia
(ISL) mulai 7 Mac ini.
Apa jua kelab
yang menjadi pilihan Safee, pemergian pemuda kelahiran Kajang itu ke Indonesia
juga dianggap sebagai detik bersejarah kepada bola sepak tempatan kerana dia
menjadi pemain pertama Malaysia beraksi di negara jiran itu.
Dengan kontrak
selama setahun yang akan berakhir pada 31 Disember 2011, Safee akan berangkat
ke Jakarta pada 14 Februari ini dan bakal memakai jersi bernombor 10 selaku
penyerang utama kelab Pelita.
Perpindahan
Safee telah diumumkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor
(FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad pada sidang media di pejabat FAS, Kelana Jaya,
semalam.
Bagaimanapun,
Abdul Mokhtar enggan mendedahkan sebarang butir-butir perpindahan termasuk
yuran pembelian kontrak dan gaji yang diterima oleh Safee sepanjang mewakili
Pelita.
''Saya tidak
boleh dedahkan apakah syarat dan terma mengenai perpindahan Safee dari Selangor
ke Pelita, cuma apa yang saya boleh katakan ia ganjaran yang lebih baik dari
Selangor.
''Kami tidak
menggunakan mana-mana ejen, FAS sendiri yang bertindak selaku orang tengah
dalam urusan perpindahan Safee, " katanya.
Turut hadir
pada sidang media itu ialah Setiausaha FAS, Datuk Hamidin Mohd.Amin, jurulatih
Selangor, K. Devan dan semua pemain Liga Super Selangor.
Bagi Safee,
pemilihan bermain di Pelita terletak di tangan FAS tetapi dia tidak dapat
menafikan salah satu alasan Pelita menjadi pilihan adalah kerana peluang
beraksi dengan kelab yang dikenali jolokan 'Pendekar Gunung Parang' itu lebih
cerah berbanding jika beraksi bersama Persib.
''Saya telah
menyerahkan kepada FAS untuk membuat keputusan terbaik dan ada memberitahu
Datuk Hamidin Mohd.Amin (Setiausaha FAS) dan gaya permainan Pelita lebih sesuai
dengan saya.
''Namun, tidak
boleh dinafikan, salah satu punca saya pilih Pelita adalah pasukan ini memang
ada masalah penyudah di bahagian serangan dan peluang beraksi lebih cerah.
Berbanding Persib, kelab itu sudah mempunyai ramai penyerang import.
''Walaupun
saya tahu Pelita berada di tangga tercorot liga selepas berakhirnya pusingan
pertama, saya akan cuba sedaya upaya membantu naikkan kembali kedudukan liga
Pelita.
''Saya sudah
benar-benar bersedia bermain di ISL dengan keyakinan yang tinggi dan akan
berusaha gigih untuk menunjukkan kualiti sepanjang bersama Pelita, "
ujarnya.
Dua pemain
bertaraf dunia, Mario Kempes dan Roger Milla pernah beraksi bersama Pelita Jaya
pada era 90-an manakala bekas pemain import Perlis dan Negeri Sembilan, Mohd.
Lamin Conteh juga menjadi salah seorang pemain Pelita selama dua musim iaitu
dari 2006 ke 2007.
Berada di
tangga tercorot dari 15 pasukan selepas melalui 13 perlawanan, Pelita jelas
amat menagih sentuhan Safee di barisan serangan selepas hanya mampu
menjaringkan 13 gol dan kelab itu telah kalah sebanyak sembilan kali.
Dalam masa
sama, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata pada perlawanan terakhir Safee Sali
bersama Selangor yang akan menentang Kuala Lumpur, 12 Februari ini, dia akan
diberikan penghormatan menjadi kapten pasukan.
''Ini adalah
sebagai lambang perpisahan kepada Safee yang tidak lagi beraksi bersama
Selangor sehingga penghujung musim," katanya.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dRPyXv1Z
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan