Rabu, 30 Januari 2019

Safee sokong liga tempatan kembali guna Awang Import


ARKIB : 27/04/2011
SUBANG JAYA - Cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk untuk membenarkan khidmat pemain import dalam Liga Malaysia (Liga M) disokong penyerang kebangsaan yang beraksi di Indonesia, Safee Sali.
Safee berpendapat, cadangan FAM itu wajar disokong kerana ia akan merancakkan lagi Liga M, khususnya sambutan penonton ke stadium.
"Saya setuju dengan cadangan FAM itu kerana saya yakin kehadiran pemain import bakal memeriahkan lagi Liga M, malah ia turut menyumbang kepada kehadiran penyokong ke stadium," katanya di sini, kelmarin.
Safee yang pulang ke tanah air selama dua hari, sempat menyertai perlawanan persahabatan bersama para pelajar Akademi Fantasia 9 anjuran Mizi Sports Centre di gelanggang Ferro Futsal, di sini.
Safee yang merupakan duta Mizi Sports Centre turut disertai rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Zaquan Adha yang juga merupakan duta butik barangan sukan tersebut.
Mengulas mengenai kebimbangan segelintir pihak kononnya kehadiran pemain import bakal menenggelamkan pemain-pemain tempatan, menurut Safee, isu tersebut tidak sewajarnya menjadi pertikaian.
Katanya, ini kerana penyertaan pemain import dalam sesebuah pasukan bakal mewujudkan persaingan sihat dalam arena bola sepak tanah air.
Jelasnya, pemain-pemain muda perlu bekerja keras untuk menonjolkan diri masing-masing, jika mereka mahu mencuri perhatian jurulatih untuk beraksi dalam kesebelasan utama.
"Malah pada awal pembabitan saya dalam sukan bola sepak, saya juga terpaksa bersaing dengan pemain-pemain handalan sebelum mencapai ke tahap ini.
"Jika saya mampu melakukannya, mengapa tidak pemain-pemain muda kerana ia bakal menjadikan Liga M lebih kompetitif dan menarik," ujar pemain Pelita Jaya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan