Jumaat, 25 Januari 2019

Safee nyatakan hasrat sejak 2 tahun lalu


ARKIB : 15/02/2011
SEPANG - Antara individu awal yang mengetahui hasrat terpendam pemain import pasukan Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya FC, Mohd. Safee Sali sudah tentu isterinya sendiri, Sabarina Yusof, malah perkara tersebut sudah dibincangkan sesama mereka sendiri sejak dua tahun lalu.

Menurut Sabarina, Safee memang berkeinginan untuk beraksi di luar negara sebagai pemain import dan dia tidak kisah beraksi di mana-mana negara sekalipun asalkan tawaran tersebut berbaloi.

"Dia memberitahu kepada saya bahawa dia teringin untuk mencari pengalaman beraksi di liga luar negara dan mengharapkan ada pasukan yang membuat tawaran kepadanya, jadi peluang ini seperti bulan jatuh ke riba," katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Sabarina yang merupakan seorang surirumah sepenuh masa tidak menghadapi masalah untuk berkelana bersama suaminya itu bersama dua orang anak perempuan mereka, Nur Syasya Sofirna (satu tahun tiga bulan) dan Nur Syaza Syaqina (tiga tahun).

"Saya juga akan cuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sana, setakat ini saya mengharapkan tidak ada sebarang masalah yang berlaku dan berharap semuanya berjalan lancar.

"Safee juga sebelum ini pernah memberitahu kepada saya jika dia beraksi di luar negara, dia akan membawa saya dan anak-anak bersama, saya juga boleh membantu menguruskan hal peribadinya di negara orang," katanya.

Ditanya antara kedua-dua puteri mereka itu yang mana paling rapat dengan Safee, Sabarina berkata, kedua-duanya sekali sangat rapat dengan bapanya itu malah akan mengalami demam jika Safee beraksi di luar dari Lembah Klang.

"Kedua-duanya sangat rapat dengannya, jadi jika Safee beraksi di luar dari Selangor dia akan sentiasa berhubung melalui rangkaian 3G melepaskan rindu anak-anaknya, tetapi ia tidak menjadi masalah sekarang kerana kami sekeluarga akan menetap di sana," katanya.

Sabarina dan Safee mendirikan rumah tangga pada 2007 mereka berkenalan ketika pemain kelahiran Kajang itu beraksi bersama Sarawak dalam saingan Liga Perdana.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_14.htm#ixzz5dcsave00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan