ARKIB :
11/01/2011
Oleh MUHAMMAD
DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR -
Sabar dulu Safee Sali! Selangor masih belum bersedia untuk melepaskan ayam
tambatan mereka itu beraksi di dalam Liga Super Indonesia (ISL) selagi tidak
ada perbincangan lanjut dan mendapat restu daripada Ahli Jawatankuasa Persatuan
Bola Sepak Selangor (FAS).
Setiausaha
Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, masa depan Safee akan bergantung
kepada hasil perundingan yang akan diadakan dengan ketiga-tiga wakil kelab
terbabit pada minggu ini.
''Setakat ini
sebenarnya masih belum ada perbincangan konkrit dengan mana-mana kelab terbabit
sehingga hari ini.
''Memang benar
mereka berminat mahu mendapatkan khidmat Safee tetapi semasa saya di Jakarta,
wakil mereka hanya berbincang kosong sahaja dengan saya tanpa menyebut nilai
tawaran yang akan diberikan.
''Mereka akan
berjumpa saya pada minggu ini di sini tetapi saya tidak boleh nyatakan lokasi
atau masa pertemuan, sabarlah ... bila sampai masanya, saya akan beritahu
kepada pihak media,'' katanya yang dihubungi, semalam.
Safee kelmarin
ada menyatakan bahawa dia telah bersedia beraksi ke luar negara dan menerima
tawaran beraksi ke ISL dengan tiga kelab, Persib Bandung, Persib Balik Papan
dan Pelita Jaya mengemukakan minat mendapatkan khidmatnya.
Namun, kelab
Persib Bandung menjadi pilihan utama Safee berdasarkan lokasinya yang dekat
dengan tanah air di samping sudah masak dengan persekitaran di wilayah
tersebut.
Mengulas
lanjut, Hamidin berkata dia akan meneliti terlebih dahulu berapa tawaran yang
akan dikemukakan oleh wakil-wakil kelab berkenaan.
''Kita tidak
akan melepaskan khidmat Safee dengan begitu mudah memandangkan dia masih
mempunyai kontrak sehingga bulan Disember ini dan akan melihat nilai tawaran
mereka letakkan kepada kami.
''Bagaimanapun,
FAS menghormati minat yang ditunjukkan oleh Safee dan tidak mahu menghalang
impiannya bermain di luar negara.
''Namun,
seperti mana saya perkatakan, kami akan meneliti syarat-syarat yang diberikan
oleh wakil-wakil kelab terbabit sebelum saya membawa perkara ini untuk
diperbincangkan bersama Ahli Jawatankuasa FAS bagi mendapat persetujuan
bersama.
''Saya kena
menjaga juga kepentingan skuad Selangor tambahan Safee adalah salah seorang
pemain utama di posisi serangan dan berharap keputusan yang akan dicapai akan
memuaskan hati ramai pihak,'' ujarnya.
Jika Selangor
kehilangan khidmat Safee, mereka mungkin terpaksa bergantung kepada Mohd. Amri
Yahyah, Rudie Ramli, S.Sritharan dan K. Depan Sakwati untuk mengemudi serangan
skuad Merah Kuning.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5dLQwwtjJ
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan