Rabu, 23 Januari 2019

Tugas Safee, Fakri gempur


ARKIB : 08/02/2011
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KAJANG - Jentera serangan Malaysia yang dianggap sudah mantap ketika menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, berkemungkinan besar mengalami rombakan dalam menghadapi Hong Kong pada perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, esok.

Gara-gara kecederaan Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali kali ini perlu digandingkan dengan penyerang muda, Ahmad Fakri Saarani yang terlepas tempat dalam skuad juara berkenaan serta Sukan Asia Guangzhou lalu, juga kerana tercedera.

"Kesebelasan utama yang muktamad terserah kepada jurulatih (K. Rajagobal) tetapi ketika ini Norshahrul tercedera dan ada kemungkinan Fakri yang menjadi gandingan baru saya," katanya ketika ditemui pada sesi motivasi buat peserta Raja Lawak Astro tajaan Mizi Sports Centre di Country Heights Kajang, kelmarin.

Bagaimanapun Safee tidak melihat sebarang perubahan mampu menjejaskan rentak permainan sepasukan, esok, malah amat mengalu-alukan kepulangan ramai tonggak yang terlepas Sukan Asia dan Piala Suzuki lalu termasuk bekas ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak.

"Kemasukan mereka kembali menambah sengat pasukan malah memberikan banyak pilihan pemain kepada jurulatih jika berlaku kejadian di luar dugaan," kata Safee yang bakal meninggalkan Selangor dan Malaysia selama semusim untuk mencuba nasib di Liga Super Indonesia, bulan depan.

Penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat juga sependapat meskipun menyedari posisinya kini turut akan cuba diintai semula oleh Farizal Marlias yang baru kembali menyertai skuad negara dan Sharbinee Allawee Ramli yang cuma beraksi satu perlawanan Piala Suzuki AFF.

Turut berkongsi pandangan sedemikian ialah bek tengah, Aidil Zafuan yang berpegang teguh kepada semangat persaingan sihat oleh setiap pemain yang dipanggil dengan matlamat masing-masing akhirnya adalah untuk menjulang dan membanggakan skuad negara.

Ketua pasukan negara, Safiq Rahim pula berjanji bahawa dia dan rakan sepasukan tidak akan sesekali memandang ringan kemampuan Hong Kong sekalipun ia sekadar satu persahabatan antarabangsa dan tidak begitu berdaya saing atau segetir menghadapi Piala Suzuki AFF.

"Sama ada persahabatan atau pertandingan, ia tiada bezanya bagi kami apabila disandarkan harapan negara kerana hanya persembahan terbaik perlu disajikan khususnya buat peminat yang sudah kembali meyakini bola sepak kita kebelakangan ini," katanya.

Sebarang keputusan dengan Hong Kong bagaimanapun masih akan mempengaruhi ranking kini Malaysia, ke-140 yang cuma naik dua tangga dari bulan lalu biarpun menjulang Piala Suzuki AFF, Disember lalu dengan mengatasi pasukan yang lebih tinggi, Indonesia dan Vietnam.

Inilah persahabatan pertama buat anak buah Rajagobal menjelang Kelayakan Piala Dunia 2014 yang dijadual berlangsung pertengahan tahun ini selain persediaan bagi pemain bawah 22 tahun ke kelayakan Olimpik 2012 menentang Pakistan pada 23 Februari dan bulan depan.

Sementara itu, sesi motivasi kelmarin menyaksikan mereka berempat turut berkongsi pengalaman dengan peserta Raja Lawak terutama mengenai bagaimana untuk menangani situasi tertekan, gemuruh, berdepan dengan ramai penonton dan keberanian untuk menampilkan persembahan terbaik.

Cenderamata penaja turut dihadiahkan kepada peserta Raja Lawak yang meneka tepat soalan kuiz Piala Suzuki AFF seperti Balas, Najmi, Epy, R2, Pukaw, Lucky di samping sketsa lawak oleh Man yang membuatkan pemain negara tidak kering gusi menonton telatahnya yang meniru aksi pengacara Casa Impian dan Deko Bersama Eric Leong.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dRQw5yJo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan