ARKIB : 28/04/2011
KUALA LUMPUR - Safee Sali berkata Selangor tetap
sebuah pasukan yang kuat walaupun tanpa khidmatnya, yang kini beraksi bersama
Pelita Jaya dalam liga Indonesia.
Menurutnya, dia sentiasa mengikuti perkembangan
bekas pasukannya itu walaupun sudah berubah angin beraksi dalam liga di negara
jiran itu.
"Saya masih mengikuti perjalanan skuad
Selangor dari satu perlawanan ke perlawanan lain.
"Apa yang saya perhatikan, Selangor masih
sebuah pasukan yang kuat dan tidak terjejas tanpa kehadiran saya, "
katanya.
Safee yang bercuti di Malaysia, meluangkan masa
bersama penyokong Selangor menyaksikan siaran langsung perlawanan Liga Super di
antara Selangor dan Kelantan di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, di sini, anjuran
butik sukan Mizi Sports Centre kelmarin.
Dalam perlawanan tersebut, Selangor kalah 0-1
kepada Kelantan hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada minit awal
perlawanan.
Mengulas kekalahan tersebut, Safee Sali percaya
kekalahan di Kota Bharu kelmarin tidak akan menjejaskan peluang Red Giants
untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super.
Menurutnya, Selangor memang sukar untuk menjinakkan
Kelantan semenjak dahulu lagi apabila beraksi di Stadium Sultan Mohamad V.
"Kelantan memang ada kelebihan apabila beraksi
di tempat sendiri, memang sukar untuk mengalahkan mereka jika bermain di sana.
''Bagaimanapun Selangor masih lagi berada di puncak
liga dan saya yakin mereka akan bangkit selepas ini, kekalahan ini tidak
menjejaskan peluang Selangor," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5e8sCOJ6R
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan