ARKIB : 06/11/2010
KUALA LUMPUR - Desas-desus
penghijrahan penyerang Selangor dan kebangsaan, Safee Sali ke pasukan lain
hanya khabar angin, apabila pemain itu menegaskan, dia kekal bersama Selangor
musim depan.
Tegasnya, dia masih menghormati
baki kontrak selama satu tahun bersama Selangor dan tidak berminat untuk
berhijrah ke mana-mana pasukan.
''Musim hadapan saya akan terus
beraksi bersama Selangor. Adalah tidak benar sama sekali laporan yang akan
mengatakan saya akan bermain dengan pasukan baru.
''Kontrak dengan Red Giants ada
lagi setahun dan saya harus menghormati kontrak tersebut, '' katanya ketika
dihubungi, semalam.
Nama Safee sebelum ini
disebut-sebut bakal menyertai skuad Perak, yang dalam proses membina kembali
kekuatan pasukan itu, selepas diambil alih pengurusan baru yang diterajui
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
Zainol juga merupakan Pengerusi
Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Perak.
Menyentuh mengenai ketiadaan
namanya dalam senarai skuad Sukan Asia, Safee mengakui kecewa kerana digugurkan
pada saat akhir.
''Empat tahun lalu, saya tidak ke
Sukan Asia Doha kerana mengalami kecederaan dan kali ini nampaknya nasib saya
tetap malang.
''Namun, saya faham kehendak
jurulatih, kerana tiada banyak pilihan disebabkan kesemua pemain berpengalaman
di bahagian pertahanan mengalami kecederaan dan dia terpaksa memilih Norhafiz
Zamani Misbah mengisi salah satu slot pemain senior, '' jelasnya.
Safee optimis rakan sepasukannya
bakal menyerlah di Guangzhou dan akan memberikan kejutan kepada banyak pihak.
''Berdasarkan prestasi semasa,
saya yakin skuad negara mampu layak sekurang-kurangnya ke pusingan kedua,''
ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5cxvO3TRy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan