Ahad, 28 Mei 2017 | 11:18am
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
SAFEE Sali . - Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Penyerang senior
skuad kebangsaan, Safee Sali tidak terkesan apabila dilabel sebagai 'kuda tua'
selepas dipanggil membarisi skuad Harimau Malaya meskipun usia sudah menginjak
33 tahun.
Penyerang PKNS FC itu berkata,
panggilan mewakili skuad kebangsaan adalah satu penghormatan buat dirinya dan
memberi petanda betapa barisan kejurulatihan tetap memberi kepercayaan
kepadanya untuk terus menyarung jersi kebanggaan itu.
"Panggilan mewakili negara
adalah hak barisan kejurulatihan dan jika nama saya tersenarai, itu sudah cukup
membuktikan bahawa khidmat saya masih diperlukan oleh pasukan kebangsaan.
"Saya sedia berkhidmat
selagi mana saya terdaya untuk beraksi. Saya sama sekali tidak akan menolak
permintaan skuad negara kerana beraksi buat pasukan kebangsaan adalah sesuatu
yang menjadi impian setiap pemain profesional.
"Saya tidak kisah apa
pandangan orang terhadap saya kerana bukan mereka yang beraksi di atas padang.
Saya tahu saya masih boleh menyumbang untuk skuad kebangsaan," katanya
ketika dihubungi BH Sukan.
Bekas penyerang Pelita Jaya itu
berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas jurulatih skuad
kebangsaan era 60-an, Datuk Peter Velappan yang menyifatkan Harimau Malaya
dibarisi 'kuda tua' selepas sembilan pemain yang berusia lebih 30 tahun
dipanggil menyertai latihan pusat kali ini.
Skuad kebangsaan terlalu
bergantung kepada kelibat pemain yang dianggap sudah melebihi usia kemuncak
sekali gus menutup peluang pemain muda untuk mewakili negara.
Bekas Setiausaha Agung
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu bagaimanapun tidak menafikan sumbangan
dan pengalaman yang dimiliki kelompok pemain senior tetapi ia perlu diadun
bersama keringat pemain muda bagi menghasilkan impak yang positif dalam skuad
kebangsaan.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad,
28 Mei 2017 | 11:18am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan