ARKIB : 26/04/2011
Safee masih rindu aksi Harimau Malaya
Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo (kiri) bersama penyerang
kebangsaan Safee Sali mempamerkan kemahiran menimang bola pada majlis
pelancaran Kejohanan Futsal Seluruh Negara di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR - Penyerang kebangsaan, Safee Sali tidak berkecil hati
namanya tidak disenaraikan dalam skuad negara sejak dia menyertai kelab
Indonesia, Pelita Jaya, Februari lalu.
Malah, bekas pemain Selangor itu, lebih selesa menyerahkan sepenuhnya keputusan
tersebut kepada jurulatih, K. Rajagobal dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
untuk memanggilnya atau pun tidak.
"Saya percaya jurulatih mempunyai caranya sendiri untuk membuat
pemilihan pemain. Jurulatih dan FAM lebih berhak memutuskan untuk memanggil
saya atau pun tidak.
"Lagi pun, saya baru menyertai Pelita Jaya dan saya juga perlukan
masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baru saya itu," katanya.
Safee yang berada di ibu negara selama dua hari, telah dilantik sebagai
duta Tune Talk bersama rakan sepasukan iaitu penjaga gol kebangsaan, Khairul
Fahmi Che Mat di sini, semalam.
Namun, Khairul Fahmi tidak dapat hadir pada majlis itu kerana terbabit
dalam perlawanan Liga Super, hari ini menentang Selangor di Kota Bharu.
Dalam pada itu, menurut Safee, dia tetap optimis akan dipanggil bagi
membantu pasukan kebangsaan apabila tiba masa yang sesuai kelak.
"Saya tidak nafikan saya amat rindu untuk beraksi bersama skuad
negara dan saya yakin, khidmat saya akan diperlukan juga apabila tiba
masanya," ujarnya.
Mengulas mengenai perkembangan terkini aksinya di Pelita Jaya, Safee
memberitahu, dia memasang azam untuk membantu kelabnya itu mendaki kedudukan
yang lebih baik dalam Liga Super Indonesia (ISL).
Katanya lagi, buat masa ini, Pelita Jaya berada di tempat ke-10 daripada
15 pasukan dan dengan permainan hanya berbaki enam perlawanan, dia yakin,
kedudukan tujuh atau pun lapan mampu digapai.
Safee kini telah pun meledakkan lima gol daripada tujuh perlawanan sejak
dia mewakili kelab yang bertempat di Karawang, Jawa Barat itu.
Sementara itu, bercakap mengenai pelantikannya sebagai duta Tune Talk,
Safee melahirkan rasa gembiranya dapat menjalinkan kerjasama dengan syarikat
telekomunikasi itu.
"Sejak aksi saya menyerlah bersama skuad kebangsaan, ramai yang
berminat untuk menjadi penaja dan melantik saya sebagai duta produk
mereka," katanya.
Dalam pada itu, Tune Talk akan melancarkan Kejohanan Futsal Seluruh Negara
yang bakal diumumkan dalam masa terdekat ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5e6aDTkrj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan