Jumaat, 25 Januari 2019

Safee sangkal dakwaan media Indonesia menuduhnya berbohong


ARKIB : 17/02/2011
Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my
 
Saffee Sali (lapan dari kanan) merakam foto kenangan bersama Syed Munshe Afdzaruddin serta pegawai dan kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia, semalam.
JAKARTA - Biar apa sekalipun pandangan negatif atau dakwaan tidak masuk akal sesetengah pihak terhadapnya, penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali menegaskan, dia tidak pernah berbohong mengenai pemilihan kelab bola sepak luar yang disertainya.

Bahkan, keputusan untuk bergabung dengan Kelab Pelita Jaya di Indonesia dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang juga majikannya sebelum ini.

Kata Safee, penyertaannya dalam Kelab Pelita Jaya bukan dibuat berdasarkan keputusan peribadi semata-mata. Sebaliknya, pemain berusia 27 tahun itu berkata, segala rundingan dengan ketiga-tiga kelab bola sepak Indonesia yang mengemukakan tawaran rasmi dibuat oleh FAS.

"Saya tidak pernah membuat kenyataan memilih Persib Bandung. Saya sekadar bercakap yang saya berminat dengan Persib Bandung.

"Saya pernah ke Bandung melihat Selangor menentang Persib Bandung. Bahkan, Persib Bandung juga pernah berkunjung ke Selangor semasa menjayakan kejohanan Piala Menteri Besar Selangor," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan di Kedutaan Besar Malaysia di sini, semalam.

Pemain kelahiran Selangor itu menegaskan, dakwaan kononnya dia menipu Kelab Persib Bandung dengan memilih kelab Pelita Jaya tidak benar sama sekali.

Kata Mohd. Safee, ketika dia membuat kenyataan berminat menyertai Persib Bandung, FAS belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana kelab bola sepak untuk perpindahannya.

Buat sekian kalinya juga, Safee mengulangi pendirian berhijrah ke kelab bola sepak luar negera didorong oleh keinginannya untuk menimba pengalaman bermain di rantau orang.

Selain itu, jelasnya, peluang beraksi dengan kelab luar merupakan tawaran yang sentiasa dinanti-nantikan oleh mana-mana pemain bola sepak profesional.

"Usia saya sudah mencapai 27 tahun dan inilah masanya untuk saya mengembangkan kerjaya saya di peringkat yang lebih besar. Keinginan ini sudah ada dalam fikiran saya sejak tahun 2007 lagi," jelas Safee yang ditemani pengurusnya, Zakaria Rahim serta kaum keluarganya.

Menangkis dakwaan pengurus Persib Bandung yang Safee menipu, Zakaria berkata, kenyataan tersebut dikeluarkan mungkin kerana berlaku salah faham.

Zakaria juga tidak menolak andaian kenyataan pengurus Persib Bandung disensasikan pihak media.

"Bila saya baca balik cerita itu, sebenarnya dia sendiri pun tidak cakap Safee menipu. Dia cuma menyatakan ada berunding dengan FAS dan tidak pula pernah mengeluarkan kenyataan yang dia ada berunding dengan Safee," jelas Zakaria.

Menurut Zakaria, sungguhpun banyak kelab bola sepak menyatakan hasrat untuk memiliki Safee, namun, hanya tiga kelab dari Inodnesia yang menghantar tawaran rasmi iaitu Balik Papan, Persib Bandung dan Pelita Jaya.

"Dalam rundingan antara FAS dan ketiga-tiga kelab itu, saya tak tahu apa yang menyebabkan FAS tertarik dengan Pelita Jaya, itu hak FAS, kita tak boleh komen," ujarnya lagi.

Sebagai menghormati kesepakatan yang dicapai antara FAS dengan Pelita Jaya, Safee juga enggan mendedahkan yuran perpindahannya.

Katanya, dalam proses perundingan biasanya sesebuah kelab bola sepak akan membuat pertimbangan berdasarkan berapa banyak ganti rugi yang boleh dibayar sebuah kelab lain terhadap kontrak pemainnya dan pada masa sama mengambil kira apa yang boleh disediakan kelab baru itu kepada pemain berkenaan.

Sementara itu, Safee sudah bersedia untuk memikul tugas baru di Kelab Pelita Jaya dari aspek mental sebagai memenuhi cita-citanya bergelar pemain bola sepak profesional.

Menyedari bakal berhadapan dengan budaya baru di negara orang, Safee mengakui, dia harus bekerja keras kerana di Indonesia cara permainannya berbeza dari Liga Malaysia.

Safee bakal beraksi buat pertama kali pada 7 Mac ini menentang Persib Bandung di Stadium Singaperbangsa di Karawang, Jawa Barat. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ddHH1ECN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan