Jumaat, 25 Januari 2019

Safee sedia hadapi media Indonesia


 
ARKIB : 15/02/2011
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Safee Sali (kanan) yang ditemani bapanya, Mohd. Sali Mi’an melambai sebaik menuju ke pintu pelepasan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, semalam.

SEPANG – Selain cabaran di padang, pemain import baru Pelita Jaya FC, Safee Sali perlu menghadapi satu lagi cabaran getir di luar padang iaitu berdepan dengan media Indonesia.

Bagaimana pun, bekas pemain Selangor itu mengakui dia sudah bersedia akan perkara itu sepenuhnya.

Menurut pemain kelahiran Kajang itu, dia tidak boleh mengelak daripada menjadi tumpuan hangat media negara jiran itu selepas mengambil keputusan untuk beraksi di Liga Super Indonesia (ISL), sebaliknya menganggap ia juga salah satu cabaran yang perlu dihadapai apabila berkelana di negara orang.

“Memang saya sudah bersedia untuk menghadapi segala cabaran di Indonesia nanti, ia termasuk daripada media di sana, oleh itu saya memerlukan bantuan bukan sahaja dari keluarga tetapi seseorang yang mampu menguruskannya ia adalah pengurus saya di sana nanti, Zakaria Rahim,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Katanya, dia akan cuba biasakan diri dengan keadaan media di sana, yang sudah tentu akan memberi perhatian lebih kerana dia adalah seorang pemain import dan berperanan menewaskan pasukan kebangsaan Indonesia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki AFF tahun lalu.

“Bukan saya sahaja yang akan menjadi tumpuan media di sana, sudah tentu keluarga saya juga akan mendapat liputan meluas di sana dan kalau boleh saya akan cuba elak publisiti yang berlebihan.

“Seperti sedia maklum media mereka memang dahsyat dalam membuat laporan terutama sekali tentang sukan bola sepak, oleh itu saya perlu bersedia dari semua aspek dan sentiasa berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan di sana,” ujarnya.

Safee yang sebelum ini pernah beraksi bersama Telekom Melaka, Kuala Lumpur dan Sarawak, menjangkakan tumpuan akan diberikan secara meluas daripada media Indonesia sebelum aksi pertamanya dengan Pelita Jaya FC.

“Tumpuan akan terarah kepada aksi pertama saya di sana, itu yang membuatkan saya bersemangat untuk menjaringkan gol pertama pada penampilan pertama saya dengan pasukan baru ini.

“Saya harus yakin dan menetapkan sasaran untuk menjaringkan gol sekurang-kurangnya satu gol untuk satu perlawanan, jika ia tidak berlaku saya tidak boleh hanya duduk diam sahaja, saya perlu terus berusaha dengan lebih keras dan dalam masa yang sama bersedia menghadapi kemarau gol,” katanya.

Tambahnya, dia akan menjadi tidak selesa jika tidak dapat menjaringkan gol untuk pasukannya, ibarat satu tugas yang belum selesai.

“Saya juga akan membantu pasukan Pelita Jaya FC untuk berada pada kedudukan yang lebih baik dalam saingan liga, walaupun kelab tersebut dibarisi ramai pemain muda,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dcnjNL1a
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan