Rabu, 23 Januari 2019

Safee diberi sambutan wira 3,000 penduduk Tapah


ARKIB : 16/01/2011
 
MOHD. Safee Sali diarak dengan menaiki kereta antik Triumph TR4 1966 pada majlis sambutan kepulangan pemain kebangsaan itu di kampungnya di Tapah, semalam. – Mingguan/Mohd Najib Mohd Nor

TAPAH – Penyerang bola sepak negara, Mohd. Safee Sali menerima sambutan wira daripada lebih 3,000 penduduk kawasan ini pada satu majlis khas di Stadium Majlis Daerah Tapah (MDT) di sini, semalam.

Orang ramai mula membanjiri lokasi majlis seawal pukul 10 pagi, walaupun Mohd. Safee, 27, tiba pukul 12 tengah hari dengan menaiki kereta antik Triumph TR4 1966 , diiringi lebih 100 buah motosikal kuasa besar dari rumah keluarganya di Jalan Temoh, di sini.

Orang ramai mengambil peluang bergambar dengan Mohd. Safee, yang membantu pasukan negara menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, selain muncul Penjaring Terbanyak kejohanan dengan lima gol.

Peminat penyerang Selangor itu juga melakukan gimik melakukan sepakan penalti pada majlis anjuran Persatuan Bola Sepak Batang Padang dan MDT itu.

Berucap pada majlis itu, Mohd. Safee yang dilahirkan di Selangor tetapi dibesarkan di sini, melahirkan rasa terharu dan terima kasih atas sambutan yang diberikan kepadanya serta keluarganya.

‘‘Majlis ini merupakan kenangan paling manis bagi saya dan keluarga yang tidak akan kami lupa sampai bila-bila,” katanya.

Menurut Mohd. Safee, sambutan di padang MDT mengembalikan kenangannya semasa kanak-kanak, kerana di padang itulah dia bermain bola sepak sejak usia lima tahun hingga sekarang, setiap apabila pulang bercuti ke kampung.

‘‘Saya rasa peluh saya sudah membasahi seluruh kawasan padang ini,” katanya
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dQvCq6Ku
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan