SUKAN»Bola
Rabu, 28 November 2018 | 3:06pm
SAFEE Sali. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Safee tidak kembali ke Selangor
Oleh Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan Safee Sali mengesahkan dia tidak
akan kembali menyertai pasukan negeri kelahirannya Selangor musim depan.
Pemain berusia 34 tahun itu mengakui namanya tiada dalam perancangan
jurulatih baharu Red Giants, B Satiananthan seperti yang digembar-gemburkan
sesetengah penyokong di media sosial kebelakangan ini.
“Saya tidak mungkin ke Selangor kerana sudah dimaklumkan saya tiada dalam
perancangan mereka,” kata Safee yang sudah tamat kontrak bersama PKNS FC
selepas dua musim bersama kelab itu.
Sebelum ini timbul spekulasi yang mengaitkan Safee akan kembali semula ke
Selangor selepas kali terakhir menyarung jersi Merah Kuning pada musim
2006-2010.
Dia meninggalkan skuad Red Giants ketika zaman kemuncaknya untuk berhijrah
ke kelab Indonesia Pelita Jaya FC selepas membantu Harimau Malaya menjuarai
Piala AFF 2010.
Safee yang pernah menjulang trofi Liga Super 2009 dan 2010 bersama Selangor
dan 2014, 2015, 2016 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui kini terbuka
dengan sebarang rundingan bersama pasukan lain.
“Sebelum ini ada berbincang dengan beberapa pasukan tapi belum ada yang
serius jadi saya masih terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pasukan
berminat.
“Berdasarkan keupayaan ketika ini, saya percaya masih lagi boleh bersaing
di peringkat kompetitif,” katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 28 November 2018 | 3:06pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan